Kumpulan komedian otai tanah air, Senario kembali membuat comeback selepas lebih sedekad menerusi filem JAGA-JAGA SENARIOUNION. Kumpulan Senario bukan satu nama asing dalam dunia komedi tempatan.
Mereka juga tidak sahaja mencipta fenomena luar biasa di platform televisyen menerusi ‘punchline’ yang menghiburkan serta melalui deretan lagu-lagu yang menguasai platform radio ketika itu, tetapi turut menggegarkan dunia perfileman Malaysia mereka melalui filem-filem box office suatu masa dahulu.
Jadi, kemunculan semula ahli Senario yang mengumpulkan semula buat pertama kali gandingan Azlee, Saiful Apek, Wahid, Yassin, Hamdan dan Illya sememangnya bakal mengubat rindu buat peminat serta penonton.
Jaga-Jaga Senariounion yang sudah pastinya mengetengahkan genre komedi, bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 21 April ini. Menariknya, filem ini memperlihatkan komedi dan lawak yang segar oleh kumpulan otai ini, namun masih mengekalkan identiti Senario. Bukan itu sahaja, filem arahan Aziz M Osman ini turut mengembalikan wajah-wajah yang pernah mewarnai filem-filem Senario terdahulu, seperti Syanie Hisham, Mas Said, Badrolshah, Bobby Kiran serta pelakon baru, Amm Raja Lawak dan Nur Farisha Amira.
Penceritaan dan perjalanan plot filem ini mengangkat subjek yang sangat dekat dengan masyarakat iaitu kenduri kahwin. Kisahnya bermula di hari majlis pernikahan anak Dato Hamdan dan Azlee, di mana keluarga Dato Hamdan telah disamun ketika dalam perjalanan ke rumah bakal besannya. Apa yang peliknya, perompak-perompak tersebut hanya merompak barang-barang hantaran sahaja. Setibanya di rumah pengantin, setiap seorang daripada mereka tidak kira keluarga pengantin lelaki atau pengantin perempuan telah disyaki merancang untuk sabotaj majlis tersebut. Semuanya menjadi teka-teki.
Menurut Penerbit dan selaku Pengarah Jaga-Jaga Senariounion, Aziz M Osman berkata, “Kredibiliti saya sebagai pengarah turut diperkukuhkan menerusi filem-filem Senario, jadi Senario sudah menjadi sebagaian dalam karier dan hidup saya. Saya percaya ramai yang membesar dengan komedi dan sitkom lakonan Senario dan pasti ada yang merinduinya. Apabila ramai yang bertanyakan dan meminta kemunculan semual kumpulan ini dengan kehadiran semua ahli, jadi saya dan pihak Penerbit tidak teragak-agak untuk merancang menghasilkan filem Senario. Jadi Jaga-Jaga Senariounion adalah buah tangan terbaru daripada Senario buat peminatnya. Bagi sudut pengarahan pula, tidak banyak cabaran besar yang dilalui, tetapi apa yang istimewanya ketika di set, semuanya rasa seperti dahulu kala. Buat penonton dari generasi baru, saksikan filem ini dan kenali kumpulan pelawak legend yang pernah menggamatkan suasana satu ketika dahulu. Saya menjanjikan elemen ‘wow’ dan komedi yang terkini menerusi Jaga-Jaga Senariounion. ”
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro amat dikenali dengan program-program mencungkil dan mengetengahkan bakat pelawak-pelawak di Malaysia, dan selaras dengan itu kami rasa amat berbesar hati dapat membawakan sebuah filem yang mengangkat kumpulan pelawak otai tanah air di platform Astro First. Lebih menarik, filem ini merupakan kemunculan semula mereka setelah lebih sebelas tahun dan tambah istimewa buat pertama kali menghimpunkan hampir kesemua ahlinya. Kami percaya kehadiran Jaga-Jaga Senariounion mampu mengembalikan nostalgia tersendiri dalam kalangan peminat dan para penontonnya. Jadi kami harap para penonton dapat berhibur dan bergelak ketawa dengan filem komedi ini bersama insan tersayang mahupun sahabat handai.”
