Berbekalkan pengalaman membuat persembahan sebagai pemuzik jalanan, bakal pendidik serta tiktokers ini terus berusaha untuk mencari ruang dan peluang mengorak langkah dalam bidang seni suara tanahair.
Pendatang baharu anak kelahiran Putrajaya dan kini menetap di Rembau, Negeri Sembilan, Mierul Hazly mempunyai pakej yang berlainan, memulakan langkah perdananya sebagai pendatang baharu industri muzik tempatan dan berada di bawah naungan syarikat rakaman unggul, Armani Entertainment Group (AEG).
Mierul hadir dengan single pertamanya berjudul ‘DENGAN BISMILLAH’ hasil ciptaan dan tulisan Mierul Hazly bersama komposer yang sedang meningkat naik, Mel Ramlan, manakala terbitan oleh AEG sepenuhnya.
“Syukur Alhamdulillah kerana setelah sekian lama mencari peluang untuk menjadi seorang penyanyi, kini peluang itu terbuka luas dengan terhasilnya single ini. Ini adalah rezeki yang tidak disangka- sangka, sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk berkarya serta menyanyikan lagu ciptaan bersama komposer hebat seperti Mel Ramlan yang pernah membuat lagu untuk artis ternama seperti Aizat Amdan & Fattah Amin.
“Terima kasih kepada pihak AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka dan terutamanya kepada Dato’ KK Chua yang nampak dan juga percaya dengan bakat yang saya miliki,” kongsi Mierul Hazly yang kini sedang menjalani latihan praktikal sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah rendah sekitar Sepang.
Pelantun suara untuk single DENGAN BISMILLAH ini yang dulunya pernah mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan nasyid kebangsaan semasa berusia 17 tahun ini, berazam untuk membantu keluarga dengan menceburi pelbagai bidang termasuklah bidang perniagaan selain ingin mengorak Langkah dengan mencuba Nasib dalam bidang seni suara tanahair.
“Bermula dengan membuat “cover” lagu di platform social media seperti Instagram, Tiktok, Youtube dan Twitter, saya juga aktif mencuba Nasib di dalam beberapa pertandingan nyanyian sekitar Lembah Klang dan juga Negeri Sembilan. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah Ketika saya diberi peluang untuk mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan Nasyid Kebangsaan di usia 17 tahun. Seterusnya, peluang terbuka luas apabila saya menghantar video nyanyian saya ke Armani Entertainment, dipanggil untuk ujibakat tertutup dan akhirnya rezeki tertulis bersama Armani Entertainment” jelas Mierul Hazly.
Menurut Dato’ KK Chua, Pengasas & Ketua Pegawai AEG, “Di AEG, kami percaya bakat anak muda tempatan wajar diberikan peluang dan diketengahkan agar ramai penggemar muzik dapat menikmatinya, saya yakin dengan kesungguhan Mierul Hazly yang mampu pergi jauh jika berada di landasan yang betul, lagi pula memang matlamat AEG untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu.
“DENGAN BISMILLAH” adalah sebuah lagu cinta berirama “modern pop ballad”. Sebuah lagu yang menceritakan tentang doa dan harapan seseorang tentang jodoh dan masa depan mereka. Doa dalam lagu yang merayu dan meminta kepada Tuhan supaya diberikan pasangan hidup yang baik. Diberikan seseorang yang sanggup berkorban dan bertanggungjawab, jatuh dan bangun perhubungan. Ribut dan badai, hujan dan panas, susah dan senang, walau apa dugaanNya, Mereka tetap bersama hingga ke hujung nyawa dan syurga hendakNya.
“Proses rakaman ini memakan masa selama 1 jam, tetapi panduan lagu sudah diberikan sebulan awal oleh komposer kerana saya perlu mendalami rasa serta vokal yang dikehendaki agar meresap ke dalam jiwa apabila dinyanyikan. Saya juga menyumbang dalam bentuk lirik dan gubahan juga supaya ada sedikit suntikan jiwa saya dalam lagu ini” ujarnya.
“Manakala untuk MV (video muzik) DENGAN BISMILLAH, pihak pengurusan telah merangka strategi pemasaran dengan menerbitkan “Web Mini Series” khas untuk Dengan Bismillah dengan mengetengahkan konsep cerita cinta muda mudi, mengejar cita-cita serta konflik dalaman dalam usaha untuk merealisasikan impian untuk menjadi seorang penyanyi. Konsep “Web Miniseries” ini juga diselitkan dalam video muzik rasmi. Untuk mengetahui lebih lanjut wajib menontonnya di YouTube nanti.
“Mierul berharap peminat dan pendengar dapat memberi sambutan yang baik dan disukai oleh semua pendengar. Saya juga berharap mesej dan maksud lagu ni sampai dekat hati semua peminat muzik tanahair” tambah Mierul.
Lagu DENGAN BISMILLAH boleh dimuat turun di iTunes Store, boleh didengar dan dinikmati pada bila- bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala “Web Miniseries” khas serta video muzik rasmi single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.