in

Shell Eco-Marathon Asia 2015

Empat belas (14) pasukan pelajar dari universiti – universiti terbaik Malaysia akan bersaing dengan pelajar pintar lain dari Asia, Timur Tengah dan Australia pada 26 Feb – 1 Mac 2015

Lebih 120 pasukan pelajar dari seluruh rantau Asia dan Timur Tengah tiba di Manila semalam dengan kenderaan cekap bahan api yang dibina oleh pasukan masing-masing untuk diuji di litar jalan raya di tengah-tengah kota Manila, Filipina. Sempena dengan Shell Eco-marathon yang memasuki tahun ke-30 di peringkat global, pertandingan inovasi pelajar edisi Asia yang keenam meraikan penyertaan buat pertama kali dalam sejarah dari Australia, Bangladesh, Oman dan Arab Saudi.

2015 Shell Eco-marathon Day One

SHELL ECO-MARATHON ASIA 2015 MENYAMBUT KEDATANGAN LEBIH 120 PASUKAN PELAJAR KE MANILA

Sebagai sebuah festival awam yang meraikan pemikiran inovatif dan masa depan mobiliti, Shell Eco-marathon akan diadakan buat kali kedua di litar jalan raya yang dibina khusus di Manila.

Para pelajar dicabar untuk menembusi sempadan kecekapan bahan api dalam persekitaran bandar dunia sebenar, di mana para pemenang akan ditentukan oleh jarak perjalanan yang dicapai, dan bukannya kelajuan, dengan menggunakan satu liter bahan api. Pertandingan tahun lepas menyaksikan Pasukan How Much Ethanol daripada Panjavidhya Technological College Thailand memandu sejauh 2,730km menggunakan satu liter etanol – bersamaan jarak antara Manila dan Jakarta.

Mewakili Malaysia pada kali ini ialah 14 pasukan daripada universiti-universiti terbaik negara ini. Mereka akan bersaing dengan para pelajar universiti, kolej dan institut teknikal dari 17 buah negara; termasuk 49 pasukan yang menyertai buat pertama kalinya pada tahun ini. Bersaing di tempat sendiri ialah 30 pasukan dari kolej kejuruteraan terkemuka Filipina.

Pasukan pelajar boleh menyertai pertandingan kategori kenderaan Prototype atau UrbanConcept. Kategori Prototype menyaksikan para pasukan mencipta kereta masa depan – kenderaan yang direka dengan fokus untuk memaksimumkan kecekapan bahan api melalui elemen reka bentuk yang inovatif, seperti pengurangan seretan. Kategori UrbanConcept memberi tumpuan kepada kenderaan cekap bahan api yang lebih “lasak”. Bagi memenuhi keperluan pemandu yang sebenar, kenderaan ini tampil seperti kenderaan biasa yang dilihat di jalan raya hari ini. Lebih daripada 120 buah kenderaan – yang terdiri daripada model Prototype dan UrbanConcept – telah menyertai peraduan pada tahun ini.

Bagi kedua-dua kategori Prototype dan UrbanConcept, para pasukan boleh menghantar kenderaan menggunakan jenis-jenis tenaga berikut: gasolin, diesel, gasolin alternatif (etanol 100), diesel alternatif (Shell Gas-to-Liquid atau fatty acid methyl ester), bateri elektrik, sel bahan api hidrogen ayau Compressed Natural Gas (CNG), sejenis tenaga baru yang diperkenalkan dalam peraduan 2015. Dalam Shell Eco-marathon Asia 2015, tiga pasukan akan menggunakan Compressed Natural Gas (CNG) sebagai sumber tenaga kenderaan mereka. Keputusan untuk kenderaan berkuasa elektrik dinyatakan dalam km per kilowatt jam (km/kWj), dan dalam km per liter (km/l) bagi tenaga jenis lain. Para pelajar diberi kebebasan untuk menggunakan daya kreativiti mereka dalam aspek teknikal dan reka bentuk, dengan syarat semua kenderaan yang menyertai pertandingan memenuhi peraturan keselamatan yang tertentu.

Shell Eco-marathon Asia 2015 menawarkan 24 anugerah On-Track dengan hadiah wang tunai masing-masing sebanyak US$2,000 dan US$1,000 untuk Pemenang Pertama dan Kedua bagi kedua-dua kategori Prototype dan UrbanConcept. Selain itu, pasukan turut bersaing merebut enam anugerah Off-Track: Anugerah Komunikasi, Reka bentuk Kenderaan, Inovasi Teknikal, Keselamatan, Kegigihan dan Semangat Pertandingan dan juga anugerah Shell Helix Tribology. Anugerah Shell Helix Tribology merupakan hadiah luar litar yang mengiktiraf pasukan pelajar yang menunjukkan penggunaan prinsip kejuruteraan pelincir bagi meningkatkan hasil kecekapan bahan api kenderaan mereka.

