Bersiaran secara langsung dari studio di Angkasapuri, Kuala Lumpur, program terbitan Noradaliah binti Nasharuddin, Seksyen Ehwal Semasa RTM ini menampilkan gandingan pengacara Yana Samsuddin dan Azura Mokhtar.
Objektif program ini menurut penerbitnya bagi meraikan pandangan, idea, suara wanita diangkat ke satu tahap bagi memberi keyakinan kepada golongan wanita di luar sana menyambung generasi yang akan datang.
Matlamat program ini pula bagi memastikan golongan wanita bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang datang.
Pengacara Yana Samsuddin turut teruja kerana buat pertama kalinya menjadi hos program yang disiarkan secara langsung dengan kehadiran penonton di studio. Malah dapat berinteraksi dengan tetamu yang hadir di studio apatlahlagi tetamu yang diundang terdiri daripada ikon-ikon yang hebat dalam bidang masing-masing.
Sepanjang satu jam bersiaran, program ini mengetengahkan tiga segmen iaitu ‘Tetamu Iris’, iaitu mengundang dan berbicara santai dengan ikon yang banyak mencapai kejayaan dalam pelbagai tahap dan bidang diceburi mereka. Pastinya perkongsian mereka boleh menyuntik inspirasi kepada penonton.
Seterusnya dalam segmen ‘Dia’ (Dinamik, Inspirasi, Angggun) yang menampilkan individu-individu wanita yang biasa pada mulanya berjaya mencapai kejayaan dengan usaha keras masing-masing.
Akhir sekali memperkenalkan segmen ‘Me Time’ yang berkongsi bingkisan dan keinginan bagi seseorang wanita bila diberikan peluang untuk melakukan aktiviti yang disukai mereka tanpa sebarang gangguan. Contohnya masa terluang untuk memasak, membeli-belah dan banyak lagi.
Nantikan perkongsian dan tajuk-tajuk menarik dalam program bual bicara ini di TV1.