Shahir Zawawi, meluahkan hasrat untuk menarik diri daripada pertandingan akhir AF Megastar, Ahad ini.
Beliau berkongsi perkara berkenaan menerusi muat naik terbarunya di laman sosial Instagram, sebentar tadi.
Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kelapan itu berbuat demikian ketika beliau dilihat semakin terjerut dalam kontroversi membabitkan hubungannya dengan wanita dikenali sebagai Mona Syamimi Mohd Samsudin.
Menerusi muat naik itu juga, Shahir melihat dugaan dilalui olehnya kini sebagai usaha untuk mensabotaj dirinya.
“Tak senang hati rupanya melihat Allah bagi rezeki pada saya. Cuba sabotaj demi sabotaj untuk menutup periuk nasi saya.
“Baiklah, demi merealisasikan impian mereka untuk menghancurkan kerjaya saya, insya-Allah saya sendiri akan tarik diri daripada pentas akhir AF Megastar,” tulisnya.
Selasa lalu, Shahir, yang dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan Erra Fazira, menjadi bualan ramai apabila dirinya dikaitkan pula dengan pramugari berkenaan.
Lelaki kelahiran Kampar, Perak, itu bagaimanapun menegaskan, hubungannya dengan Mona tidak lebih daripada artis dan peminat. Mona pula mendakwa, Shahir cuba menyembunyikan kebenaran kerana hubungan mereka.
Semalam, Shahir mendedahkan kepada BH Online, beliau berhasrat menyunting Erra selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Selama tiga tahun lebih menjalinkan hubungan dengan Erra, saya berani katakan hanya dia yang bertakhta di hati ini.
“Saya berhasrat nak memperisterikannya awal tahun depan. Semoga semua ini dipermudahkan,” katanya.
Pada pentas akhir AF Megastar, Shahir akan berentap dengan empat lagi finalis iaitu Idayu, Marsha, Bob dan Syamel.
Keputusan Shahir untuk menarik diri itu bagaimanapun dibantah ramai pengikutnya, termasuk teman artis yang mahu melihat dia ini terus bertanding.
Sumber: Berita Harian