Majlis pelepasan pertandingan pelajar ini akan berlangsung pada 27 Februari di Luneta Park yang bersejarah, manakala majlis penutup dan penyampaian anugerah akan diadakan pada 1 Mac di Tent City, Manila Hotel.

Tahun ini juga menandakan edisi kedua Forum Shell Powering Progress Together di Shell Eco-marathon Asia, di mana lebih 300 para perwakilan dari badan kerajaan, perniagaan dan persatuan awam berkumpul untuk membincangkan cabaran dan potensi penyelesaian yang melibatkan sumber tenaga, air dan makanan global. Ia berlangsung serentak dengan Shell Eco-marathon dan menampilkan para penceramah terkemuka dari Filipina dan negara-negara lain.

Shell Eco-marathon Asia 2015 menyediakan pameran pendidikan yang meneroka masa depan dunia dan bandar raya. Para pengunjung berpeluang mengakses zon peminat yang membolehkan mereka berada dekat dengan litar, mengetahui lebih lanjut tentang cabaran, menikmati hidangan ringan yang disediakan dan mungkin dapat bertemu para pemandu selebriti dan personaliti terkenal yang lain. Satu lagi acara tambahan untuk Shell Eco-marathon pada tahun ini ialah Cabaran Fakta atau Fiksyen, yang termasuk demonstrasi interaktif fakta atau fiksyen dan cabaran pemanduan selebriti.

Shell Eco-marathon Asia 2015 dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Filipina: Jabatan Pelancongan dan Bandaraya Manila. Rakan sektor swasta ialah Unilever Philippines, Solane, Coca-Cola, Globe, LEGO dan Hyundai.

Untuk maklumat lanjut tentang semua acara Shell Eco-marathon di seluruh dunia, termasuk peraturan rasmi, arahan untuk pendaftaran dan butiran hadiah, sila layari laman web Shell Eco-marathon di www.shell.com/ecomarathon.

Mengenai Shell Eco-marathon
Shell Eco – marathon bermula pada tahun 1939 di sebuah makmal penyelidikan Shell di Amerika Syarikat sebagai taruhan persahabatan di antara ahli-ahli sains untuk melihat siapa yang boleh mendapatkan jarak perbatuan yang paling jauh bagi segelen dari kenderaan mereka. Pemenang peraduan ini hanya mampu mencapai 50 mpg (21 km/l) dan bermula daripada pertandingan yang kecil ini maka munculnya peraduan yang lebih tersusun. Pada tahun 1985 di Perancis, maka muncullah Shell Eco-marathon seperti yang kita ketahui pada hari ini. Pada April 2007, acara Shell Eco-marathon Americas telah dilancarkan di Amerika Syarikat, dan pada 2010, Shell Eco-marathon Asia yang pertama telah diadakan di Malaysia. Malaysia menjadi hos Shell Eco-Marathon Asia sehingga 2013. Sejak 2014, acara ini telah diadakan di Manila, Filipina, dan terus menjadi hos acara sehingga 2016.

NAMA PASUKAN NAMA INSTITUSI KATEGORI KENDERAAN SUMBER TENAGA
ECO-CHASER MONASH UNIVERSITY PROTOTYPE CNG (COMPRESSED NATURAL GAS)
ECO-SWINGER UNIVERSITY OF MALAYA PROTOTYPE ETHANOL
UITM ECO-SPRINT UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) PROTOTYPE HYDROGEN
UKM 2 CAR FUEL CELL UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) PROTOTYPE HYDROGEN
ECO-VOYAGER UNIVERSITY OF MALAYA PROTOTYPE HYDROGEN
GERMALROS JR. GERMAN MALAYSIAN INSTITUTE PROTOTYPE BATTERY ELECTRIC
GRUNE WELT MULTIMEDIA UNIVERSITY MELAKA CAMPUS PROTOTYPE BATTERY ELECTRIC
OTTOBOT UNIVERSITI TUNKU ABDUL RAHMAN PROTOTYPE BATTERY ELECTRIC
ENGGANG EMAS RACING TEAM CURTIN UNIVERSITY SARAWAK PROTOTYPE BATTERY ELECTRIC
UMP MECHAPRO UNIVERSITY MALAYSIA PAHANG (UMP) PROTOTYPE BATTERY ELECTRIC
SAE-UMP CHAPTER UNIVERSITY MALAYSIA PAHANG (UMP) URBANCONCEPT DIESEL
TEAM MONASH ALPHA MONASH UNIVERSITY URBANCONCEPT ETHANOL
UKM CAR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) URBANCONCEPT ETHANOL
UiTM ECO-PLANET UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) URBANCONCEPT HYDROGEN

Rakan Global Shell Eco-marathon
• HP: Official Global Information Technology (IT) Partner
• Michelin: Official Global Paddock Partner and Tyre Supplier
• The Linde Group: Official Global Paddock Partner
• Southwest Research Institute: Official Global Paddock Partner

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Menarik di 8TV Sepanjang Mac 2015

Konsert Akhir MENTOR LEGEND Raih Lebih 4.8 Juta Penonton