Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata pelakon itu berdepan pertuduhan mencederakan orang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Sharnaaz ditahan selepas didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut pada 16 Jun tahun lalu.
Suspek ditahan selepas mangsa yang juga penghuni kondominium tersebut membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek dan lebam di mukanya.
Difahamkan, kejadian bermula apabila mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal sehingga berlaku pertengkaran.
Pelakon terbabit yang melihat insiden tersebut datang menegur mereka sebelum bertukar sebaliknya apabila dia didakwa bertindak menumbuk mangsa.
Susulan kejadian itu, pelakon tersebut direman tiga hari dan dibebaskan sementara kertas siasatan lengkap untuk pertuduhan.