Seribu Satu Keindahan Kiridara di Luang Prabang, Laos
oleh Shah Shamshiri
[dropcap]A[/dropcap]sia Tenggara memang terkenal dengan pelbagai destinasi pelancongan yang menarik. Jutaan pengunjung dari luar Asia juga sering memilih untuk berlibur di negara-negara ASEAN. Namun, negara yang sering menjadi perhatian adalah Thailand atau Indonesia. Ramai yang tidak sedar bahawa ada lagi negara-negara lain yang mempunyai tempat-tempat menarik. Salah satu negara yang dimaksudkan adalah Laos.
Sungguhpun ibukotanya Vientiane menjadi tumpuan perdagangan serta perniagaan, kota Luang Prabang di utara Laos lebih terkenal sebagai kota wisata berkat keindahan alam semulajadinya serta peninggalan sejarah dan budaya yang ada. Dan sekiranya berpeluang ke Luang Prabang, pastikan anda bermalam di Kiridara.
Seperti sebuah kediaman dalam kisah-kisah dongeng, hotel butik kontemporari bertaraf antarabangsa ini menjanjikan perkhidmatan serta pemandangan terbaik bandar Luang Prabang. Ia terletak anggun di atas bukit dikelilingi hutan yang sangat menenangkan namun masih dekat dengan pusat kota. Ia turut menawarkan pemandangan Gunung Phou Si yang terkenal dengan kuil Buddha di puncaknya. Untuk kemudahan pelawat, ia terletak hanya lima minit dari lapangan terbang Luang Prabang dan hanya dua minit dari pusat kota dengan menaiki kereta atau tuk tuk.
Yang menjadikannya lebih eksklusif, hotel ini hanya mempunyai 24 buah bilik sahaja dan enam daripadanya terdiri daripada suite khas. Setiap bilik mempunyai pemandangan yang indah dan dilengkapi dengan kemudahan termoden untuk para tamu. Dari perabot, penghawa dingin, tv satelit serta kemudahan internet wi-fi, bilik-bilik hotel ini memang sejajar hotel-hotel lima bintang yang lain. Setiap bilik mempunyai beranda untuk para tamu menghirup udara segar sambil bersantai menghayati pemandangan yang tersedia.
Selain itu, para tamu juga boleh beriadah di kolam renang infiniti hotel atau memanjakan diri di Laotian Spa. Buat yang ingin bersenam, terdapat sebuah pusat kesihatan dan gimnasium untuk kegunaan pelawat. Kesemua barangan serta peralatan di hotel ini berkualiti tinggi bagi memastikan kepuasan para pengguna.
Terdapat juga restoran Phu Doi bagi yang berminat serta The Deck yang terletak di depan kolam renang. The Deck merupakan tempat menikmati minuman, sarapan dan makan malam sambil berlatarbelakangkan keindahan pergunungan Luang Prabang.
Lebih menarik lagi, semua yang menginap di hotel ini diberi perkhidmatan kenderaan percuma sepanjang hari sampailah jam 10 malam. Sekiranya mau ke kota atau mana sahaja di Luang Prabang, pihak hotel akan menghantar dan menjemput para tamu! Betapa mudah dan berbaloinya bermalam di sini! Jadi pengunjung tidak perlu risaukan tambang kenderaan setiap kali keluar dan masuk hotel.
Jadi, kalau anda berpeluang ke Luang Prabang, pastikan Kiridara menjadi hotel pilihan anda. Ia benar-benar satu pengalaman yang tidak mungkin dapat anda lupakan dan sekali bermalam di sini pasti mahu kembali lagi!