Gelanggang separuh akhir Maharaja Lawak Mega 2019 yang berlangsung pada minggu lalu menyaksikan kesemua lima kumpulan; Zero, J-Born, RARE, Bocey dan Puteh, menyampaikan persembahan sengit dan cukup berapi-api!
Dengan mengangkat dua tema menerusi dua persembahan berbeza, ‘Budaya / Loghat’ dan ‘Pilihan Peserta’, Puteh mendahului di kedudukan pertama dengan markah terkumpul sebanyak 65.67%.
Ia merupakan kemenangan berganda buat Puteh yang turut diumumkan sebagai pemenang‘Flamitoz Kumpulan Paling Syok’ seterusnya membawa pulang wang tunai RM1,000 serta produk Adabi bernilai RM500.
Anugerah ini diberikan kepada kumpulan yang memperoleh markah tertinggi dari pihak juri. Dalam pada itu, kumpulan J-Born berada di kedudukan kedua dengan markah terkumpul sebanyak 60.22% dan mereka sekali lagi merekodkan undian tertinggi penonton, seterusnya dianugerahkan hadiah ‘Oppo Punchline Machine’!
Terdahulu, pengacara Dato’ AC Mizal menggamatkan suasana apabila mengumumkan Bocey terkandas ni pentas separuh akhir.
Pengumuman tersebut tenyata mengejutkan penonton kerana Bocey merupakan salah satu peserta ‘favourite’ terutamanya apabila pernah menjuarai dua musim ‘Maharaja Lawak Mega’ – edisi 2016 dan 2017.
Bagaimanapun segalanya berubah selepas Dato’ AC kemudiannya memberitahu bahawa tiada penyingkiran untuk minggu separuh akhir itu, seterusnya meredakan keadaan yang dilihat agak tegang seketika tadi.
Terbukti, rezeki Abam, Achey dan Fad untuk terus beraksi di minggu akhir bersama rakan-rakan yang lain sudah tertulis dan mereka bertiga berjanji untuk bangkit semula dan mengegarkan kembali pentas keramat ini!