Seniman seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Ahmad Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ahmad Mahmud, 85, meninggal dunia malam ini akibat penyakit buah pinggang.
Anaknya, Rogayah berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 malam di rumah keluarganya di Kampung Tunku di sini.
Pelakon yang lahir pada tahun 1927 dan lahir di Rembau, Negeri Sembilan ini meninggalkan seorang balu, Datin Hadijah Mohamad, tiga orang anak dan sembilan cucu.
Seniman yang popular dengan watak Dr. Ismadi menerusi filem Ibu Mertuaku itu menerima rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar sejak 22 Julai lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya.
“Bapa menghidap penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lepas dan baru sepuluh hari berada di rumah selepas dirawat di Pusat Perubatan Pantai,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor esok.
Ahmad Mahmud memulakan kerjayanya seawal tahun 1951 sebagai pelakon utama dalam filem Matahari. Dengan memiliki wajah tampan, Ahmad Mahmud pernah memegang watak sebagai Hang Jebat dalam filem Hang Tuah pada tahun 1956 bersama P.Ramlee. Sehingga kini, Ahmad Mahmud telah berlakon dalam lebih 20 filem, antaranya Istana Impian, Hang Tuah, Ibu Mertuaku, Dayang Senandung, Isi Neraka, Raja Bersiong dan Lela Manja.
Ahmad Mahmud pernah terlibat sebagai pengarah, penerbit, cerita dan lakon layar asal dalam empat buah filem iaitu Mama Oh Mama (1981), Dendam Dari Pusara (1983), Mei 13 dan Komplot (1984).
Ahmad Mahmud juga dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia ketiga pada tahun 1983 menerusi filem Dendam Dari Pusara arahan beliau sendiri.
Budiey dan pembaca Sensasi Selebriti mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Ahmad Mahmud. Moga rohnya dicucuri rahmat Yang Maha Esa.