Langgan dan saksikan Jaga-Jaga Senariounion Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 21 April 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.
JAGA-JAGA SENARIOUNION
Tajuk: Jaga-Jaga Senariounion
Genre: Komedi
Pengarah: Aziz M. Osman
Produksi: Botak Production Management Sdn Bhd
Bahasa: Bahasa Malaysia
Durasi Filem: 90 Minit
Jumlah Hari Penggambaran: 10 Hari
Tarikh Penggambaran: 13 Dec-23 Dec 2021
Lokasi Penggambaran: Mantin Negeri Sembilan
Tarikh Tayangan Di Astro First : 21 April 2022
BARISAN PELAKON
Mohd Azlee bin Jaafar sbg Azlee
Illya Buang bin Shaharum sbg Tok Kadi
Mohd Saiful Azam bin Mohamed Yusoff sbg Saiful
Abdul Wahid bin Mohd sbg Wahid
Yassin bin Yahya sbg Yassin
Ahmad Hamdan bin Mohamed Ramli sbg Dato Hamdan
Nur Farisha Amira binti Aslan sbg Zila
Mas Said bin Abdul Ghani sbg Prono
Badrolshah bin Abdul Manan sbg Bala
Syaniza binti Hisham sbg Syanie
Aman Shah bin Asri sbg Amen
Siti Nora binti Sukiran sbg Nora
LAGU
‘Yang Bertakhta Akhirnya’
Penyanyi M. Nasir
Penulis Lirik – Mohd Nasir Mohamed
Warner Chappell Music Malaysia Sdn Bhd
Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd
‘Musim Kenduri Kahwin’
Komposer – Illya Buang
Lirik & Nyanyian Senario
‘Tralala Joget’
Bintang Malaya Hawaiian Band
Emi Colombia 33es 306
The Gramophone Company Ltd
PASUKAN PRODUKSI
Pengarah Seni : N.Manjit Singh A/L Norain Singh
Kesinambungan: Nurul Ain Binti Kamaruddin
Juru Kamera:
Mohd Nazir Bin Ahmad
Norazam Bin Mohd Yusoff
Penata Bunyi: Nurzaidi Bin Abd Rahman
Sinematografi: Nazir Bin Ahmad
Suntingan: Salman Shaharuddin
Suntingan Akhir: Aziz M. Osman
Kesan Khas (Cgi): Hafiz Yusuf 2 Bros
Tatarias: Ezatul Eva @ Maizatul Eva Bt Muhammad
Busana:
Nazirah Binti Mohd Isa
Muhammad Azri Husni Bin Muhamed Shaipudin
Pasca Penerbitan: Botak Production Management Sdn Bhd
LOGLINE
Bila majlis akad nikah dibatalkan kerana dulang hantaran bernilai RM50 ribu disamun, muncul seorang penyiasat insuran mendedahkan unsur sabotaj dikalangan keluarga dan sahabat handai kedua belah pihak pengantin.
SINOPSIS
Keluarga dan sahabat handai Datuk Hamdan berkumpul untuk pengiring bakal pengantin – Amen (anak Datuk Hamdan) untuk acara akad nikah di rumah pengantin perempuan. Sebanyak 9 dulang hantaran bernilai RM50 ribu dibawa oleh pengiring.
Ketika dalam perjalanan, tiba tiba kereta rombongan diserang perompak dan kesemua dulang hantaran telah disamun. Akhirnya rombongan Datuk Hamdan tiba dirumah pengantin perempuan dengan tangan kosong. Ibu pengantin perempuan – Syanie curiga dengan insiden tersebut dan bertegas untuk membatalkan acara akad nikah. Ketegangan berlaku.
Muncul Saiful, seorang penyiasat insuran mengesyaki ada unsur sabotaj disebalik tragedi ini. Dia menghimpunkan kesemua mereka yang berkenaan.
Dengan kebijaksaan, Saiful menyoal siasat kesemua mereka untuk mencari dalang yang sebenar. Siapakah yang merancang mencuri dulang hantaran dan kenapa?