Pada jam 3 petang ini, Budiey bergegas ke Duta Tropika yang berdekatan dengan Publika untuk mengikuti pengumuman dari pelakon Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, yang telah memilih 31 Mac 2017 sebagai tarikh keramat untuk disatukan sebagai suami-isteri dengan kakak kepada Neelofa iaitu Noor Nabila Mohd Noor yang berusia 33 tahun. Tahniah buat Sharnaaz. Akhirnya, tahun 2017 kita dapat menyaksikan mereka disatukan.
Budiey juga turut buat FB Live dan korang boleh menonton video sekitar pengumuman ini di laman Facebook budiey.com: www.facebook.com/budieydotcom. Jangan lupa share dan repost ya.
Pelakon yang berusia 32 tahun itu juga mengumumkan majlis akad nikah mereka akan diadakan di kediaman wanita itu di Duta Troika pada jam 8 malam Jumaat.
“Tarikh itu dipilih mengikut nasihat keluarga yang mahu perkahwinan kami dipercepatkan dan tarikh 31 Mac itu tiada apa-apa yang istimewa.
“Keluarga mahu majlis dilakukan pada Mac kerana tidak mahu terkejar-kejar dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Puasa.
Pihak media juga bertanyakan tentang persediaan yang kini sedang dibuat. Sharnaaz ada mengatakan beliau tak lena tidur sebab terlalu banyak memikirkan tentang persiapan. Walaupun persiapan dan perancangan majlis kahwin ini dirancang oleh adik kepada Noor Nabila, namun, Sharnaaz kenalah meninjau agar majlis berjalan lancar.
Pelakon lelaki itu berkata majlis pernikahan itu akan diadakan secara tertutup bersama ahli keluarga terdekat sahaja.
“Kami merancang untuk bernikah di kediaman Nabila yang akan dihadiri ahli keluarga terdekat, namun kami masih berbincang sama ada menjemput media atau tidak kerana kawasan itu kecil sahaja takut tidak cukup tempat,” ujarnya.
Majlis resepsi akan diadakan pada 2 April di Kuala Lumpur dan di sebelah keluarga lelaki pula akan diadakan pada 16 April di G Hotel, Gurney Plaza, Pulau Pinang.
Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia tidak mengadakan sebarang majlis pertunangan sebelum bernikah.
“Kami buat majlis perkahwinan secara sederhana sahaja dan kami juga tidak bertunang kerana tidak mahu melalui dugaan bertunang.
“Perkara itu juga antara nasihat keluarga yang mahu kami terus sahaja bernikah,” ujarnya.
Terdahulu majlis merisik diadakan di kediaman wanita tersebut di sini pada 18 Disember 2016.