Shuk telah melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.
Menurut Shuk, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama dan berbincang secara baik selepas sahaja mereka pulang mengerjakan ibadah umrah pada awal tahun ini.
“Betul kami telah sah bercerai pada 22 Mac lalu dengan talak satu. Selepas pulang umrah bersama, kami duduk berbincang, bercakap secara elok dan membuat keputusan untuk bercerai. Kami berpisah dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Shuk berkata dia dan bekas isterinya tetap menjalin hubungan baik demi kedua-dua anak mereka.
Tambah Shuk lagi, perpisahan yang berlaku akan dijadikan pengajaran buatnya untuk menjadi lelaki yang lebih baik di masa akan datang.
“Sekarang ini saya hanya fokus kepada anak-anak sahaja. Mereka (anak-anak) tinggal di Sabah bersama ibu Sera sebab anak yang sulung sudah mula sekolah darjah satu.
“Apa yang berlaku ini menjadi teladan buat saya memperbaiki diri. Selama ini kita cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri. Semoga saya akan menjadi orang yang lebih di masa akan datang,” katanya.
Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015. Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Wurratu Ain, 6, dan Nur Assyifatu Aimi, 3.