Pelawak popular, Shuib, 39, berpendapat sebelum budaya buli siber menjadi lebih parah, lebih baik kita semua sedar akan bahayanya. Pandangan Shuib ini muncul selepas kejadian tragis melibatkan pempengaruh media sosial dan aktivis, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 29, yang ditemui mati di rumahnya di Setapak pada 5 Julai lalu.
Esha ditemui sehari selepas membuat laporan mengenai ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Difahamkan, tekanan yang dihadapinya akibat buli siber menjadi punca utama.
“Buli siber ni memang serius. Dulu kita tengok banyak kes macam ni berlaku kat luar negara, tapi sekarang dah jadi kat negara kita sendiri,” kata Shuib.
Shuib juga berkongsi bahawa budaya buli siber semakin berleluasa. “Memang dah jadi ‘trend’ sekarang, bila ada cerita tentang artis, netizen terus pergi Instagram dan komen ‘standby’, ‘popcorn’, atau ‘tanda hadir’. Itu budaya yang sangat buruk. Saya sendiri pun pernah jadi mangsa.”
Tambah Shuib, dia pernah mengalami perniagaannya dikritik kerana kelewatan membayar gaji selama dua hari. “Netizen seolah-olah tahu sangat apa yang saya lalui. Kalau mereka berada di tempat saya, pasti mereka takkan cakap benda bukan-bukan. Tak adil menilai orang lain tanpa mengetahui kebenaran. Tolong hentikan buli siber yang kebanyakannya dilakukan oleh orang Melayu,” katanya semasa sidang media Dol’s Podcast bersama Shuk Sahar dan Fizie di Tasty Chapati, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Shuib, yang nama sebenarnya Shahmira Muhamad, menegaskan bahawa mereka yang suka membuli perlu diberikan pengajaran agar masyarakat tidak terbiasa dengan perkara negatif ini. “Mereka hanya berani menulis, rasa gah, dan seolah-olah tahu segala-galanya. Tapi bila jumpa, tunduk kepala minta maaf. Keluar ayat macam ‘tolonglah, mak saya sakit, anak tak sihat’. Itu yang saya lalui sebelum ni. Masa dekat mahkamah baru tahu erti penyesalan. Masa buat tu rasa seronok sangat dapat ‘likes’ dan ‘views’.”
Dia juga berkata, “Depan hakim dalam mahkamah, mereka mengaku bersalah. Ini semua melibatkan maruah dan air muka orang. Selagi komen tersebut tak dipadamkan dari media sosial, ia akan terus berada di situ sampai bila-bila.”
Shuib turut mendedahkan bahawa arwah isterinya, Siti Sarah Raissuddin, juga pernah menjadi mangsa buli siber. “Siti Sarah sampai terkena gangguan kebimbangan (anxiety) dan tertekan. Ada kala kita tersilap cakap dan kemudian minta maaf, tapi bagi netizen, tiada ampun. Kalau terkena batang hidung sendiri atau adik-beradik macam mana? Tolong berhenti sebab itu bukan budaya kita. Kalau nak teruskan budaya tu, kasihanlah pada hidup anda,” katanya.
Pada Januari lalu, Shuib memenangi saman fitnah terhadap seorang pengguna laman sosial, John Dihani. Namun, Shuib memilih untuk memaafkan John atas dasar ihsan dan profesionalisme. Hujung tahun lalu, Shuib juga tular di TikTok selepas surat terbuka seorang individu mendakwa syarikat yang diasaskannya gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada pekerja.