Selepas mencipta fenomena dengan lagu viral bertajuk “40” di TikTok tahun lalu, penyanyi versatil Sharifah Zarina kembali mewarnai dunia hiburan dengan sebuah karya raya terbaharu berjudul OOHAA RAYA. Namun kali ini, beliau tampil dengan sesuatu yang cukup istimewa – berduet bersama anak perempuannya, Athalia, menjadikan projek ini antara kolaborasi ibu dan anak pertama dalam sejarah lagu raya tanah air!
Sharifah Zarina tidak sekadar mahu tampil dengan lagu biasa, sebaliknya ingin memberikan sesuatu yang bermakna, dekat di hati dan mencerminkan realiti kehidupan mereka sekeluarga sempena Aidilfitri. Maka lahirlah OOHAA RAYA, lagu penuh keceriaan, nilai kekeluargaan, serta sentuhan budaya dari negeri kelahiran Zarina sendiri, iaitu Sarawak.
Kolaborasi Unik Ibu Dan Anak, Inspirasi Dari Kehidupan Sebenar
Dalam dunia muzik Malaysia, kolaborasi antara ibu dan anak dalam sebuah lagu raya adalah satu fenomena baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. Sharifah Zarina dan Athalia mengambil langkah berani ini bukan sekadar untuk tampil berbeza, tetapi kerana mereka mahu membawa cerita sebenar mereka ke dalam sebuah karya yang boleh dinikmati ramai.
Menurut Zarina, idea asal untuk berduet datang daripada Eugene Lai, yang bukan sahaja bertindak sebagai komposer tetapi juga produser lagu ini. Zarina akui, “Bila difikirkan, saya rasa ini idea yang menarik dan unik. Lagipun belum ada lagi lagu raya yang menggabungkan suara ibu dan anak. Jadi kenapa tidak kami cuba?”
Lebih menarik, proses rakaman lagu ini turut disulami pelbagai emosi. Zarina menceritakan, “Selalunya bila rakam lagu, saya nyanyi seorang. Tapi kali ini dengan anak sendiri, kadang-kadang ‘terbawa’ sikap seorang mak – nak betulkan nyanyian dia, nak kongsi idea, kadang-kadang termarah jugalah! Tapi itu semua jadi memori manis buat kami.”
Lagu Raya Dengan Sentuhan Budaya Sarawak
OOHAA, dalam bahasa Iban bermaksud “Hello” atau “Hai”, menjadi simbol sambutan dan keramahan yang begitu sinonim dengan rakyat Sarawak. Bagi Zarina, penggunaan istilah ini adalah cara menghargai asal-usul dan membawa elemen budaya tempatan ke dalam karya seni.
“Sebagai anak jati Sarawak, saya nak bawa sedikit elemen budaya dari negeri saya. Jadi perkataan OOHAA tu memang sangat dekat dengan saya dan masyarakat di sana,” jelasnya. Menurutnya, lirik lagu ini pula adalah 100% kisah benar tentang kehidupannya bersama anak-anak, yang sering dikongsi di platform TikTok. Bukan sekadar lagu, ia adalah cerita kehidupan yang dirakam dalam bentuk melodi dan lirik.
Siri Web Raya Di TikTok, Tontonan Tambahan Buat Peminat
Sebagai nilai tambah, lagu ini turut hadir dengan 6 episod siri web yang dimuat naik ke akaun TikTok Sharifah Zarina dan Athalia. Siri ini bukan sahaja konten hiburan tetapi juga penguat kepada jalan cerita lagu ini. Video-video ini mendapat sambutan hangat kerana gaya komedi ringan, dan tentunya keletah ibu dan anak yang penuh gelagat. Zarina sendiri mengakui minat terhadap bidang lakonan semakin membara selepas terlibat dalam penggambaran ini.
