Memaparkan kisah cinta dua remaja berlainan bangsa dan agama di sebuah perkampungan nelayan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan tayangan drama bersiri bertajuk “Sesuci Syahadah” mengisi slot Bidadari di TV1.
Dibintangi pelakon Ezani Nizariff, Agnes Wang Chin Lian, Wan Hanafi Su, dan Wong Sip Nen, 13 episod drama kekeluargaan ini bersiaran mulai 9 Mei ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3.05 petang.
Drama Bersiri Sesuci Syahadah Pengorbanan Seorang Mualaf di TV1
Kisahnya memaparkan Fariz anak Pak Basha dan Mak Endah sudah dua tahun menganggur. Dia hanya membantu ibunya di gerai yang menjual makanan. Siew Lien pula anak Ah Chai dan Ah Leng. Pak Basha dan Ah Chai memang bersahabat baik dari dulu lagi kerana mereka sama-sama menjadi nelayan. Fariz dan Siew Lien juga bersahabat sejak kecil lagi. Ayu sahabat Siew Lien sahaja yang tahu bahawa Siew Lien sukakan Fariz. Pak Basha dan Mak Endah pernah bercakap dengan Ah Chai bahawa mereka suka kalau Siew Lien menjadi menantu mereka. Walau bagaimanapun, Ah Chai tidak senang dengan gurauan itu kerana kurang senang dengan Fariz yang belum bekerja dan beragama Islam. Ibu Siew Lien pula suka anaknya berkawan dengan Fariz.
Sementara itu, Dilla mengadu kepada ayahnya, ketua kampung tentang perbuatan Ayu dan Johan sedang berdua-duaan di dalam sebuah perahu. Johan dan Ayu ditangkap berkhalwat dan dikahwinkan. Untuk menutup malu, Ayu dan Johan berhijrah ke Kuala Lumpur. Peristiwa itu turut merunsingkan Ah Chai dan merancang memisahkan Siew Lien dan Fariz.
Ayu memohon kemaafan dari ibunya sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baru. Fariz, Siew Lien dan Dilla turut berada di rumah Ayu sebelum mereka berangkat. Dilla puas hati setelah Ayu tiada di kampung mereka dan merancang untuk memisahkan Siew Lien dengan Fariz pula kerana dia memang menaruh hati pada Fariz. Winnie, emak saudara Siew Lien mengajaknya ke Kuala Lumpur untuk bekerja di salon rambutnya. Siew Lien bersetuju dengan tawaran itu kerana dia juga masih menganggur tanpa mengetahui semua itu adalah rancangan bapanya sendiri.
Ah Koon iaitu abang Siew Lien akan menghantarnya ke Kuala Lumpur. Siew Lien memberitahu berita gembira itu kepada Fariz. Sementara itu, Pak Basha dan Mak Endah agak hairan dengan sikap Ah Chai dan Siew Lien yang telah lama tidak ke gerai mereka. Fariz memberitahu ibunya bahawa Siew Lien akan ke Kuala Lumpur dan dia mengesyaki semua itu rancangan bapa Siew Lien sendiri kerana dia tidak suka Siew Lien berkawan dan berkahwin dengannya.
Bapa Siew Lien gembira apabila Ah Koon memberitahunya bahawa dia agak gembira ketika sampai ke Kuala Lumpur. Dia juga gembira kerana rancangannya untuk mengahwinkan Siew Lien dengan seorang pemuda kaya mungkin tercapai. Di kampung, Dilla mula menggoda Fariz tetapi Fariz tidak melayannya walaupun Fariz pernah menyelamatkannya dari lemas di laut. Fariz agak gelisah apabila panggilan telefonnya tidak dijawab oleh Siew Lien lalu terus menghubungi kawannya di Kuala Lumpur iaitu Aiman. Hasratnya ke Kuala Lumpur disampaikan kepada ibunya tetapi Mak Endah kurang bersetuju dengan cadangannya. Walaupun cuba dihalang oleh ibunya, Fariz akhirnya ke Kuala Lumpur juga. Dilla begitu kecewa dan merayu kepada Fariz agar tidak meninggalkannya kerana dia amat menyintai Fariz.
Sementara itu, Winnie berpakat dengan Robert Lam iaitu anak seorang kaya supaya memikat Siew Lien. Aiman menjemput Fariz di Hentian Putra dan membawanya ke rumah. Aiman adalah seorang pengusaha dan pemilik bengkel membaiki kereta serta mahu Fariz bekerja dengannya. Robert Lam pula berjaya mengajak Siew Lien keluar untuk makan beberapa kali dan Siew Lien mula menyukainya.
Di kampung, Ah Chai cuba menghubungi Winnie dan Winnie menyampaikan berita gembira kepadanya bahawa Siew Lien semakin mesra dengan Robert Lam. Ah Chai agak tersinggung apabila Pak Basha sekali lagi mengatakan dia mahu berbesan dengan Ah Chai sedangkan mereka berlainan bangsa dan agama. Ah Chai merungut kepada isterinya tentang Pak Basha yang ingin bermenantukan Siew Lien sedangkan dia memang tidak suka Siew Lien berkawan dan berkahwin dengan Fariz. Ah Leng terkejut kerana Ah Chai telah merancang agar Siew Lien berkahwin dengan orang kaya di Kuala Lumpur yang sama agama dan bangsa dengan mereka.
Robert Lam berjaya membawa Siew Lien ke Kelab Dangdut untuk bernyanyi dan minum. Siew Lien mengadu kepada kepada Winnie yang dia tidak suka Robert Lam kerana Robert Lam suka minum arak. Akhirnya semua rancangan Winnie dan Robert Lam telah diketahui oleh Siew Lien apabila dia terdengar mereka berbual ketika dia mahu ke salon rambut. Winnie akhirnya berterus terang dengan Siew Lien bahawa dia amat memerlukan wang untuk merawat anaknya, Pinky yang terlantar di hospital kerana mengidap penyakit jantung berlubang. Siew Lien berjanji akan membantu Pinky dan sanggup mendermakan jantungnya kepada Pinky. Aiman pula menawarkan kepada Fariz untuk menjadi rakan kongsinya. Semasa bekerja di bengkel, Fariz berkenalan dengan Cikgu Fatin, pelanggan tetap Aiman.
Setelah berlaku pelbagai konflik akhirnya Siew Lien memeluk agama Islam juga menukar nama kepada Fatihah dan berkahwin dengan Fariz. Ibu Siew Lien tidak terkejut dan dia merestuinya. Pak Basha dan Mak Endah menjangkakan masalah lebih besar akan dihadapi oleh mereka dengan Ah Chai apabila Fariz berhasrat untuk berkahwin dengan Fatihah. Lalu apakah yang berlaku seterusnya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.