Drama Dulu Dollah Daebak terus mencuri perhatian penonton dengan kisah penuh kelucuan dan romantik yang tak disangka-sangka. Drama ini mengisahkan perjalanan hidup seorang lelaki bernama Abdullah Arfan atau lebih dikenali sebagai Dollah, yang melalui transformasi luar biasa. Dari lelaki yang sering dibuli dan dipandang rendah, dia kini menjadi rebutan wanita.
Nostalgia Cinta Monyet Bertukar Menjadi Misi Cinta Sejati?
Segalanya bermula dengan kenangan cinta monyet antara Doli (Durrah) dan Dollah yang membangkitkan semula memori zaman kanak-kanak. Setelah lama menetap di luar negara, Doli kembali ke Malaysia dengan satu misi: mencari Dollah, cinta pertamanya yang tak pernah dilupakan.
“Mana tau, cinta monyet bertukar jadi cinta sejati… kalau jumpalah,” kata Doli pada rakan serumahnya. Namun, yang ditemui bukanlah lelaki kacak yang diimpikan, tetapi seorang lelaki dengan rupa yang kurang menarik, lengkap dengan wajah berjerawat dan bau badan yang kurang menyenangkan.
Pertemuan Semula: Antara Harapan dan Kenyataan
Pertemuan semula Doli dan Dollah berlaku tanpa sengaja di hadapan sebuah kafe. Walaupun kedua-duanya perasan akan keychain yang sama – simbol hadiah ketika kecil – mereka cuba menolak perasaan curiga. Dollah yang sekarang bekerja keras untuk keluarganya, sering dibuli oleh rakan sekerja dan dimarahi oleh bosnya, Kamal, kerana penampilannya yang tidak terurus.
Doli kemudian mula bekerja di syarikat yang sama dengan Dollah sebagai pengganti Kamal, yang membuatkan dia semakin kerap berinteraksi dengan Dollah. Doli sering mengkritik Dollah secara terbuka tentang penampilannya, terutamanya bau badannya. “Tolonglah pakai perfume!” bentak Doli di pejabat. Situasi semakin tegang apabila Doli mula merasa keliru tentang perasaannya terhadap Dollah, yang walaupun tidak menarik pada luarannya, tetap mempunyai sifat yang baik dan bertanggungjawab.
Konflik dan Komedi Mewarnai Hubungan Doli dan Dollah
Keadaan bertambah rumit apabila COO baharu syarikat, Fatah Amir, muncul dan menambah ketegangan dalam hubungan mereka. Fatah yang menawan dan segak mula mencuri perhatian Doli, namun Dollah yang masih setia dengan sikap rendah dirinya, merasa semakin terasing. Situasi menjadi lucu apabila Dollah dengan cemburunya menghalang Fatah daripada terlalu rapat dengan Doli, walaupun Doli masih dalam dilema tentang perasaannya.
Sementara itu, Dollah mula menerima nasihat dari keluarga dan rakan-rakan untuk memperbaiki penampilannya. Dari seorang lelaki yang sering diabaikan, Dollah mula tampil dengan lebih yakin, wajahnya semakin bersih dari jerawat, dan bau badannya tidak lagi menjadi masalah. Transformasi Dollah mengejutkan semua orang, terutamanya Doli yang semakin keliru dengan perubahan besar itu.
Perebutan Hati Dollah: Doli atau Risya?
Dollah yang kini berubah menjadi lebih menarik mula menjadi rebutan, bukan hanya oleh Doli tetapi juga Risya, adik kepada salah seorang rakan sekerjanya. Risya semakin tertarik dengan Dollah dan cuba memenangi hatinya. Dollah pula mula berasa bingung dengan perhatian yang diberikan kepadanya. “Arghhh… tu yang malas jadi hensem ni. Jadi rebutan wanita-wanita pula macam dulu,” keluh Dollah dengan nada kelakar.
Adakah Cinta Monyet Akan Berakhir Dengan Cinta Sejati?
Drama ini bukan sahaja menyajikan kisah cinta yang berbelit, tetapi juga penuh dengan momen-momen kelakar yang pasti mencuit hati. Penonton tertanya-tanya, adakah Doli akan mengakui perasaannya kepada Dollah? Atau adakah Risya akan berjaya mencuri hati Dollah? Bagaimana pula dengan Fatah yang juga mungkin menjadi saingan?
Saksikan episod seterusnya drama Dulu Dollah Daebak yang penuh dengan komedi, pengajaran, dan kejutan, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3, atau tonton lebih awal menerusi aplikasi Tonton.