Gelanggang akhir Super Spontan Superstar 2017 akan digempakkan dengan barisan lapan pemain terbaik pada musim ini iaitu Achey, Ozlynn, Sharif Zero, Shahrol dan Mamak daripada kumpulan Tenggiling Taiko dan juga Syuk, Fad serta Kamal Adli daripada kumpulan King Musang. Sepanjang tujuh minggu beraksi kedua-dua kumpulan menunjukkan taring masing-masing dengan persembahan yang cukup hebat, menjadikan Super Spontan musim ini antara pementasan lawak spontan yang paling pecah perut.
Minggu lalu merupakan minggu yang penuh dengan kejutan. Komentator Tetap, Datuk Afdlin Shauki telah membuat kejutan dengan memberi kuasa imuniti kepada Kamal Adli, menjadikan beliau kebal daripada penyingkiran bersama-sama Syuk, penerima kuasa imuniti pada minggu lalu. Dengan jurang undian hanya sebanyak 2 peratus, King Musang berada di kedudukan tercorot dan harus menyingkirkan bukan satu tetapi dua ahli kumpulan mereka.
Antara Shuib, Amy Mastura dan Fad, nama Fad telah terpilih untuk menduduki satu lagi kerusi kosong finalis sekaligus menoktahkan perjalanan Shuib yang juga ketua kumpulan King Musang dan Amy Mastura dalam Super Spontan Superstar 2017.
Di minggu akhir ini, tiada lagi carta undian kumpulan. Kini, bermulalah perjuangan secara individu buat semua pemain. Meskipun masih beraksi dalam kumpulan, hanya seorang pemain yang akan dijulang sebagai juara dan membawa pulang RM100,000.00. Siapakah yang akan berdiri sebaris dengan Zizan dan Johan, selaku juara mussim-musim terdahulu? Sama-sama kita saksikan Jumaat ini.
Siaran Langsung Super Spontan Superstar 2017 (Minggu Akhir) akan berlangsung pada 27 Oktober 2017 (Jumaat), di Panggung Percubaan, UPM, Serdang.