in

Siapa Juara Pertandingan Akhir Juara Asyik 2009

26 JULAI 2009 : PENENTU JUARA PERTANDINGAN AKHIR JUARA ASYIK 2009

Setelah kejayaan  penganjurannya kali pertama tahun 2007 mencari bakat-bakat baru penyanyi dan pemuzik, ASYIK fm sekali lagi menganjurkan satu pertandingan nyanyian iaitu pencarian bakat nyanyian secara solo pula. Pertandingan penciptaan lagu-lagu moden melibatkan pelbagai genre pop komersial, asli, dangdut, raggae dan rock komersial dari kalangan kaum Orang Asli ini pasti menjanjikan kelainan dari pertandingan yang dianjurkan oleh RTM sebelum ini.

Setelah menjengah 10 lokasi uji bakat Juara ASYIK 2009 di seluruh Semenanjung. Sambutannya amat menggalakan dan seramai 453 orang peserta yang datang telah diuji bakat oleh juri profesional yang dilantik oleh pihak penganjur pertandingan di setiap lokasi berlangsung uji bakat. Manakala 40 orang peserta  telah pun terpilih dipanggil untuk saringan seterusnya yang telah pun berlangsung baru-baru ini.

8 orang peserta telah pun terpilih untuk berkongsi Pertandingan Akhir Juara ASYIK 2009  yang akan berlangsung pada 26 Julai 2009 (Ahad), jam 8.30 malam di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Dominasi lima finalis perempuan berbanding tiga finalis lelaki membariskan nama-nama Noraini Abu (18 tahun), Azizi Jafri Awang (22 tahun) dan Maznah Majid (24 tahun) yang masing-masing berasal dari Pahang. Manakala dua peserta dari Perak, Wah Moliz Bah Lon (18 tahun) dan Mazuan Bah Gajah (19 tahun) di samping Noraliza Iskandar Zulkarnain (30 tahun) dari Selangor, Ramlan Abak (25 tahun) dari Kelantan dan Nora Hafizah Nordin (23 tahun) dari Johor.

Berbangga dilahirkan daripada pelbagai suku kaum Asli berbeza seperti Jakun, Temuan, Semai dan Temiar, mereka pastinya menjanjikan persembahan mantap dengan dua lagu melibatkan lagu wajib oleh komposer amatur masyarakat Orang Asli dan lagu pilihan, terdiri daripada lagu popular masa kini. Skim pemarkahan mengambil kira dari segi vokal, persembahan dan penampilan mereka di pentas.

Finalis dikenali Noraini tampil dengan lagu Epoujh (Ku Nanti) dan lagu pilihan Dan Sebenarnya (Yuna), Noraliza nyanyikan lagu Tinggal Kenangan dan lagu Dikir Puteri (Noraniza Idris), Wah Moliz dendangkan lagu Bintang dan Kalis Rindu (Elyana), Ramlan pula sampaikan lagu Sinar Gemerlapan dan Gadis Bertudung Putih (Kumpulan May), Azizi dengan lagu Maafkan ku dan Situasi (Kumpulan Bunkface), Nora Hafizah mempertaruhkan lagu Yeacheded Penayak Hak Mayik (Cinta Palsu) dan Ku Intai Cinta Dalam Rahsia (Jeslina Hashim), Mazuan dengan lagu Hanya Dirimu Dalam Hatiku dan Penghujung Rindu (Jamal Abdillah) juga peserta terakhir, Maznah menyampaikan lagu Aku Di Sini dan Tak Mungkin Kerana Sayang (Kumpulan May).

Kategori Pencipta Lagu Terbaik pula membariskan nama-nama OTG, Kak Ham, Long Exsan, Nizam, Jaafar Salleh, Mustaffa, Anisa Rosli dan Remy dengan lagu-lagu terbaru ciptaan mereka untuk dinyanyikan lapan finalis bertanding.


 
Dan salah seorang juri profesional Encik Mohd Rashid Chekman selaku yang dilantik oleh pihak penganjur mengakui, “ASYIK fm bijak meletak satu pentas yang baik untuk remaja Orang Asli yang berbakat dalam bidang nyanyian mencuba nasib. Malah kami berpuas hati dan ada dikalangan belia Orang Asli yang datang diuji bakat ternyata boleh menyanyi dengan baik, tahu menyanyi mengikut tempo dan yang paling penting penghayatan yang baik. Kerana markah yang tinggi diberi kepada suara, tempo dan penghayatan,” ujarnya.

Beliau turut yakin dan percaya usaha ASYIK fm mengcungkil bakat di kalangan remaja atau belia Orang Asli, mencapai matlamatnya untuk melahirkan bintang yang ternama dipersada nyanyian.

Sementera itu penyertaan bagi kategori penciptaan lagu-lagu dari kalangan masyarakat Orang Asli juga mendapat sambutan yang menggalakan. Pihak ASYIK fm berpuas hati dan lagu-lagu ciptaan itu dinilai oleh Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM yang diketuai oleh Encik Ahmad Ali.

Menariknya, finalis Pertandingan Akhir Juara ASYIK 2009 yang mengungguli Johan dijanjikan hadiah lumayan berupa wang tunai RM10 ribu, Naib Johan menggondol wang tunai RM8 ribu dan tempat ke tiga menerima wang tunai RM6 ribu yang masing-masing disertai trofi dan sijil. Malah pemenang kategori Pencipta Lagu Terbaik turut menerima wang tunai RM 3 ribu disamping trofi dan sijil.

Pengacara majlis menggandingkan juruhebah Asyik fm yang popular, Rozima dan Ivan Toh sepanjang dua jam bersiaran secara langsung.

Justeru sama-samalah memeriahkan malam Pertandingan Akhir Juara ASYIK 2009  berlangsung pada 26 Julai 2009 (Ahad), jam 8.30 malam di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur dan bakal disiarkan di TV2 dan saluran 180 ASTRO RTM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hadziq dan Ruminah Sidek Dalam Belalang Epik Anakanda Nujum Diraja

Nurul Lancar Album Terbaru Tika Cinta