in , ,

Shaa Kembali Pertaruhkan Genre Balada Pop Melayu Berjudul Kau Bukan Milikku

Mana mungkin boleh melupakan penyanyi bersuara lantang ini yang telah menambat hati peminat muzik tanahair menerusi single sulungnya berjudul “Pertama Kali” pada 2017.

Fenomena dicipta Shaa, 28, atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari membuatkan setiap lagu yang dilancarkan berjaya meraih perhatian dan tontonan yang tinggi di saluran YouTube. 

Video muzik dan video lirik lagu “Pertama Kali” dan “Biar Ku Pergi” nyanyian Shaa masing-masing berjaya capai gabungan tontonan sebanyak 37 juta dan 6.2 juta di YouTube! Malah lagu “Pertama Kali” kini melonjak popular di TikTok!    

Shaa kembali, pertaruh Kau Bukan Milikku

Selepas lagu “Biar Ku Pergi” (2018) dan “Tersentak di Dada” (2022), Shaa kembali dengan single terbaharu berjudul “Kau Bukan Milikku” hasil ciptaan sepenuhnya oleh Mekiya yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn. Bhd.

Shaa berkata, dia sekali lagi mempertaruhkan genre ‘Balada Pop Melayu’ yang dianggap kena dengan vokal dimiliki selain memenuhi permintaan pendengar.

“Genre lagu kali ini sama saja macam lagu-lagu terdahulu saya. Bagi saya, genre Balada Pop Melayu cukup kena dengan vokal saya. Malah, peminat juga memberikan maklumbalas baik untuk lagu-lagu saya yang bergenre sebegini.

“Lagu Kau Bukan Milikku ini mengisahkan mengenai pasangan yang menipu dalam percintaan. Dia seakan cinta sepenuhnya tetapi sebenarnya penuh sandiwara dan penipuan. Sedangkan pasangannya mengharapkan cinta sejati.

“Kalau diamati bait lirik lagu ini, ia mungkin ada kaitan dengan mana-mana pasangan yang pernah melalui episod percintaan sebegini. Jadi, mereka dapat rasa betapa pedih dan sakitnya hati,”

– Shaa
Shaa kembali, pertaruh Kau Bukan Milikku

Menurutnya, lagu “Kau Bukan Milikku” ini mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri berbanding single sebelumnya.

“Lagu ini mempunyai kelebihan dari segi melodi dan lirik. Melodinya sangat menarik dan mampu memukau pendengar dengan lenggok melodi yang sedap didengar. Selain itu, liriknya juga sangat berkualiti dan mampu menyentuh perasaan setiap pendengar. Gubahan muzik moden dalam lagu ini tidak mengurangkan daya tarikan lagu ini. Sebaliknya, ia memberikan sentuhan segar kepada lagu ini agar seiring dengan trend terkini. 

“Ia dapat menambat hati pendengar sehingga mereka berasakan bahawa lagu ini relevan dengan zaman sekarang. Selain itu, keserasian antara melodinya yang menangkap halwa telinga dan lirik-lirik yang bermakna menjadikan lagu ini mesra pendengar. Pendengar akan berasakan hubungan emosi yang kuat ketika mendengarkan lagu ini kerana ia mampu menggambarkan situasi atau perasaan manusia secara asli,” katanya.

Shaa kembali, pertaruh Kau Bukan Milikku

Berkongsi lanjut, Shaa berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu ini. Malah, kerjasama kali kedua dengan komposer Mekiya memudahkan lagi proses rakaman lagu ini.

“Kalau macam sebelum ini, proses rakaman ambil masa lama juga. Tapi untuk lagu ini, sekejap saja. Cuma, ia memberikan cabaran dari segi nak kena menjiwai lagu serta nak kena hafal melodi dengan cepat.

“Ini juga kali kedua saya bekerjasama dengan komposer Mekiya. Kali pertama menerusi lagu Biar Ku Pergi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,”

– Shaa

Sama macam single terdahulu, Shaa juga berharap lagu “Kau Bukan Milikku” ini mendapat sambutan baik di kalangan peminat dan pencinta muzik tanahair.

“Harapan saya sangat tinggi sebab saya dah buat yang terbaik untuk lagu ini. Harapan saya lagu ini diterima baik, disukai ramai dan menjadi hits yang teratas. 

“Semoga lagu ini juga dapat mengharumkan nama saya semula dalam persada muzik tanahair dan tentunya mahu lagu ini tercalon di Muzik Muzik dan seterusnya ke Anugerah Juara Lagu,” katanya.

Untuk lagu “Kau Bukan Milikku”, Farez Asmadi bertindak sebagai penerbit dan penggubah merangkap pemain piano dan strings,  Pown Hasril (Gitar), Tariq Tahir (Bass) dan Syazwan Yazid (Drum).

Lagu “Kau Bukan Milikku” Shaa boleh mula didengar di semua pelantar striming muzik digital pada 29 Disember 2023. Video lirik dan video akustik lagu “Kau Bukan Milikku” Shaa juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=jjwLJ2nDIYg (Lirik Video) & https://youtu.be/EmMw1t8b_TU (Akustik Video).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zack Merican Dapat Lampu Hijau dari Isteri Lancar Single POLIGAMI

SAMSUNG

Samsung Pamer Cara AI Pertingkatkan Pengalaman Dapur di CES 2024