Perkara itu disahkan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang baharu dilantik, Kenny Ong. Menjanjikan penganjuran lebih baik, Kenny berkata maklumat lanjut mengenai acara anugerah itu akan diumumkan dalam satu sidang media, tidak lama lagi.
“Untuk menganjurkan AIM, kami memerlukan kos yang tinggi. Ini kerana AIM adalah acara yang gah dan tidak boleh dibuat ala kadar.
“Kami juga memerlukan badan penyiar untuk menayangkan malam kemuncak secara langsung di kaca TV. Sebelum ini, kita tak dapat hasil perbincangan baik dengan pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.
“Selepas mengambil alih, saya membuat perubahan dari segi penstrukturan perbincangan dengan pihak berpotensi menjadi penaja. Saya tahu penaja mahukan pulangan, justeru kami cuba mewujudkan situasi menang-menang,”
– Kenny Ong
Hasilnya, Kenny berkata, ada beberapa syarikat berminat untuk menjadi pelabur. Dengan kerjasama itu, AIM akan kembali dianjurkan tahun ini dan akan diumumkan dalam satu sidang media.
Ditanya mengenai mekanisme pemilihan calon memandangkan sudah berapa tahun acara anugerah itu tidak dianjurkan, Kenny yang juga Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, berkata badan penganjur akan berlaku adil apabila turut mengambil kira produk yang pernah diterbitkan tiga tahun lalu.
“Saya dimaklumkan, album yang pernah diterbitkan sejak tiga tahun lalu iaitu 2017 hingga 2019 akan dinilai. Ini bermakna akan ada banyak anugerah dan pencalonan bertambah. Dari segi cara penjurian apakah mengikut tahun ataupun tidak, ia masih belum dibincangkan lagi,” katanya.
Kali terakhir AIM diadakan adalah pada 2016 yang menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengungguli empat anugerah daripada tujuh pencalonan, iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita), Lagu Nasyid Terbaik, Anugerah Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu dan Album Terbaik AIM22
Penyanyi Anta Permana itu turut memenangi Anugerah Pilihan Penyanyi Malaysia yang dipilih melalui undian peminat.
Dianjurkan sejak 1993, AIM berperanan sebagai pelantar utama untuk mengiktiraf sumbangan dan menghormati karya anak seni dalam industri muzik tempatan.
Sumber: Berita Harian