Pernah tersepit dalam situasi rumit apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19 namun tidak dipanggil Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dikuarantin, pelakon Sherie Merlis lega apabila episod hitam itu sudah berlalu.
Pelakon drama ‘i-Tanggang – Mother of All Lies’ itu juga bersyukur kerana dia sudah ada kelapangan kembali menjayakan penggambaran tanpa perlu terlalu bimbang terhadap ibunya yang menghidap Alzheimer.
“Alhamdulillah, saya pun sudah pulang ke rumah sendiri. Kesihatan adik serta keluarganya pun sudah semakin bertambah baik. Apabila penggambaran sudah dibenarkan, saya pun sudah kembali bekerja. Namun, jika ada waktu senggang, saya tetap akan pulang ke rumah keluarga untuk membantu.
“Syukur juga sekarang ada pembantu perubatan memantau ibu yang terlantar. Secara keseluruhannya, keadaan kami sekeluarga sangat okay sekarang,”
– Sherie Merlis
Sherie turut terkejut dengan perdebatan netizen di media sosial selepas kisahnya memohon bantuan maklumat membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.
Katanya, dia tidak terasa dengan komen-komen diterima sebaliknya tidak sangka ia menyebabkan sampai ada bertelingkah mengenainya.
“Jujur, saya memang tak cukup tangan bab uruskan rumah sehingga tiada masa nak belek telefon bimbit pantau media sosial. Jadi, apabila saya terluang membacanya, agak terkejut juga.
“Dalam kes itu, saya tidak pernah menuding jari terhadap sesiapa apatah lagi menyalahkan KKM. Cumanya, saya terdesak suarakan kerisauan itu menerusi media sosial apabila buntu nak minta bantuan pada siapa.
“Ada komen kata mereka okay saja terperangkap dalam rumah tanpa perlu ‘melalak’ minta tolong. Tapi bagi saya, hal itu tidak okay kerana dalam situasi mengancam kesihatan sebegitu, penerangan yang tepat mampu selamatkan nyawa kita,”
– Sherie Merlis
Terdahulu, Sherie merayu kepada pengikutnya di Instagram selepas buntu untuk mendapatkan pusat kuarantin buat adik perempuannya yang positif Covid-19 pada Ogos lalu.
Dia mendedahkan sangat bimbang keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya serta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu yang tidak sesuai untuk dijadikan tempat kuarantin. Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas video itu tular, adik perempuan Sherie serta suami dan anak mereka dibawa ke pusat kuarantin oleh KKM.
Hubungi ‘Helpline’, Boleh Selamatkan Nyawa – Sherie Merlis
Pemilik nama lengkap, Sharifah Saadah Wan Zainal Kassim itu bagaimanapun menegaskan bahawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas soal kesihatan rakyat perlu menjalankan peranan dengan telus.
“Berlaku pada diri kita, baru kita tahu apa nak buat. Kalau ada seorang ahli keluarga positif Covid-19, benda itu sangat bahaya untuk ahli keluarga yang lain lagi-lagi kalau duduk bersama.
“Tak boleh lepas begitu sahaja. Penerangan yang betul dan tepat boleh selamatkan keadaan serta nyawa. Ada sampai berbelas orang sekali gus kena Covid-19, it’s not okay (tak okey).
“Kita rakyat dan kita ada hak. Jangan sampai dah tak boleh bernafas, baru ambulans datang rumah nak angkut dan ambil peduli,”
– Sherie Merlis
Nasihat Sherie, andai sesiapa berdepan situasi panik selepas ini dan tidak mendapat respons daripada pihak berwajib, pergi ke mana-mana balai polis atau hubungi talian helpline (talian bantuan).
“Kalau rasa berdepan situasi panik atau tak dapat maklum balas, tak usah guna carian Google, itu mungkin tidak membantu.
“Pergi balai polis atau hubungi helpline. Itu yang patut saya buat terlebih dahulu sebelum ini namun benda dah jadi dan saya bersyukur sedikit banyak tindakan saya membuka mata orang ramai,”
– Sherie Merlis
Terdahulu pada 22 Ogos lalu, Sherie menerusi Instagram miliknya merayu kepada pengikut media sosial dalam Instagram untuk membantunya berkaitan kebuntuan yang dihadapi apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19.
Dalam perkongsian satu video berdurasi empat minit dan 42 saat itu, Sherie yang kelihatan sugul jelas sangat risau mengenai keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya berserta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu.
Bagaimanapun, selepas membuat pendedahan berhubung keadaan adiknya yang positif Covid-19, akhirnya pelakon Sherie Merlis dan keluarga mendapat bantuan segera daripada pihak KKM.
Dalam pada itu, Sherie muncul dengan drama baharu berjudul I-Tanggang yang mengisi slot Astro Originals.
Drama premium 12 episod berkenaan mula menemui penonton setiap hari Isnin, pukul 9 malam di Astro Citra (saluran 108) bermula 13 September.
Sherie melakonkan watak bernama Erma dan bergandingan buat kali pertama dengan pelakon cilik, Danish Hazriq.
I-Tanggang merupakan drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.
Sumber: Kosmo!