Para peminat radio ERA boleh menikmati personaliti baharu di segmen ‘Petang ERA’, Shiha Zikir, yang akan turut menampilkan pengisian baharu di segmen yang sama bermula hari ini.
Tambahan, peminat juga boleh menikmati pengisian baharu sekarang di ‘JoHaRa Pagi ERA’, segmen pagi No. 1 di Malaysia.
Shiha Zikir, seorang penyanyi dan pelakon tempatan merancakkan suasana segmen ‘Petang ERA’, setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 4 petang hingga 8 malam dengan celoteh dan telatahnya yang mampu membuatkan peminat terhibur.
Gandingan baharu Radin, Danial dan Shiha Zikir ini juga akan menceriakan suasana petang para peminat dengan pilihan lagu yang santai serta pengisian yang menarik.
Peminat boleh menikmati pengisian baharu di ‘Petang ERA’ bersama Radin, Danial dan Shiha Zikir, iaitu Parodi Petang ERA (PPE), menampilkan Shiha Zikir dan Danial membuat parodi santai menyanyikan lagu-lagu Melayu tempatan; POLL Petang ERA, untuk berinteraksi bersama Radin, Danial dan Shiha Zikir menerusi kaedah undian di media sosial; Teka Teki Petang ERA, peminat boleh bermain teka-teki bersama personaliti di udara; dan Bro Porter, di mana Danial akan mengupas isu-isu semasa dan hiburan tanah air serta antarabangsa dengan gaya seorang wartawan yang berada di lokasi luar untuk menyampaikan maklumat.
Selain itu, peminat ERA boleh berhibur dengan pengisian baharu di ‘JoHaRa Pagi ERA’ iaitu ‘Jangan Ganjiong Maa Mr. Tan kan Ada’, di mana Johan, Haniff dan Ray menjemput Tan Bong Heong, bekas pemain badminton profesional negara untuk berinteraksi dan menjawab persoalan-persoalan daripada peminat, pada setiap Isnin hingga Jumaat, pada jam 9 pagi di ERA.
Peminat boleh bertanyakan soalan dan menerima jawapan daripada Mr. Tan (Tan Bong Heong).