Sebuah sejarah hebat dalam belantika hiburan tempatan bakal tercipta apabila sebuah konsert berskala besar yang menggabungkan dua penghibur berprolifik tinggi akan bertemu para penggemar muzik. Mereka adalah pasangan adik beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain.
Diberi judul Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022, pihak penganjur Trumpet International Sdn. Bhd dengan bangganya mempersembahkan secara duo Anuar Zain dan Ziana Zain buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, 6 Ogos 2022 bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Bukanlah pertama kali berkolaborasi dalam konsert skala besar bersama kakaknya, namun Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.
“Bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.
“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini,”
– Anuar Zain
Bakal memberi persembahan yang akan menjadi ‘mimpi indah’ buat penonton, pelantun Lelaki Ini juga dijangka menampilkan sebuah kolaborasi epik bersama Ziana Zain dalam konsert tersebut.
Bagi Ziana sendiri, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 adalah sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai pelaku seni.
“Konsert ini akan menjadi ‘golden moment’ bukan sahaja buat peminat tetapi kami dua beradik.
“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn Bhd yang berani mengetengahkan Anuar dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” kata pelantun Madah Berhelah tersebut.
Persembahan ini bakal berlangsung selama 90 minit dan melalui Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022, kedua dua penghibur kesayangan ramai ini dijangka melantunkan lagu lagu malar segar dan popular yang telah menjulang nama mereka dalam persada seni tempatan.
Selaku jurucakap penganjur, bekas pemain Badminton negara, Koo Kien Keat melahirkan rasa bertuah di atas penganjuran dan kerjasama julung kali Trumpet International Sdn. Bhd bersama idola ramai Anuar dan Ziana Zain.
Koo Kien Keat menyifatkan penganjuran Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi pengubat rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan adik beradik tersebut selepas pelbagai aktiviti seni termasuk konsert bagai ‘terhenti’ kerana pandemik.
“Kami amat berbesar hati menganjurkan konsert dua beradik Anuar Zain dan Ziana Zain yang cukup bermakna ini. Tiket-tiket boleh dibeli melalui laman www.excitix.com.my pada hari ini, 19 Mei 2022, jam 3 petang.
“Ini merupakan kesempatan yang sangat hebat buat kami membawakan dua penyanyi dengan vokal emas dalam kolaborasi yang pertama kali diadakan dalam sejarah hiburan tempatan di Malaysia.
“Kami percaya Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan,” kata Koo Kien Keat yang turut berharap akan ada lebih banyak syarikat lain memberi sokongan kepada anak seni dalam penganjuran pelbagai konsert pada masa akan datang.
Tiket tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188. Ia boleh dibeli secara talian (online) di www.excitix.com.my mulai hari ini, 19 Mei 2022, jam 3 petang.
INFO Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022
Tarikh : 6 Ogos 2022, Sabtu
Lokasi : Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
Penganjur : Trumpet International Sdn Bhd
Harga tiket : RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188.
Laman pembelian : www.excitix.com.my
Talian infomasi : 010-309 8998
Facebook : @trumpet.International
Instagram : @trumpet_international
Hashtag :
#anuarzain #zianazain #AZnZZLiveInKL2022 #anuarzainnetwork #zianazainnetwork
#trumpetinternational #altusprohouse #excitix #concert
Laman web : www.trumpet.com.my
Profil Penganjur- Trumpet International Sdn Bhd
Trumpet International Sdn Bhd dilahirkan semula dengan aspirasi untuk melaksanakan pengurusan acara secara 360⁰, penjualan tiket dan komunikasi strategik kepada pelanggan, besar atau kecil dengan impak yang besar kepada khalayak sasaran. Direvolusikan daripada syarikat sulungnya, Trumpet muncul pada Ogos 2021 dengan hala tuju yang lebih fokus yang sejajar dengan inisiatif strategik perniagaannya dalam menjadi penyedia penyelesaian kepada pasaran. Syarikat sebelum ini telah mengalami transformasi yang hebat untuk mencapai apa yang ada pada hari ini.
Mengetahui kepentingan dan kekuatan muzik, Trumpet mahu khalayak menikmati muzik tanpa halangan dan batasan untuk memperkayakan karya mereka. Tujuan Trumpet ialah untuk membantu artis menyampaikan persembahan yang berkesan, menggembirakan dan kekal dalam ingatan penonton untuk durasi yang panjang. Muzik akan benar-benar dihidupkan dengan kepakaran dari krew produksi utama kami dan perkhidmatan pengeluaran dalaman gred tertinggi.