Walau di usia muda, 22 tahun, siapa sangka, penyanyi, pelakon serta pengacara cantik dan pintar ini sudah pun berkecimpung dalam bidang seni tempatan lebih sedekad lamanya. Buat anak kelahiran Sandakan, Sabah ini, Syazwani Maisarah Abdullah atau lebih popular dengan nama Wani Kayrie, dia bukanlah artis genit yang biasa-biasa.
“Perjalanan seni saya masih lagi jauh dan banyak lagi yang ingin saya lakukan sebagai seorang pejuang seni. Namun saya percaya, berkat kesabaran dan kerja keras yang berterusan pasti membuahkan hasil pada satu hari nanti,†kata Wani memulai bicara.
Terbaharu, Wani tampil dengan single pop dansa kemelayuan berjudul ‘Kamu Kamu’ hasil gubahan komposer Ziin dan lirik oleh Jerry, manakala diterbitkan oleh label hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment.
“Hampir 4 bulan single ‘Jangan Terlepas Pandang’ dilancarkan, saya kini bersedia untuk ke fasa seterusnya. Lagu ‘Kamu Kamu’ adalah interpretasi saya yang mahu mencuba pelbagai genre muzik. Dalam berkarya, saya mahu mencuba semuanya agar tak ada yang terlepas!†jelas Wani.
Selain berbakat dalam bidang seni, Wani juga seorang pelajar yang pintar dengan memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam bidang akademik.
“Memandangkan pembelajaran sekarang hanya atas talian, saya akan bawa iPad ke mana-mana, jadi ia bukanlah alasan untuk tidak hadir ke kuliah. Saya cuba siapkan tugasan yang diberikan di mana jua saya berada, waktu siang diperuntukkan untuk bekerja, manakala waktu malam pula untuk belajar,†ujar Wani.
Proses rakaman lagu ‘Kamu Kamu’ yang memakan masa selama 2 jam berjaya disempurnakan oleh Wani kerana dia terlebih dahulu telah membuat persiapan yang secukupnya, dan komposer, Ziin, banyak membantunya dalam memberi idea dari segi nyanyian.
“Ketika memasuki studio, saya telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal agar vokal dapat sampai seperti mana yang dimahukan oleh abang Zimi (Ziin). Dia banyak memberi tunjuk ajar tentang teknik nyanyian yang sepatutnya untuk ‘menghidupkan’ lagu ini.
“Menurut penulis lirik, lagu ‘Kamu Kamu’ bermaksud kerinduan seseorang terhadap pujaan hatinya yang tiada di depan matanya, kesetiaan dalam menantikan kepulangan pujaan hatinya itu terbawa sehingga ke dalam mimpi. Namun dia terus berharap agar pujaan hatinya itu kembali padanya,†jelas Wani.
Di usia yang muda, hati Wani pernah ditawan seseorang namun perhubungan itu terhenti akibat kesibukkan masing-masing. Ditanya apakah lagu ini ditujukan pada si dia, jawab Wani tenang, “Eh taklah! Kami masih lagi berkawan, tapi tidak serapat dulu dan lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadi saya.
Wani boleh dikatakan di antara penyanyi muda negara yang versatil, kalau pendengar amati melodi ‘Kamu Kamu’, elemen muzik pop dangdut jelas kedengaran dalam korusnya yang catchy dan mengasyikkan.
“Bagi saya, kepelbagaian itu sangat penting dalam memperkenalkan lagi kebolehan Wani Kayrie kepada orang ramai. Dan kalau ada jemputan untuk membuat persembahan pentas, saya sudah bersedia dengan portfolio yang pelbagai mengikut jenis acara,†terang Wani.
Dalam video muzik (MV) sebelumnya, Wani tampil dengan imej ‘garang’ dan serius, namun untuk MV ‘Kamu Kamu’ konsepnya lebih bersahaja dan berbeza dengan menampilkan imej Wani yang lebih muda serta segar sesuai dengan usianya sekarang.
Menurut Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan, Rocketfuel Entertainment, katanya: “Wani adalah bintang Rocketfuel yang takkan mengaku kalah, jiwanya besar dalam bidang seni.
“Saya pasti lagu ‘Kamu Kamu’ dapat melonjakkan lagi nama Wani sebagai salah satu penyanyi di Malaysia yang wajar diberikan lebih perhatian.
Kata Wani mengakhiri bicara: “Harapan saya semestinya agar semua pendengar dapat menerima dengan baik lagu ‘Kamu Kamu’ dan semoga lagu ini boleh menjadi tular atau mana tahu, sebuah fenomena dalam industri hiburan kita.
Lagu ‘Kamu Kamu’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Tajuk : KAMU KAMU
Artis : Wani Kayrie
Penulis Lirik : Jerry
Komposer : Ziin
Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
Telah ku cuba
Bermacam cara tuk membuat kau
Gembira
Tak kira masa, tak kira bila
Asal dengar kau bicara…
Tertunggu-tunggu
Bilakah waktu
Saat engkau mengungkapkan
Ingin bertemu dengan dirimu
Yang selalu mengharapkan…
Lena ku buai hanyut suara
Berkejar ke dalam mimpi kamu
Mencari kamu di mana-mana…
Sungguh kamu… kamu
Membuatku rindu
Dan kamu… kamu
Berdebar jantungku…
Benar kamu… kamu
Memukau di mata…
Ku resah gelisah
Bila kau tiada…
Akan ada nanti waktu
Ku kan bertemu denganmu
Takkan ku lepaskan genggaman tanganmu…