in ,

Shahrol Shiro Hos Travelog Rayau Kampung

Dari kampung mana anda berasal? Cuba nyatakan dengan bangganya. Pastinya setiap kampung memiliki tarikan dan keunikannya yang tersendiri. Menampilkan Shahrol Shiro sebagai hos, rancangan travelog terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Rayau Kampung” yang mula bersiaran pada 1 Mei lalu membawa penonton menjelajah dengan pendekatan kepada keadaan suasana kehidupan kampung di segenap pelusuk daerah di Malaysia.

Disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, pukul 10.30 malam menerusi TV1, 11 episod siri ini meneroka keunikan kampung dipilih iaitu di Selangor; Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Sabak Bernam, dan Kampung Parit 3 & 4, Sungai Besar. Jelajah di Perak mengunjungi Kampung Batu Empat, Tapah Road dan Kampung Beng, Lenggung manakala di Negeri Sembilan lokasi dipilih Kampung Jeram Panjang, Jempol, dan Tanjung Ipoh, Kuala Pilah.

Rayau Kampung

Shahrol Shiro Hos Travelog Rayau Kampung Di TV1

Sementara itu di Kelantan memilih lokasi Kampung Kemunchup, Machang, dan dua kampung di Kluang, Johor iaitu Kampung Tengah Kluang dan Kampung Melayu Niyor sebelum diakhiri dengan kunjungan ke Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Melaka.

Ikuti perkongsian menarik memaparkan lawatan ke Kg. Batu 23, Sungai Nibong dalam daerah Sabak Bernam, Selangor. Keseluruhan warga, terdiri dari keturunan Jawa Melaka dengan kerja turun ke sawah menanam padi dan sebagai nelayan dengan aktiviti utama menjaring udang serta menangkap ikan di laut. Di sini masih ada kebudayaan permainan Wayang Kulit Jawa dengan persembahan dalam loghat Jawa dan perhimpunan kereta lama yang diadakan dalam masa dua minggu sekali. Makanan istimewa di sini adalah dari pelbagai corak memasak sejenis siput kerang air dipanggil Mentarang.

Episod seterusnya membawa kepada lawatan di Kg. Batu Empat Tapah Road mengusahakan kebun getah, kelapa sawit dan industri kampung. Istimewanya di sini terdapat stesen kereta api, antara yang tertua di Malaysia, dibina pada 18 Mei 1893 yang menghubung di antara Tapah Road dan Teluk Intan. Aktiviti riadah pula air terjun Lata Kinjang, 15 kilometer dari Tapah Road dan di sini juga terdapat satu kampung orang asli, Kg. Sungai Groyang dengan suku kaum Semai.

Kunjungan di Kampung Beng, Lenggung, Perak kembara pada waktu malam, dengan menaiki sebuah bot bersama ketua kampung, membawa pengenalan kepada Kampung Beng di daerah Lenggung, Perak. Di pagi hari, kelihatan budak-budak pergi sekolah juga dengan menaiki bot melintasi Tasik Cenderoh atau Tasik Raban. Dari jauh kelihatan kebiruan Banjaran Titiwangsa. Terdapat kawasan gunung dan gua yang sesuai dilawati oleh pelancong, terutama sekali yang berkaitan dengan penemuan bahan arkeologi “Perak Man” di Lenggung.

Hos Shahrol Shiro turut membawa penonton mengunjungi Kampung Parit 3 & 4, Sungai Besar, Selangor di mana remaja mempunyai acara kesenian yang terus dihidupkan seperti silat dan Kuda Kepang Jawa. Aktiviti penduduk, terutama sekali pada setiap pagi hari Selasa adalah penjualan produk di “Pasar Selasa”, nama sempena hari Selasa.

Kembara ke Kampung Jeram Panjang, Jempol, Negeri Sembilan berkongsi keistimewaan kedudukan kampung ini yang bersempadan dengan tiga buah negeri iaitu, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. Di kampung ini pengacara ditunjukkan cara membuat Ikan Pekasam oleh Kak Miza dan pembuatan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Bersama warga kampung pengacara bermain galah panjang, batu seremban, bermain kompang pada waktu malam dan aktiviti menjala ikan di sungai serta menahan “Tuwa” perangkap ikan.

Lawatan di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan menarik kerana kebetulan masyarakat setempat mengadakan Pesta Olek Sawah, satu aktiviti bersawah yang dilakukan pada zaman dahulu, tanpa menggunakan peralatan teknologi terkini. Kehidupan di kampung bergantung penuh kepada bahan keluaran kampung. Di sini juga terdapat satu lokasi kem bina semangat yang dikenali sebagai D’ Corp Echo Camp yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk anak-anak menjalankan aktiviti bina semangat, terutama sekali pada musim cuti sekolah. Di sini juga terdapat penemuan batu batan megalitik yang dipercayai wujud pada zaman batu dahulu. Masyarakat kampung yang ramah dan baik akan pasti mengikat hati sesiapa sahaja yang mengujungi pekan kecil ini.

Ikuti banyak lagi lokasi kampung menarik di TV1.

Rayau Kampung

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Isu Panas Apabila Fattah Amin & Nur Fazura Tidak Jadi Tetamu MeleTOP

Biscotti Bersama Chef Zam di Saluran TVi