Majlis pernikahan yang bertemakan Mihrab Cinta itu telah diadakan di Kuala Lumpur dan turut dihadiri oleh rakan-rakan serta keluarga terdekat. Namun, pasti ramai juga yang ingin mengetahui kisah antara merpati dua sejoli ini kan?
Menerusi YouTube Official Ria X, Mira Filzah menyatakan perasaan cinta terhadap lelaki itu hadir tanpa disedarinya. Selain itu, selebriti ini turut memuji lelaki berkenaan kerana berani untuk bertemu dengan ibunya sehinggalah dia diminta untuk berkenalan sesama sendiri. Pelakon drama ‘Bidadari Kiriman Tuhan’ ini menyatakan mereka saling bertemu dengan ibu bapa masing-masing setelah merancang untuk mendirikan rumah tangga.
Selain itu, pelakon kecil molek ini memilih Wan Emir kerana mengagumi sikapnya yang sangat menghormati orang tua dan sentiasa bersikap tenang. Mira Filzah mengakui lelaki tersebut sangat kelakar meskipun perwatakan luarannya nampak formal dan tegas. Turut tidak ketinggalan, selebriti wanita ini menyatakan bahawa jejaka itu pernah menulis surat kepadanya dan kini hampir sebakul coretan itu telah dikumpul.
Tahniah diucapkan kepada pasangan pengantin baru ini. Semoga mahligai cinta yang dibina oleh Mira Filzah dan pasangannya Wan Emir Astar berkekalan selamanya sehingga ke jannah serta dikurniakan cahaya mata yang comel-comel.