in ,

Setulus Ikhlas di HOT FM & KOOL FM Sempena Aidilfitri 2020

Raikan Aidilfitri Walaupun Berjauhan Bersama Hot FM

Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun yang sudah. Namun, kemeriahannya tetap dirasai. Khai Bahar, Siti Nordiana, Syafiq Kyle, Sufian Suhaimi, Zizi Kirana, Azrel Ismail, Eyka Farhana, Mimi Lana, Hady Mirza, Nabila Razali dan ramai lagi artis popular tanah air akan mewarnai sambutan Aidilfitri di Hot FM dan Kool FM. Bertemakan Setulus Ikhlas, program-program radio dan digital istimewa yang bakal disajikan pastinya akan menemani sambutan raya tahun ini. 

Kisah suka duka adiwira Malaysia dalam memerangi wabak covid-19 bakal disajikan oleh Geng Pagi Hot (GPH) menerusi Hero Barisan Hadapan. Bersama Shuk, Shuib dan Fizie, dedikasi istimewa buat frontliners ini akan bersiaran pada hari raya pertama bermula jam 9 hingga 11 pagi dan ulangannya pada raya ke empat jam 8 malam hingga 10 malam.

HotFM_Setulus-Ikhlas_Raya (1080x1080)

GPH juga akan bersama-sama dengan bekas pesakit covid-19 untuk menyelami pengalaman mereka, dalam Cahaya Aidilfitri, dengarkan pada hari raya kedua, 2 hingga 4 petang serta ulangan pada raya ketiga jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Gandingan Jam Hot, Deen dan Haziq pula bakal mengupas emosi dan perasaan pendengar yang tidak dapat beraya bersama keluarga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Mengaku Je Lah Raya Jam Hot. Pengakuan raya paling epic ini akan menemui pendengar Deen pada hari raya pertama bermula jam 4 hingga 6 petang serta ulangan pada raya ketiga jam 10 malam hingga 12 tengah malam. Kisah artis beraya berjauhan dengan keluarga pastinya menyentuh hati, dalam Salam Raya Jam Hot.

Dengarkan bersama duo Jam Hot ini pada hari raya kedua, 4 hingga 6 petang serta ulangan pada hari raya ke empat jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

Penyampai Hot FM, Zetty pula akan meraikan raya kali ini bersama artis-artis yang masih bujang. Dengarkan cerita raya single daripada Syafiq Kyle, Mimi Lana, Sufian Suhaimi dan ramai lagi menerusi Raya Masih Single pada hari raya pertama, 6 petang hingga 8 malam serta ulangan pada hari raya ketiga jam 3 hingga 5 petang. 

Ketua Program Hot FM, Ainul Farhana Razali berkata, “Raya tahun ni sememangnya luar biasa. Disebabkan pandemik Covid-19 dan kita masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, ramai yang masih stay at home dan beraya di rumah. Walaupun tidak dapat beraya dengan meriah di kampung bersama keluarga dan sanak saudara, namun kami di Hot FM dengan setulus ikhlas akan menemani anda pada raya kali ini dengan program- program raya Hot FM yang menarik”

“Untuk program raya di Hot FM tahun ini, kami fokus kepada pengisian yang lebih dekat dan relevan dengan situasi masyarakat sekarang tetapi masih mengekalkan elemen hiburan dan penglibatan artis-artis popular tanah air untuk memeriahkan lagi semangat raya semua pendengar kami. Selain daripada program radio, kami juga tidak lupa kepada pengisian digital dimana program talkshow digital raya penyampai Hot FM bersama Sarancak dalam Raya Luar Biasa Hot! Dimana 2 episod akan disiarkan di Youtube Hot TV pada hari raya pertama dan kedua nanti. Semoga dengan pengisian di radio dan digital kami dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini”

Antara program menarik lain yang bakal disajikan pada tahun ini ialah program dedikasi dan ucapan raya, Salam Dari Rumah Hot, Top 40 Hot Raya bersama Zetty serta Jamming Hot Raya. 

