Pelakon Sheera Iskandar, 30, selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Abdullah Harun, 31, di Ara Damansara, dekat sini, kira-kira 8 malam semalam. Dalam majlis itu, Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 beserta lima dulang hantaran, manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Sheera berkata, dia bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar dengan dihadiri keluarga terdekat saja.
“Majlis ini dirancang kurang dari sebulan. Saya berterima kasih kepada keluarga mentua kerana banyak membantu dalam membuat persiapan. Dari awal hingga majlis tamat, mereka antara tulang belakang saya. Tanpa mereka, saya sendiri tak tahu nak mula dari mana untuk memulakan persiapan majlis,” katanya yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid.
Menurut Sheera, majlis persandingan dengan suami yang juga chef di syarikat katering Teaffani dijangka diadakan tahun depan selepas berlangsung majlis perkahwinan adiknya.