Slot Cerekarama di TV3 yang menayangkan telefilem Melayu terbaik daripada pengkarya filem tanahair bakal menayangkan sebuah karya dari JS Pictures “Dunia Batinku” menampilkan lakonan menyentuh jiwa daripada Shafie Naswip, Syahirah Maisara, Normah Damanhuri, Sheila Rusly, Fizz Fairuz, Memey Suhaiza, Shahrolnizam, Fathia, Nina Caryn dan ramai lagi bersiaran pada 20 Februari 2010 jam 9.00malam.
“Dunia Batinku” merupakan hasil nukilan gandingan mantap suami isteri, Jinggo (Azman Yahya) dan Sheila Rusly dari JS Pictures yang diilhamkan melalui telemovie yang bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi juga sarat dengan nilai-nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran bersama menekankan kepentingan kasih sayang keluarga, pengorbanan mulia seorang ibu serta rasa hormat dan taat setia anak-anak kepada orang tua mereka.
Bak kata pepatah kehidupan, “Semangat bersama air mata ialah teman setia untuk kita meneruskan kehidupan yang ada. Yang pergi pasti tidak akan kembali.” Berikutlah yang ingin diketengahkan melalui ”Dunia Batinku” yang mengisahkan Khadija (Sheila Rusly), seorang wanita yang selama ini bergantung hidup dengan suami tetapi terpaksa akur dengan ketentuan Illahi. Kehilangan suaminya menyebabkan Khadija pada awalnya tidak berdaya untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi bila mengetahui dirinya berbadan dua. Demi anak-anak yang semakin membesar serta ibu mertuanya, Halimah yang uzur kerana kencing manis, Khadija tidak ada pilihan lain dan terpaksa bekerja siang dan malam untuk menampung kehidupan seharian mereka.
Halimah pernah cuba membunuh diri kerana tidak mahu menyusahkan Khadija anak-beranak. Meskipun disarat kepayahan hidup, Khadija tidak membenarkan anak-anaknya berhenti sekolah. Khadija yakin hanya pelajaran yang boleh mengubah taraf kehidupan mereka. Anak sulungnya, Zainal akan menduduki PMR. Anak keduanya, Siti Zaharah akan mengambil peperiksaan UPSR dan yang paling bongsu, Siti Mariam baru berusia 6 tahun. Sikap degil Zainal yang sering bercanggah pendapat dengannya menambahkan lagi tekanan hidup Khadija.
Malang tidak berbau. Khadija dipatuk ular sewaktu berkebun seorang diri dan tidak sempat diselamatkan bersama anak kandungannya. Zainal betul-betul menyesal kerana sering mengecewakan ibunya. Dia nekad berusaha untuk cemerlang dalam akademik supaya dapat mengubah nasib keluarga dan memberikan kehidupan yang lebih baik untuk adik beradiknya.
Namun, dugaan demi dugaan, kini adik bongsunya, Siti Mariam pula dihantar ke rumah anak-anak yatim. Dapatkah Zainal menunaikan janjinya kepada adik-adiknya bahawa mereka akan kembali bersatu pada masa hadapan? Bagaimanakah nasib ketiga-tiga yatim piatu bersama nenek mereka yang semakin uzur?
Saksikan kesudahan cerita “Dunia Batinku” di slot Cerekarama pada 20 Februari 2010 jam 9.00malam, hanya di TV3!