PENYANYI dan pelakon, Ifa Raziah memberitahu dia hanya buat persiapan ringkas bagi sambut ketibaan Aidilfitri memandangkan sibuk berniaga di pelbagai bazar, termasuk di Singapura.
Memetik BH Online, Ifa berkata kesibukan itu berlarutan hingga ke malam raya. Maka, dia mengambil keputusan untuk meraikan 1 Syawal di Kota Singa terlebih dulu sebelum pulang ke ibu kota.
“Saya hanya akan pulang selepas dua hari beraya di sana. Bukan apa, saya tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pada musim raya.
“Lagipun, ibu bapa sudah tiada, yang tinggal hanya ibu mentua. Selepas ketiadaan orang tua, sambutan hari raya saya sudah tidak semeriah dulu.
“Selepas sebulan ligat berniaga sepanjang Ramadan, saya bercadang mahu bercuti. Cuma lokasinya belum ditetapkan kerana selalunya, saya akan buat perancangan pada saat akhir,” katanya.
Dalam pada itu, Ifa meluahkan rasa syukur tidak terhingga kerana rezekinya semakin dipermudahkan. Malah, hal itu juga membuatkan dia tidak menang tangan memenuhi undangan sebagai pengacara di pelbagai festival di samping mengukuhkan perniagaannya.
“Sejak dulu, saya memang suka berniaga. Setiap kali bulan puasa, saya akan menjual pelbagai jenis biskut, kek lapis, selain menerima tempahan hamper.
“Saya memang tidak boleh duduk diam terutama sejak ada produk sendiri. Saya sanggup turun padang bertemu pelanggan untuk menjelaskan mengenai keberkesanan produk yang saya keluarkan.
“Penat memang penat, tetapi bukan mudah untuk hidup senang. Jika tidak bekerja, saya boleh demam apabila memikirkan wang tidak masuk,” ujarnya lagi.
Sementara itu berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Ifa mengakui dia berasa sedikit apabila tidak lagi menerima tawaran berlakon, sedangkan minatnya terhadap cabang seni itu masih mendalam.
Bagaimanapun, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berharap peluang masih menyebelahi untuk menyerlahkan semula namanya sebagai pelakon.