Bagaikan hikmah disebalik ujian, tahun 2019 pastinya turut mencatat momen manis buat penyanyi yang mesra disapa sebagai Aizat ini.
Penyanyi yang baru sahaja diberi penghormatan membuka tirai konsert penyanyi antarabangsa Jason Mraz tempohari, telah mendapat liputan meluas sejak karya terbaharunya “ANGIN LALU” dilancarkan pada 26 April lalu.
Kebijaksanaannya memberikan terjemahan sinematik lagi dramatik menerusi filem pendek “ANGIN LALU” sememangnya suatu pendekaan yang unik yang jarang ditemui.
Filem pendek yang berjaya meruntun hati peminat itu, mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila mencapai lebih 125 ribu tontonan di saluran Youtube Vlog Aizat setelah hampir dua minggu dilancarkan.
Bagi meneruskan lagi momentum keberkesanan lagu “ANGIN LALU” dan menyemat lebih kemas lagu ini ke dalam jiwa peminat seni, hari ini mahakarya Aizat ini dilengkapi pula dengan video muzik rasminya.
Bukan sekadar video muzik biasa, begitulah yang boleh dikatakan mengenai video muzik rasmi “ANGIN LALU” ini.
Sebagaimana filem pendek “ANGIN LALU”, video muzik rasmi “ANGIN LALU”ini turut mengangkat tema kehilangan akibat kematian sebagaimana yang dimaksudkan dalam lagu tersebut.
Namun begitu, menerusi video muzik ini Aizat cuba menyajikan sisi penceritaan yang berbeza. Dalam video muzik ini, Aizat sekali lagi menggunakan khidmat pelakon cilik berbakat besar Ainin Batrisya sebagai penggerak utama plot penceritaannya.
Berlatarkan hitam putih, video muzik ini diberi struktur naratif yang mendukung idea asal lagu “ANGIN LALU” namun turut diberikan garapan simbolik yang memberikan terjemahan berbeza kepada lagu tersebut.
Video muzik yang bakal menemui penonton di saluran Youtube Vlog Aizat pada 11 malam ini pastinya akan memberikan makna yang lebih mendalam kepada lagu “ANGIN LALU dan sekaligus menjadikan mahakaryanya ini lebih dekat di hati pendengar.
“ANGIN LALU” merupakan singleterbitan Kasi Gegar Entertainment dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar ini boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula 26 APRIL 2019. Manakala video muzik rasmi “ANGIN LALU” boleh mula ditonton menerusi saluran Youtube Vlog Aizat bermula17 MEI 2019.
Jutaan terima kasih kepada KFC Malaysia yang menaja makanan dan minuman pada malam ini.