6 Oktober 2010 lalu telah mempertemukan Budiey dengan seorang bekas peserta Gadis Melayu musim kedua yang dulunya menggemparkan industri dengan kontroversi panas gambar terlampaunya yang tersebar di internet.
Masih ingat lagi dengan Sharifah Jasmine Soraya? Budiey tak nak letak gambar panas tu kat sini sebab tak nak bawa isu kontroversi yang dah lapuk. Bak kata Jasmine, yang lepas biarlah lepas, yang nak kita hadapi adalah hari ini, esok dan masa depan.
Kalau anda tak ingat, tidak mengapa kerana bagi Sharifah Jasmine Soraya, kini lembaran baru telah dibuka dan beliau nekad untuk melupakan segala kenangan pahit dulu menjadi pengajaran berharga buat dirinya. Yang lepas itu, biarlah berlalu. Sikit pun, Jasmine tak kesal dengan apa yang berlaku. Itu kata gadis yang masih lagi belajar dalam bidang Mass Komunikasi dan Pengurusan Media dari Kolej Antarabangsa Taylors.
Tragedi itu menjadikan beliau kini lebih menjaga tingkah laku, setiap langkahnya diperhatikan dan semahunya dia akan menjaga maruah diri dan keluarga. Dia juga tak nak melayan kalau ada orang mahu mengungkit kisah gambar lama yang hot itu. Kena berfikiran positif. Orang ada mulut, orang boleh cakap, kita tak boleh halang. Apa yang penting, Jasmine rasa bersyukur kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya dari keluarga dan kawan rapat.
Kini, Sharifah Jasmine Soraya telah kembali menjadi hos sebuah program automotif di TV3 iaitu AUTO yang ditayangkan mulai 3 Oktober lalu setiap Ahad, jam 5 petang.
Jauh di sudut hati, kontroversi gambar aksi panasnya itu tak mengganggu karier dan kehidupannya sekarang kerana beliau sudah berhijrah ke arah yang lebih baik.
Sharifah Jasmine Soraya rasa bertuah kerana terpilih menjadi pengacara AUTO kerana antara ramai-ramai peserta Gadis Melayu, beliau dipilih. Sangat mencabar katanya kerana ini adalah kali pertama Jasmine mengacara secara serius. Yang seronok, beliau memang sudah lama meminati sukan permotoran. Dia juga suka mengacara program yang lasak.
Bukan senang untuk mengacara AUTO kerana beliau perlu buat homework, buat kajian terperinci untuk tidak tersilap semasa mengacara kerana ianya melibatkan fakta-fakta tentang setiap kereta atau motor.