Pelakon, Sharnaaz Ahmad mendedahkan sewaktu menjalani penggambaran filem Polis Evo 3 beberapa tahun lalu, ketika itu dirinya sedang berdepan dengan polemik rumah tangga bersama bekas isteri, Noor Nabila.
Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengakui ketika itu dirinya telah melalui fasa yang sukar dalam hidup.
Bagaimanapun, jelas aktor berusia 37 tahun itu, dia hanya mahu melakukan yang terbaik dan memberikan segalanya pada watak bernama Reza yang digalas dalam filem berkenaan.
Semua sedia maklum, ketika itu ada melalui banyak fasa dalam kehidupan saya yang agak mencabar. Cumanya ketika itu apa yang saya buat adalah dedikasi kehidupan saya pada latihan untuk filem ini.
Saya cakap pada diri sendiri, ini adalah masanya untuk buat yang terbaik. Kalau ketika itu saya ingin chau (pergi), saya akan pergi dengan cara yang baik.
Waktu itu saya hanya buat latihan harian seperti biasa, pagi, petang dan malam.
Kalau lihat ada babak yang begitu emosi ketika itu kerana saya hanya fikir yang terbaik sahaja. Saya akan sedih jika tidak berjaya buat apa yang sepatutnya.
Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Polis Evo 3 yang diadakan di KLCC, baru-baru ini.
Disoal bagaimana dirinya mengawal emosi dalam filem arahan Syafiq Yusof itu meskipun sedang dilanda masalah peribadi, Sharnaaz berkata, dia hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang pelakon dengan sebaik mungkin.
Saya hanya buat kerja saya, itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu saya lakukan. Kerja adalah kerja.
Jadinya, itulah yang semampu yang saya boleh bagi. Kalau penonton rasa tidak cukup, saya minta maaf.
Berkongsi mengenai pembabitannya dalam filem Polis Evo 3, Sharnaaz berkata dia sudah pun memberikan yang terbaik, sehingga terpaksa melalui pembedahan hidung berikutan adegan lasak yang dijayakan.
Sebenarnya ketika menjayakan filem ini, saya banyak berhadapan dengan kesakitan antaranya saya ada masalah gigi, setiap hari. Mungkin kedengaran lucu, tapi cubalah berlakon ketika sakit gigi.
Jadi saya bergelut dengan kesakitan itu, dan banyak benda lain lagi seperti kecederaan di lutut. Malah selepas saya menjayakan filem ini, saya kena menjalani pembedahan hidung berikutan habuk di lokasi penggambaran.
Bagi saya, itulah satu memori indah bagi saya. Kerana saya jujurnya memang mahu menjayakan filem ini sehingga saya tidak kisah soal bayaran dan disebabkan itu saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada francais Polis Evo.
Polis Evo 3 bakal menjengah 165 buah pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 25 Mei ini. Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini mengangkat kredibiliti pasukan polis negara dan Polis Evo 3 masih mengekalkan elemen aksi komedi.
Selain Sharnaaz, turut membintangi filem itu ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Nora Danish dan ramai lagi.
Untuk rekod, Sharnaaz dan Nabila pernah mendirkan rumah tangga pada Mac 2017, namun disahkan bercerai secara hakam oleh mahkamah pada Julai 2020.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.