in ,

Sengatan Emelda Rosmila Dalam Drama Bersiri Obor-Obor

‘Sengatan’ Emelda Rosmila Dalam Drama Bersiri Obor-Obor Di TV2

Kita seringkali terdengar tentang bahaya sengatan obor-obor. Obor terbahagi kepada beberapa jenis. Ada yang beracun dan ada yang tidak. Obor-obor yang beracun pula ada antaranya yang bisanya sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Tetapi yang sering kita dengar adalah yang membawa kepada rasa gatal yang amat.

Obor-obor melakukan sengatan berbisa dan yang paling berbisa, berupaya menyebabkan kematian dalam masa 15 minit manakala sengatan spesis Physalia pula biasanya akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan dan mengakibatkan kematian sekiranya mangsa lemas. Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.

Bisa sengatan ini umpama sikap watak Betty lakonan Emelda Rosmila dalam drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk Obor-Obor menemui penonton setiap Ahad, jam 9.00 malam Di TV2 yang meletakkan Betty sebagai isteri kedua yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu ‘menguasai’ suaminya, Herman yang dilakonkan oleh Arash Mohammad.

OBOR-OBOR

Madunya seorang mualaf bernama Izy (Janet Khoo) yang pada mulanya menentang keras hasrat Herman berkahwin lain terpaksa akur dengan kehendak suaminya itu. Seperti biasa Herman meyakinkan Izy bahawa cinta dan keutamaannya terhadap Izy takkan berubah. Akhirnya Herman sah mengahwini wanita dikenali Betty.

Sejak itu bermula kisah hidup Izy yang dirundung duka dengan sikap Herman yang lebih mementingkan isteri barunya. Namun yang lebih melukakan hatinya apabila anak lelakinya, Chad (Zain Saidin) meyokong tindakan ayahnya berkahwin lain. Baginya Herman mampu berkahwin lain dengan kekayaan yang ada.

Tanpa memikirkan perasaan ibunya, Chad rela memenangkan ayahnya kerana dia tahu sekiranya dia berpihak pada Herman segala kekayaan Herman akan jatuh padanya. Lalu cuma kepada Dinie (Almy Nadia), anak perempuannya tempat Izy mengadu dan berkongsi lara hatinya berdepan dengan sikap bermuka-muka Betty. Dinie faham akan perasaan ibunya yang dimadukan namun tidak mampu berbuat apa-apa. Dia masih belajar dan hanya mampu mendengar masalah Izy sedangkan dalam hati dia begitu menentang tindakan ayahnya.

Drama lakonan Betty semakin menjadi-jadi hingga sanggup memerangkap Chad jatuh ke tangannya. Baginya Chad boleh dijadikan umpan untuk memporak-perandakan keluarga madunya itu apatahlagi bila mendapati Chad mudah diumpan dengan sedikit perhatian.

Kemuncaknya apabila Herman bertindak menceraikan Izy akibat angkara dicetuskan Betty. Betty menuduh Izy menjalinkan hubungan dengan Fidz dan tanpa berfikir panjang Herman mengangg Izy curang. Ketika itu juga Betty terus-terusan dengan usaha memusnahkan masa depan Chad dengan membantu anak tirinya itu mendapatkan bekalan dadah. Chad makin selesa dengan ibu tirinya itu dan pada masa sama menganggap ibunya yang sering menasihatinya hanya mahu mengongkongnya.

Dinie menghadapi tekanan yang teruk dengan masalah menimpa keluarganya. Namun akhirnya dia menjadi penyelamat dengan tindakan bijak yang diambilnya. Malah dengan usaha Dinie berjaya membuatkan ibu dan ayahnya bersatu semula.

Cuma bagaimanakah kesudahan hidup Betty? Begitu juga Chad yang menjadi mangsa keadaan? Mampukah mereka kembali ke pangkal jalan?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Single Terbaru Nashrin Percaya Pada Luka

Pesta Durian di Menara KL