Setiap tahun sejak 2003, diva Dayang Nurfaizah telah menyambut harijadinya bersama-sama dengan peminat-peminatnya. Tahun ini juga, Dayang akan mengambil langkah untuk menyambut harijadinya yang ke-28 di Hard Rock Café pada 19 Julai 2009, jam 11 malam.
Beliau akan memukau peminat-peminat dengan kelunakan merdu suaranya sebagai tanda penghargaan kepada mereka-mereka yang sentiasa memberi sokongan serta galakan sejak beliau melangkah masukke persada muzik Malaysia.
2009 merupakan tahun ke-10 Dayang di arena muzik tanahair, lantas menjadikan persembahan harijadi ini lebih bermakna. Persembahan ini juga melambangkan pertunjukan pertama Dayang di Hard Rock Café, sebuah tempat pemangkin untuk arena muzik tanahair dan juga antarabangsa yang diiktiraf dunia.
Malam 19 Julai akan menengahkan Dayang dengan lagu-lagu popular artis tempatan dan juga artis antarabangsa yang telah mempengaruhinya selama 10 tahun ini. Penyanyi sensasi ini juga akan menyanyikan lagu-lagu dari album-albumnya yang lepas serta mempersembahkan ‘single’ terbarunya buat kali pertama dari album ketujuhnya, DAYANG LIVE.
ROCK BERSAMA DAYANG @ HARD ROCK CAFÉ pada 19 JULAI 2009, 11 MALAM
[dropcap]T[/dropcap]ahun 2009 ini sungguh bermakna bagi Dayang kerana beliau telah dilantik sebagai Duta Perlindungan dan Pemuliharaan Alam Sekitar oleh Yayasan Pulau Banding serta Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah. Yayasan Pulau Banding bertujuan membuat kajian di dalam kepelbagaian bio Hutan Hujan Belum-Temengor untuk digunakan secara lestari oleh generasi akan datang. Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah pula berfokus kepada kajian dan pemuliharaan ex-situ orang utan yang semakin pupus.
Dayang juga telah diiktirafkan sebagai Selebriti Sokongan ‘Red Ribbon’ oleh Malaysian AIDS Council untuk menciptakan kesedaran tentang transmisi gejala HIV/ AIDS dan juga kesedaran tentang hak orangramai untuk memartabatkan kehidupan harian mereka, tidak kira siapa. Sebagai tanda penghargaan kepada pengiktirafan-pengiktirafan ini, Dayang akan mempersembahkan suatu rampaian lagu-lagu khas bertujuan untuk menciptakan kesedaran melalui lagu dan lirik.
Dayang Nurfaizah telah mencipta dan menempa jalannya yang tersendiri di dalam10 tahun ini – jalan yang mulia sekali. Syabas, Dayang!
Walaupun Dayang seorang ikon fashion namun masih tradisional dalam perwatakan serta karakter beliau dan mempunyai suara yang dapat menghangatkan hati di samping menyejukkan hati seseorang pada waktu yang sama. Inilah keistimewaan Dayang Nurfaizah dan peminat-peminat akan dapat meminta beliau mendendangkan apa jua lagu permintaan pada malam 19 Julai nanti.
Dayang akan disokong oleh pemuzik-pemusik tersohor negara di bawah pimpinan Jenny Chin, Pengarah Muzik terkenal Malaysia . Dayang pasti akan menambat hati peminat-peminat pada malam 19 Julai dengan pengalaman muziknya yang begitu luas sejak 10 tahun ini.
Koleksi barang-barang jenama Dayang akan dijual pada malam itu dan hasilnya akan disalurkan kepada insan-insan yang memerlukan di bawah dana DAYANG SAYANG KAMU. Peminat-peminat boleh juga membeli novel LUKA yang disertakan dengan cakera padat tunggal dan juga album DAYANG LIVE. Bayaran masuk untuk menyaksikan persembahan ini ialah RM40, termasuk satu minuman. Sila telefon Hard Rock Café di 03-2715 5555 untuk keterangan lanjut.