Dek populariti single Lelaki Di Telefon dalam aplikasi berkenaan, Afieq diundang menjayakan sebuah program televisyen (TV) di Indonesia oleh salah seorang pengikut laman sosial yang turut bergelar pengacara. Bagaimanapun, manusia hanya mampu merancang, Tuhan menentukan. Mengikut perancangan, Afieq sepatutnya terbang ke negara seberang pada Mac lalu, namun disebabkan PKP, hasrat berkenaan terbantut.
“Ada juga rasa terkilan, bukan mudah untuk penyanyi Malaysia mahu menembusi pasaran Indonesia. Lagipun, peluang datang secara tak disengaja, ia berpunca daripada peminat yang juga pengacara program TV.
“Dia meminati lagu Lelaki Di Telefon yang didengari melalui TikTok.
Sejak itu, peminat berkenaan mengikuti saya dalam laman sosial dan kemudiannya, berminat mengundang saya untuk muncul dalam program kendaliannya.
“Jadi, saya serahkan kepada syarikat pengurusan, FMC Music untuk menguruskan undangannya,”
– Afieq Shazwan
Mengikut perancangan, kata Afieq, dia sepatutnya muncul dalam program TV pada Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, ekoran pelaksanaan PKP, dia terpaksa memaklumkan kepada peminat berkenaan tidak dapat terbang ke Indonesia.
Selain Indonesia, Afieq juga terpaksa akur apabila undangan menjayakan persembahan di sebuah expo di Singapura turut dibatalkan.
Katanya walaupun kerjayanya terjejas, tetapi penyanyi kelahiran progam Idola Kecil pada 2008 tetap bersyukur dengan dugaan menimpa.
Bukan sahaja dirinya terjejas, tetapi melihat ramai rakan terutama peniaga kecil lebih teruk terjejas menyebabkannya bersyukur dengan nasibnya.
“Sebenarnya, saya juga agak terkesan rentetan PKP ini, tetapi perkara ini dilalui semua orang, tak kira dalam apa sektor sekali pun. Golongan artis seperti kami menjana pendapatan berdasarakan kerja. Ada kerja, ada gaji.
“Bagaimanapun, apabila mendengar keluhan rakan peniaga, ada yang sudah membeli stok banyak, tetapi tidak terjual menyebabkan saya tersedar dugaan orang lain sebenarnya lebih hebat.
Alhamdulillah, sekarang ini semua sektor kembali dibuka, saya pun sudah mula menerima undangan menjayakan program TV.
“Walaupun undangan untuk menjayakan persembahan masih belum mendapat lampu hijau kerajaan, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang dilakukan ketika penghujung COVID-19,”
– Afieq Shazwan
Afieq berkata, dia juga akan menggunakan kesempatan itu untuk mempromosikan single Lelaki Di Telefon. Mungkin ada yang kata lagu ini sudah lama, tetapi kenapa masih dipromosikan?
“Sebenarnya dua bulan selepas single ini keluar, negara kita melaksanakan PKP. Jadi, saya tidak sempat membuat promosi berterusan untuk lagu itu.
Namun, saya bersyukur, walaupun tidak dapat ke stesen radio, TV dan media untuk mempromosikannya, ia kini menjadi sohor dalam media sosial,” katanya.
– Afieq Shazwan
Berkongsi single keempatnya pula, Afieq berkata, lagu yang menyaksikan kolaborasinya bersama DJ Fuzz itu sudah pun siap.
Bagaimanapun, katanya, dia ingin memberikan laluan kepada single Lelaki Di Telefon, jadi terpaksa menangguhkan kemunculan lagu baharu itu.
Kata Afieq, muzik video lagu berkenaan juga tertangguh akibat PKP. Single berjudul Gerak Lu adalah kesinambungan daripada lagu Lelaki Di Telefon.
Akuinya, walaupun berbeza rentak muzik, tetapi ia masih mengekalkan muzik rancak dan santai. Lagu berkenaan menyaksikan kerjasama Afieq bersama penyanyi rap underground dari Brunei dikenali sebagai Faezal.
Sumber: BH Online