KoolFM_Setulus-Ikhlas_Raya-(1080x1080)

Fitrah Syawal di Kool FM

Sinonim dengan tagline Suara Semasa, program raya Kool FM tahun ini akan memfokuskan kepada isu semasa, sosial dan komuniti. Ketua Program Kool FM, Raja Khairil Idris berkata, Kool FM memberi ruang  kepada semua golongan daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi cerita, tips dan aspirasi mereka sempena Syawal kali ini. “Kami bertuah kerana pengisian raya Kool FM kali ini meliputi segenap lapisan masyarakat. Kami ada cerita daripada ahli politik, ahli agama, para atlet, artis-artis dan tak lupa juga kisah realiti daripada ahli komuniti. Semestinya perkongsian dan pengisian yang disediakan dapat menemani sambutan raya semua yang mendengar dan mengikuti kami di radio dan di platform digital”

Hari raya pertama di Kool FM bakal dibuka dengan segmen dedikasi dan ucapan raya, Dedikasi Syawal Kool bermula jam 10 pagi. Seri syawal bakal diteruskan dengan perkongsian istimewa daripada Ustaz Zarifi mengenai amalan di bulan Syawal menerusi Fitrah Syawal, bersiaran pada jam 3 petang. Trio pagi, AG, Haiza dan Muaz akan beraya bersama dengan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Nooraini Ahmad menerusi AG Haiza Muaz Kool Raya. Bersiaran bermula jam 4 petang, mereka akan bersama YB untuk berkongsi cerita sambutan hari raya selama 2 jam disulami lagu-lagu raya untuk hiburan para pendengar. 

Program istimewa Memori Bersama Haiza pula akan menggamit kenangan bersama dua artis popular yang telah meninggal dunia, Nassier Wahab dan Mya Ruslee, dimana Haiza bakal berkongsi cerita beliau bersama dengan dua sahabat rapatnya bersama para pendengar pada hari raya kedua bermula jam 3 petang. Menyusul selepas itu, pendengar Kool FM bakal disajikan dengan cerita raya atlet-atlet negara menerusi Spectator Sukan Raya bersama AG dan Hanif Miswan pada jam 5 petang. 

Kemeriahan diteruskan pada hari raya ketiga bersama Muaz dan Siti Nordiana menerusi Raya Dulu VS Sekarang. Bermula jam 3 petang, mereka berdua akan berkongsi bagaimana perbezaan sambutan raya dulu dan masa kini. Sambutan raya didalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya memberi impak kepada masyarakat Malaysia. Bersama dengan Rea dan Prof Muhaya akan berkongsi tips untuk kekalkan semangat positif di hari raya menerusi Inspirasi Kool Raya bermula jam 4 petang. Linda Onn pula akan mengupas kisah-kisah mereka yang beraya di perantauan menerusi Raya Jauh Jauh yang bakal bersiaran pada jam 5 petang. 

Istimewa bagi pelayar Youtube, Kool TV akan mempersembahkan Lebaran Kool bersama artis menampilkan Siti Nordiana, Khai Bahar dan Hady Mirza. Raikan raya bersama mereka pada hari raya pertama dan ketiga di Youtube Kool TV. 

Video parodi #passthekuih sempena Syawal

Bersempena dengan Syawal tahun ini, Hot FM dan Kool FM, dengan kerjasama Fly FM serta platform digital dibawah Ripple – Lunaria, Thelaki, Donna dan Likely menyediakan parodi lagu raya. Bertemakan #passthekuih, lagu raya evergreen, Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain & Ellina menjadi pilihan dimana lirik lagu raya tersebut diolah mengikut situasi di negara sekarang dan memaparkan cara beraya ketika PKP dan budaya berkongsi kuih raya menerusi video call. Saksikan video parodi tersebut yang dibintangi penyampai-penyampai Hot FM, Kool FM, Fly FM dan personaliti Lunaria, Thelaki, Donna dan Likely di Youtube Hot TV bermula 19 Mei.

Hot FM dan Kool FM ingin menyeru kepada masyarakat untuk terus mengambil serius saranan kerajaan untuk sentiasa berada di rumah, terapkan amalan norma baharu dengan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri serta beri perhatian kepada golongan yang berisiko di sepanjang perayaan ini terutama sekali orang tua dan kanak-kanak. 

Jangan lupa sertai perbualan di platform media sosial anda dengan hashtag #SetulusIkhlas sepanjang Hari Raya nanti. Dapatkan info lanjut mengenai program raya dan berita terkini mengenai perkembangan Covid-19 di Hot FM dan Kool FM di laman web dan laman media sosial rasmi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Derma Dengan Ikhlas & PERKHAS Terus Hulur Bantuan

Nur Risteena Bidas Netizen, Bengang Kisah 30 Minit Tak Balas Mesej Dikecam