Qasidah adalah karya syair Islam yang indah, gaya bahasa dan alunannya menarik serta lembut dan tersusun rapi bait-bait puisi yang memuji keagungan Ilahi dan Rasul-Nya. Syair di dalam Qasidah dicipta lebih dari 1400 tahun lalu. Qasidah juga dikatakan pertama kali dialunkan ketika kaum Muhajirin dan Ansar menyambut kedatangan Rasullullah ke Madinah.
Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program “Seru Qasidahâ€, rancangan kembara rohani yang bertujuan menjejaki amalan dan budaya Qasidah yang terdapat di seluruh dunia. Bersama pengacara Pot Amir dan Syed Alwi Syed Mustafa, program 13 episod ini sedang bersiaran setiap Jumaat, pukul 1.30 petang menerusi saluran TVi.
Jejak Amalan Budaya Qasidah Dalam 13 Episod “Seru Qasidah†di TVi
Penonton dibawa mengenali apa itu Qasidah yang sebenarnya bukan sahaja dalam negara sebaliknya kunjungan pengacara mengembara di bumi Yaman dan Inodonesia, menemubual beberapa orang tokoh terkenal di sana.
Tajuk yang dikongsikan “Evolusi Qasidah”, “Qasidah Itu Doa”, “Qasidah Itu Dakwah”, “Qasidah Itu Ilmu”, “Qasidah Itu Perjuangan”, “Qasidah Itu Akhlak Dan Tauladan”, “Qasidah Itu Seni”, “Qasidah Itu Penyatuan Ummah”, “Qasidah Itu Kontemporari”, “Qasidah Itu Sejagat”, “Qasidah Itu Zikir”, “Qasidah Itu Mengenal Allah” dan “Qasidah Penyeri Kemeriahan”.
Dalam episod “Evolusi Qasidah”, memaparkan pengacara berada di bumi Yaman untuk menjejaki Qasidah di Yaman. Beberapa tempat menarik dilawati oleh pengacara sepanjang pengembaraannya seperti Kota Lama Sana’a, Masjid As-Salleh, Darul Hajar dan Shibam Kawkaban. Di bumi Yaman inilah dikatakan bermulanya amalan berqasidah.
Seterusnya “Qasidah Itu Doa” mengunjungi negeri Hadramaut di Yaman mengembara ke daerah Tarim, Seiyun, dan Shibam. Pengacara berjaya menemuramah beberapa orang tokoh di Tarim untuk berbicara mengenai Qasidah Itu Doa. Antara waktu yang mustajab untuk berdoa ialah selepas solat, waktu sepertiga malam dan pada hari Jumaat. Manakala tempat yang mustajab berdoa ialah di Multazam, Kaabah dan Arafah. Berdoa menjadikan hati seseorang itu bersih.
Masih berada di Hadramaut, Yaman ikuti kupasan “Qasidah Itu Dakwah” melawat beberapa tempat bersejarah dan menarik seperti Masjid Al-Mihdhar yang dibina daripada tanah dan mempunyai menara tanah setinggi 40 meter, Bangunan Isyaah yang bahan binaannya campuran
dari Hadramaut dan Asia Tenggara dan Darul Mustafa iaitu sebuah Institut Pengajian Sains Islam yang terkenal di Yaman serta seluruh dunia. Qasidah dakwah adalah satu cara mengenal Allah dan petunjuk menuju kepada Allah.
Episod empat “Qasidah Itu Ilmu” melawati Makam Zambal yang menempatkan para sahabat Rasullullah yang pernah menyertai Perang Badar. Beberapa orang tokoh berbicara mengenai Qasidah Itu Ilmu. Dalam “Qasidah Itu Perjuangan” berada di Yaman iaitu di Sana’a, ibu negeri Yaman dan cuba menjejaki beberapa tokoh yang akan membincangkan tentang Qasidah Itu Perjuangan atau Jihad.
Diikuti tajuk “Qasidah Itu Akhlak Dan Tauladan” merupakan episod akhir di mana pengacara berada di Sana’a, Yaman. Sheikh Ali bin Ahmad Abu Rijal, Imam Masjid Jame’ Ribatus Sofa’ pula mengatakan bahawa kita akan terkesan apabila diperdengarkan Qasidah yang mengajak kepada akhlak baik yang memberi manfaat dan cahaya dalam hidup mereka yang mengalun dan mendengarnya. Menerusi “Qasidah Itu Seni” pengacara dibawa ke majlis di mana Qasidah dipersembahkan seperti Majlis Hajir Marawis yang mempersembahkan Qasidah oleh pengqasidah terkenal.
Menarik dalam “Qasidah Itu Penyatuan Ummah” pengacara di Bandaraya Kuala Lumpur dan cuba menemubual beberapa orang tokoh berkaitan sempena majlis pembacaan Qasidah Burdah yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Burdah adalah salah satu Qasidah yang terkenal di negara kita. Qasidah mencakupi pelbagai perkara yang membawa kepada kemajuan ummah.
Kembara ke Indonesia berkongsi tajuk “Qasidah Itu Kontemporari” berada di Kota Jakarta dan cuba menemubual beberapa orang tokoh terkenal. Isi dan makna sesuatu Qasidah perlu dikekalkan walaupun mahu diubah cara penyampaiannya. Qasidah biasanya disampaikan dalam Bahasa Arab atau bahasa yang mudah difahami oleh pendengar. Beberapa persembahan Qasidah turut disiarkan dan diakhiri dengan klip video persembahan Qasidah oleh kumpulan yang diketuai Habib Syed Abdul Qodir Assegaf.
Ikuti banyak lagi episod menarik mengupas perbicaraan tentang Qasidah ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.