“Tidak manis saya bercakap mengenai mereka lagi kerana masing-masing juga mencari rezeki dalam industri sama. “Saya juga tidak mahu dikaitkan dengan Ashraf kerana kami sudah bertahun-tahun berpisah. Tidak perlu dan tiada kepentingan untuk kami dikaitkan lagi kerana dia sendiri sudah pun berbahagia bersama keluarganya.
“Dia juga tidak perlu menghubungi saya dan nama Ashraf tidak perlu diungkit lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulungnya berjudul Seikhlas Cinta, di sini petang tadi.
Sherry berkata demikian ketika diminta mengulas kononnya Ashraf ada menghubunginya semula selepas berita dirinya putus cinta tersebar. Seperti Sherry yang menafikan perkara berkenaan, pelakon dan penerbit itu sebelum ini dilaporkan turut menafikan dirinya kembali berinteraksi dengan aktres terbabit.
Pada awal kemunculannya dulu Sherry pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Ashraf sehinggalah masing-masing membawa haluan sendiri pada 2009. Kemudian, sekitar 2014 Sherry berkasih pula dengan Fattah, 26. Namun, selepas Aidilfitri lalu, hubungan itu juga terlerai.
Ketika Fattah mengumumkan berita perpisahan mereka, Sherry saat itu sedang bercuti selama seminggu di Doha. Sherry akui dirinya terkejut dengan pengumuman berkenaan kerana mereka sudah terlebih dulu berbincang akan memaklumkan mengenai perpisahan terbabit selepas selesai pelancaran single pertamanya. Ditanya adakah keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama, Sherry menjelaskan, ia adalah kemahuan sebelah pihak.
“Tetapi, jika orang sudah tidak mahu, takkan kita nak paksa? Ia bukan benda yang malu untuk diperkatakan. Bagaimanapun, apa yang terjadi ada hikmahnya,” katanya sambil memberitahu, tidak mungkin mereka akan berlakon bersama selepas ini walaupun diberikan peluang berbuat demikian.
Wanita itu juga berkata, beliau sesekali tidak akan menjatuhkan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. “Apa yang saya mahukan adalah nama saya dibersihkan daripada perkara tidak benar, seperti dakwaan mengatakan diri saya mengongkong dan sebagainya,” kata sambil mempersoalkan, kenapa orang ramai perlu mendengar penjelasan daripada sebelah pihak saja.
Sambil mengesat air matanya, Sherry turut menegaskan buat waktu ini beliau enggan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.
Sumber: Berita Harian