in ,

Sertai Pertandingan Kostum Terbaik Pasangan Kembar

PENCARIAN 30 PASANGAN KEMBAR DARI SELURUH MALAYSIA UNTUK MALAM GALA BERMULA SEKARANG!

Grand Brilliance atau kini dikenali sebagai Primeworks Studios Sdn Bhd, sedang mencari 30 pasangan kembar bagi meraikan pelancaran filem terbarunya bagi tahun 2010 yang bakal menjengah ke pawagam.

FIlem terbaru dengan kerjasama Line Clear Motion Pictures bertajuk ‘2 Hati 1 Jiwa’ arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen, akan menemui penonton mulai 28 Januari 2010. Bagi menjayakan promosi filem ini, kini tibalah giliran pasangan-pasangan kembar di Malaysia untuk memunculkan diri mereka di khalayak ramai sebaris dengan pasangan kembar yang sudah kita kenali seperti pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan dan  Zakuan Adha.

Prof Razak dengan berinspirasikan kisah benar kehidupan pasangan kembar siam Laden dan Laleh dari Iran telah meletakkan keberaniannya dalam mengolah filem terbaru ini apabila cuba menampilkan kelainan dalam pembawaan ceritanya. Bagi anda yang sememangnya dilahirkan sebagai pasangan kembar normal mahupun kembar siam tentunya dapat merasai semangat dan penghayatan pengarah dalam usahanya menghasilkan filem ‘2 Hati 1 Jiwa’ ini supaya bertepatan dengan mesej yang ingin disampaikan.

Filem ini yang berkisarkan sepasang kembar Siam perempuan yang hidup melekat di bahagian kepala selama 21 tahun mula merasakan mereka harus berpisah berikutan kehendak hidup mereka yang semakin hari semakin berlainan arah. Namun risikonya sentiasa membuatkan ibu bapa mereka tidak duduk senang. Lantaran keberanian yang terbuku di hati pasangan kembar siam ini, pembedahan untuk memisahkan mereka harus diteruskan jua. Membaca sedikit intipati filem ini sudah tentunya anda mula membayangkan perasaan orang yang terlibat dalam menghadapi saat-saat genting seperti ini terutamanya pasangan kembar siam tersebut.

Jadi, bagi menghangatkan lagi kemunculan filem ini serta berteraskan matlamat filem ini yang ingin menyampaikan situasi kehidupan pasangan kembar siam kepada masyarakat Malaysia, Grand Brilliance dengan berbesar hati menjemput 30 pasangan kembar di Malaysia untuk muncul bersama-sama dengan para artis yang telah menjayakan filem ‘2 Hati 1 Jiwa’ seperti Fouziah Gous, Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly, Mustapha Kamal, Ziela Jalil serta ramai lagi di Malam Gala Filem ‘2 Hati 1 jiwa’ yang akan diadakan pada 13 Januari 2010 di Pawagam Golden Screen Cinema (GSC) Tropicana, Damansara.

Undangan ini yang sememangnya merupakan satu hadiah untuk pasangan kembar yang telah menjadi inspirasi utama filem ini sudah tentunya dapat mendekatkan masyarakat mengenai kehidupan sebenar manusia yang dilahirkan secara berpasangan. Pelbagai persoalan sentiasa terbuku dalam pemikiran kita sama ada positif atau negatif terhadap pasangan kembar terutamanya kembar siam, namun pernahkah kita terfikir atau terdetik sesekali di hati bahawa mereka ini adalah insan yang sangat istimewa kurniaan Tuhan yang perlu kita hargai? Kerana kelahiran mereka ke dunia telah membuatkan bibir kita menguntum senyuman mekar tanda kebesaran yang maha Esa.

Malam gala ini yang khususnya meraikan pasangan-pasangan kembar yang hadir juga akan turut memberikan peluang kepada mereka untuk memiliki pelbagai hadiah istimewa melalui peragaan pakaian terbaik dan menarik. Inilah masanya anda membuktikan kepada masyarakat sejauh mana keakraban hubungan anda bersama dengan kembar anda selari dengan pemahaman masyarakat yang sentiasa beranggapan bahawa pasangan kembar itu sesungguhnya mempunyai perasaan yang hampir serupa sehingga mereka mampu merasakan apa yang dirasakan oleh pasangan mereka. Jadi tidak hairanlah jika filem ini menggunakan tajuk ‘2 Hati 1 jiwa’ kerana dua hati yang berbeza mampu membentuk jiwa yang satu dalam mengecapi kehidupan yang sempurna.

Kepada pasangan kembar berumur 13 tahun dan ke atas yang berminat untuk menyertai malam gala ini, sila hantar gambar anda bersama pasangan kembar anda dalam ukuran pasport serta butiran diri masing-masing ke Primeworks Studios, Unit Filem & Drama, Tingkat 3, Sayap Utara, No. 3, Seri Pentas, Persiaran Bandar Utama, Bandar Utama, 47800, Petaling Jaya, Selangor. Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus ke talian 03-7726 6333. Anda juga boleh melayari laman sesawang rasmi Hot FM iaitu www.hotfm.com.my untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jemputan khas ini.

Setiap penyertaan terawal akan memberikan peluang cerah kepada anda dan pasangan kembar anda untuk terpilih dalam kelompok 30 pasangan kembar bertuah yang akan tampil bersama-sama pelakon filem 2 Hati 1 Jiwa pada malam gala nanti. Pemilihan tersebut akan dilakukan oleh pihak Grand Brilliance sendiri dan jemputan khas ini akan diuar-uarkan juga di stesen-stesen televisyen dan radio di bawah naungan Media Prima Berhad, akhbar, majalah serta melalui laman sesawang. Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana mungkin inilah masanya anda akan menjadi pasangan kembar paling popular.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kuiz Drama Bersiri Milik Siapa Hati Ini Dan Lara Di TV2

SHOWDOWN 2010