“Kita rakam MV ni masa bulan puasa, jadi memang seronok dapat buka puasa ramai-ramai dengan team produksi. Suasananya penuh kemeriahan dan semua orang seronok terlibat dalam projek ni,” katanya dengan penuh teruja.
Athalia: “Seronok Tapi Kadang-Kadang Kena Berdebat!”
Bagi Athalia, peluang untuk merakam lagu raya bersama ibunya adalah peluang keemasan yang sangat dihargai. Selain dapat menguatkan hubungan ibu dan anak, ia juga memberi ruang untuk mereka saling belajar cara kerja masing-masing.
Namun, seperti yang dikongsi dengan jujur, proses ini bukanlah mudah sepenuhnya. “Kadang-kadang kita berdebat jugak, siapa betul siapa salah. Tapi, kami cuba selesaikan secara baik dan akhirnya dapat capai kata sepakat. Sebab kami ni anak-beranak, senang nak komunikasi dan ‘move on’.”
Athalia turut berkongsi bahawa beliau turut mempunyai satu lagi lagu raya bersama beberapa artis lain, yang akan turut dilancarkan tidak lama lagi. “Harap orang suka dua-dua lagu ni sebab vibe dia berbeza, tapi dua-dua memang **‘fun’ dan sedap didengar,” katanya penuh harapan.
Gabungan Muzik Tradisional Dan Moden, Vibe Raya Yang ‘Fresh’
Eugene Lai dan Ja’a pada awalnya mahu mencipta lagu dengan elemen keroncong yang lebih tradisional. Namun, selepas berbincang dengan Zarina dan Athalia, lagu ini akhirnya berubah menjadi lagu dengan feel reggae yang segar dan moden.
Eugene menjelaskan, “Kami gabungkan keroncong dengan reggae. Menariknya, Zarina dan Athalia sendiri tambah lirik dan melodi untuk sesuaikan dengan personaliti mereka. Lagu ni jadi lebih meriah, ada unsur gurauan antara ibu dan anak, jadi ia memang raya vibe yang seronok.”
Ja’a pula berpuas hati kerana hasil akhir OOHAA RAYA bukan sahaja berjaya gabungkan dua genre muzik yang berbeza, tetapi juga berjaya mencipta satu identiti yang unik – lagu raya berkonsepkan ibu dan anak, dengan lirik dan melodi hasil kerjasama kedua-dua artis ini.
OOHAA RAYA Kini Di Semua Platform, Saksikan MV Rasmi Di YouTube
OOHAA RAYA telah pun dilancarkan secara rasmi pada 14 Mac 2025 oleh Universal Music Malaysia, dan kini boleh didengari di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.
Malah, video muzik rasmi (MV) lagu ini juga ditayangkan hari ini jam 5.30 petang di saluran YouTube Faithful Music. Buat peminat yang nak rasai suasana raya yang ceria, berbeza dan ‘vibes’ kekeluargaan, ini adalah lagu yang wajib ada dalam playlist anda!
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, kemunculan lagu OOHAA RAYA ini adalah satu angin segar dalam dunia muzik raya Malaysia. Selain melodi yang catchy dan gabungan genre yang tidak dijangka, nilai sentimental dalam lagu ini menjadikannya lebih dekat di hati pendengar. Projek ini membuktikan bahawa kolaborasi kekeluargaan boleh menghasilkan sesuatu yang bernilai dan autentik.
Mungkin selepas ini, lebih ramai artis boleh berani tampil dengan kolaborasi sebegini, membawa kisah sebenar mereka ke dalam muzik. Dalam era media sosial, kisah keluarga dan realiti kehidupan memang mendapat tempat di hati peminat, dan OOHAA RAYA adalah contoh terbaik bagaimana ia boleh diterjemah secara kreatif.
Jadi, kepada semua, jangan lupa stream OOHAA RAYA, sokong artis tempatan dan rasai vibe Aidilfitri yang berbeza tahun ini. Raya kita, gaya kita, OOHAA!