Ingin mengetahui sama ada artis wanita seperti Izreen Azmida, Ieda Moin, Ana Dahlia, Wan Sharmila dan Liza Abdullah mampu beraksi spontan dalam program siaran langsung di kaca TV? Pastikan anda meluangkan masa menonton program “Aktif 5 Bintang†hujung minggu ini, 31 Oktober 2015, pukul 9.00 malam di TV2.
Tampil dengan tema ‘wonder woman’ bersiaran bersama barisan peserta selebriti wanita yang ramai peminat ini secara langsung dari studio IBC, Angkasapuri.
Program realiti candawara berbentuk amal yang berteraskan nyanyian, tarian dan persembahan kreatif yang padat dengan humor terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Unit Hiburan TV.
Aktif 5 Bintang diilhamkan daripada program Aktif 5 Musim Pertama, kedua dan ketiga yang lalu tetapi diolah semula agar menjadi sebuah rancangan yang lebih menarik dan menghiburkan para penonton.
Bagi setiap episod, disertai lima selebriti dan persembahan selebriti menerusi program itu akan diiringi oleh sekumpulan lima pemuzik serta diadili tiga pengkritik pada setiap minggu.
Sembilan (9) episod menemui penonton dengan tema-tema yang berlainan setiap minggu iaitu Hot Mama, Hos Kebabom, Abang Sado, Comel, Hot & Spicy, Media, Tukang Masak, Wonder Women dan Mat Jambu. Pemilihan peserta di kalangan selebriti adalah berasaskan tema-tema tersebut.
Rancangan ini terbahagi kepada lima pusingan iaitu Irama & Lagu, Rentak Berentap, Ajuk Sakan, Muzik Kreatif dan Seminit Pun Cukup Apa!
Hadiah pada setiap minggu bernilai RM10,000 dan akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang hadir sebagai penonton dan penyokong para selebriti yang berentap.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.