Keputusan Konsert AF Megastar pusingan suku akhir yang berlangsung Ahad lalu agak mengejutkan apabila bintang yang diramal akan melangkah ke pusingan akhir, Indah Ruhaila diumumkan tersingkir setelah mendapat kedudukan terakhir di akhir konsert. Indah telah menggabungkan tiga buah lagu hits yang pernah dipopularkan oleh ikon Allahyarham Puan Sri Saloma untuk persembahan malam tersebut yang bertemakan ‘Mahakarya’ iaitu Mari Jalan Bersama, Gelora dan Bila Larut Malam.
Walaupun pihak juri berpendapat bahawa Indah mempunyai gemersik suara seperti Saloma, namun Indah seperti terganggu dengan susunan muzik yang mengiringi nyanyian beliau dan terlalu berhati-hati sewaktu membuat persembahan.
Selain Indah, bintang favourite yang sering mendapat pujian juri iaitu Syamel turut tersenarai di kedudukan tiga terendah sekaligus mengejutkan khalayak penonton. Manakala Juara AF8, Shahir juga sekali lagi berada di kedudukan bahaya pada minggu lalu. Walaupun ditegur tentang masalah di bahagian ‘ad lib’, juri memuji kesungguhan Shahir dalam menyahut cabaran minggu tersebut. Dengan keputusan ini, masih tinggal tujuh bintang lagi yang bakal bersaing di pusingan separuh akhir iaitu Bob, Marsha, Idayu, Shahir, Syamel, Amir Jahari dan Amir.
Untuk minggu pusingan separuh akhir, bintang-bintang diberi dua cabaran iaitu ‘Duet’ & ‘Carta’. Bagi cabaran duet, persembahan mereka akan diiringi dengan artis jemputan. Manakala untuk cabaran ‘Carta’ pula, mereka akan mendendangkan lagu-lagu hits yang menduduki carta terkini di corong radio. Bagaimanakah bentuk persembahan mereka pada minggu ini? Siapakah yang bakal mara ke peringkat akhir? Semuanya akan kita ketahui hujung minggu ini.