Korang boleh menari? Ada bakat terpendam menari? Pernah mengidam nak masuk program macam Sehati Berdansa? Nak glamor dan dikenali sebab berjuta-juta orang menonton ada di kaca TV. Rasanya, inilah peluang untuk korang sebab tak lama lagi Astro akan memberi peluang ini dengan melancarkan program realiti terbaru berjudul MARI MENARI!
Lebih kurang macam Sehati Berdansa jugak. Tapi kali ini korang boleh pilih pasangan dari ahli keluarga ikatan muhrim yang lain seperti kakak-adik, ibu-anak, ayah-anak, dan lain-lainnya. Maksud Budiey Mari Menari ni tak semestinya untuk suami isteri. Terbuka kepada semua. Mengikut komen di Facebook, ada pembaca takut nak masuk sebab takut terkena badi Sehati Berdansa. Jangan takut badi perceraian peserta Sehati Berdansa sebab itu cuma kebetulan. Ramai yang melihat ke arah itu sedangkan ramai selebriti yang join Sehati Berdansa ada yang hamil dan masih bahagia hingga sekarang.
Jadi, apa kata korang hadir di sessi ujibakat!
Program ini bertujuan mencari calon pasangan yang berpotensi dalam bidang seni tari.
Puan Azlin Reza Azmi
“Mereka yang datang tak semestinya perlu mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang tarian tetapi haruslah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni tari. Namun pasangan haruslah yang mempunyai pertalian darah atau muhrim di antara satu sama lain. Mungkin pasangan adik beradik, suami isteri, ibu dan anak lelaki, ayah dan anak perempuan,” ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Puan Azlin Reza Azmi.
Ibarat Sehati Berdansa yang mengenengahkan bakat tarian, Mari Menari juga menampilkan konsep yang sama, cuma ia bakal diwarnakan oleh sesiapa sahaja yang berminat, bukan hanya untuk pasangan selebriti. Dalam pada itu, Azlin juga menolak kemungkinan peserta yang terpilih untuk Mari Menari akan berhadapan dengan situasi yang sama dengan Program Sehati Berdansa.
“Tak ada istilah sumpahan dengan Sehati Berdansa. Perceraian yang berlaku dengan pasangan Sehati Berdansa adalah atas pilihan mereka. Tidak ada kena mengena dengan program ini. Dalam ada yang bercerai, masih ramai yang berjaya menimang cahaya mata dan hubungan kembali terjalin selepas menyertai program tersebut. Kami harap perkara yang lepas tak akan mempengaruhi orang ramai untuk menyertai dan memberi sambutan untuk Mari Menari,” tambahnya lagi.
Azean, penerbit ekskutif Mari Menari
Bagi yang berminat, anda dijemput hadir ke sesi ujibakat mencari pasangan menari yang akan berlangsung pada 31 Julai dan 1 Ogos bertempat di Astro Bukit Jalil menerusi pintu utara.
Para peserta perlulah berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai pertalian darah atau hubungan muhrim untuk melayakkan diri menyertai pertandingan ini. Kaunter pendaftaran akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
Untuk yang ada pengalaman menari, mestilah kurang dari 2 tahun pengalaman. Lebih dari itu, bermakna anda adalah penari profesional.
Dokumen yang perlu dibawa adalah :
1. Salinan kad pengenalan
2. Dua keping gambar terkini berukuran 4R
3. Pakaian yang bersesuaian untuk menari sewaktu sesi ujibakat
Seramai 30 pasangan akan dipilih dan disaring menjadikan 12 pasangan. Mari Menari akan disiarkan di Astro Ria pada bulan Oktober ini. Seperti Sehati Berdansa, peserta akan diberikan juru latih mereka sendiri.