Filem seram ‘Misteri Dilaila’ yang diterajuinya berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM9.46 juta sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada awal tahun ini. Malah lagu runut bunyi ‘Hidup Semula’ yang dinyanyikan untuk filem tersebut turut mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Tahun ini juga menyaksikan penyanyi yang mesra disapa sebagai Lizzy ini mula berjinak dalam bidang perniagaan apabila beliau melancarkan jenama produk penjagaan diri miliknya, Mandi.
Bukan itu sahaja, Lizzy turut dilantik sebagai duta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mempromosikan sukan badminton menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kini penyanyi yang popular dengan lagu ‘Knock Knock’, ‘Police Entry’ dan ‘Semua Sudah’ ini, bakal menutup lembaran tahunnya dengan satu lagi catatan bermakna apabila Lizzy bakal muncul dengan single terbaharu berjudul “Shh”.
Single terbitan Warner Music Malaysia ini merupakan karya ciptaan komposer duo tersohor iaitu penyanyi Hael Husaini bersama rakan penerbitnya Ezra Kong yang pernah merangkul gelaran Juara dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) selama dua tahun berturut-turut menerusi lagu ciptaan mereka ‘Jampi’ dan ‘Haram’.
Daya kreatif kedua-dua komposer ini dalam menghasilkan lagu-lagu hits memang tidak dapat dinafikan lagi. Jika sebelum ini, duo ini mengambil inspirasi daripada lagu permainan kanak-kanak dalam lagu ‘Police Entry’ nyanyian Lizzy.
Kali ini mereka menyuntik pula elemen lagu rakyat ke dalam lagu “Shh”. Tidak seperti lenggangan kangkung yang lemah gemalai berayun di riak air, “Shh” diberikan susunan muzik yang mesra telinga mampu membuatkan pendengar turut bergoyang mengikut rentak.
Mengulas tentang single yang membawa genre pop R&B ini, Lizzy berkata,
“Lagu ini bukan saja mengambil inspirasi daripada melodi asal lagu rakyat ‘Lenggang Kangkung’ malah lenggok melodinya juga diberikan interpretasi moden apabila digabungkan dengan melodi ciptaan Hael dan Ezra.”
“Hael dan Ezra sememangnya kreatif dalam penciptaan lagu malah kerja-kerja produksi mereka setaraf dengan produksi antarabangsa dan Lizzy sangat selesa bekerja dengan mereka kerana mereka memahami citarasa dan kekuatan vokal Lizzy.
Lizzy berharap lagu ini sekali lagi mendapat sambutan positif peminat, dan mereka akan terhibur menyaksikan persembahan Lizzy dalam video muzik rasmi lagu ini nanti,”
– Elizabeth Tan
jelas Lizzy lagi yang bakal muncul dengan tiga (3) filem terbaharu, berjudul ‘Escape’, ‘Sekolahaha’ dan ‘Abang Long Fadil 3’ selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
“Shh” boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula hari ini, 6 DISEMBER 2019 manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia pada 6 DISEMBER 2019, jam 8 malam.