Drama yang tular dan paling banyak mendapat reaksi netizen yang marah dengan watak si pengacau rumah tangga iaitu Husna, Jangan Benci Cintaku lakonan Saharul Ridzwan, Zahirah Macwilson dan Niena Baharun berada di kedudukan pertama carta 5 terbaik dengan 12 juta tontonan!
Drama ini menjadi tular bukan sahaja kerana tidak menyukai watak Husna, malah netizen turut geram dengan sikap Shah yang tidak tegas, Fika yang mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan Nek Pah yang kuat mendesak!
Senarai Top 5 Drama Melayu TV3 Tahun 2018
Selain Jangan Benci Cintaku dan Terbaik Dariku, jom kita lihat senarai penuh top 5 Drama TV3 pada tahun 2018:
1) AKASIA: JANGAN BENCI CINTAKU
12 juta (rating terkumpul), 4.5 juta (rating tertinggi sepanjang siaran), 5 juta (tontonan di tonton dan Youtube TV3)
TARIKH SIARAN: 29 Jun – 7 Ogos 2018
SINOPSIS: Perkahwinan Fiqa dan Shah merupakan aturan keluarga ketika usia Fiqa masih muda. Dia yang langsung tidak bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya dan sering menganggap bahawa perkahwinan adalah satu beban. Lantas, Fiqa tidak teragak untuk melanjutkan pelajaran ke Sunderland, Australia tanpa menghiraukan perasaan suami yang mencintainya. Lima tahun kemudian, Fiqa kembali ke Malaysia dan menyedari dia mula merindui suaminya dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Namun, Shah sudah mempunyai kekasih hati iaitu Husna dan Fiqa berjanji pada diri akan memenangi hati suaminya semula.
Pelakon: Saharul Ridzwan, Zahirah Macwilson, Niena Baharun, Daler Yusof & Amelia Henderson
2) SAMARINDA: ANDAINYA TAKDIR 2
12 juta (rating terkumpul), 3.5 juta (rating tertinggi sepanjang siaran), 1 juta (tontonan di tonton dan Youtube TV3)
TARIKH SIARAN: 13 Jun – 2 Ogos 2018
SINOPSIS: Airil yang sudah bercerai dengan Fatihah berusaha untuk menyatukan semula keluarga mereka termasuk menjalani rawatan dengan doktor psikatri. Airil masih tidak berputus asa memujuk Fatihah untuk rujuk semula walaupun setelah tiga bulan bercerai. Dia merasakan hidupnya tidak sempurna tanpa Fatihah dan Aleeya di sisi. Tapi Fatihah masih trauma dan makin membenci Airil bila Airil masih masuk campur urusan hidupnya hingga Fatihah berpindah ke Terengganu bersama Aleya. Bila berjauhan barulah Fatihah terasa sukarnya hidup tanpa Airil dan terpaksa berdikari. Apatah lagi Aleeya kini sudah pandai memberontak dek sebab merindukan Airil dan tertekan kerana Fatihah lebih banyak meluangkan masa di tempat kerja baharu daripada anak sendiri. Pelbagai ujian melanda termasuklah desakan cinta dari Nizam, bosnya, masalah Aleya terpengaruh dengan budak nakal dan cinta baru dar Hafiz. Airil berusaha membantu Fatihah dalam diam dan cari kerja di Terengganu dengan terpaksa menggunakan Sofea yang mencintainya. Hinggalah Fatihah sakit berpunca dari pukulan Airil dulu, Fatihah makin membenci Airil. Namun pengorbanan Airil akhirnya disedari Fatihah.
Pelakon: Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Puteri Balqis, Syazuwan Hassan DFKL, Shiela Mambo & Idris Mat Diah
3) ZEHRA: TERATAI KEMBOJA
12 juta (rating terkumpul), 3.9 juta (rating tertinggi sepanjang siaran), 100k (tontonan di tonton & Youtube TV3)
TARIKH SIARAN: 13 April – 8 Jun 2018
SINOPSIS: Fikri seorang usahawan, tetapi merasa hidupnya kosong tanpa anak kerana keengganan isterinya, Hanani untuk hamil. Satu hari Fikri diserang sakit jatung ketika memandu dan telah melanggar, Taufiq seorang guru agama yang berasal dari Kemboja. Selama mereka dirawat di hospital, Taufik selalu datang melawat Fikri di wadnya. Taufiq menceritakan tujuannya datang ke Malaysia adalah untuk berjumpa dengan pihak NGO yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan Islam dan pendidikan kanak-kanak di kampungnya. Dalam masa yang sama, Taufiq juga mencari seseorang. Fikri tertarik dengan cerita Taufiq dan mahu mengikut Taufik pulang ke Kemboja. Melihat kehidupan yang daif di kampung Taufik, Fikri tersentuh dan ingin menetap lebih lama di situ. Fikri juga tertarik dengan peribadi Nurhidayah yang juga anak kepada Taufik. Namun, statusnya yang sudah berkahwin menghalang niatnya. Tanpa diduga, Taufik melamar Fikri untuk menjadi suami kepada Nurhidayah. Fikri bingung tetapi Fikri akhirnya bersetuju kerana dia mahukan zuriat sebagai pewaris keturunannya dunia akhirat.
Pelakon: Fasha Sandha, Dato’ Adi Putra, Elly Mazlein, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Noralbaniah & Ikhlas Jalil
4) SAMARINDA: NUR
11 juta (rating terkumpul), 3.5 juta (rating tertinggi sepanjang siaran), 500k (tontonan di tonton dan Youtube TV3)
TARIKH SIARAN: 14 Mei – 13 Jun 2018
SINOPSIS: Mengisahkan Ustaz Adam, anak kepada seorang penceramah selebriti terkenal iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin. Adam menjadi harapan untuk meneruskan legasi dakwah keluarganya. Sebaik sahaja dia tamat pengajiaan di timur tengah dalam jurusan Usuluddin, Aisyah, kakak sulung Ustaz Adam memaksa Adam untuk terus muncul sebagai tetamu jemputan dalam program dakwah di televisyen seperti ayahnya. Namun, Adam menolak dan mahu mencari pengalaman dengan mula berdakwah di masjid milik ayahnya. Sejak memulakan tugasnya sebagai pendakwah, Ustaz Adam sering menerima soalan daripada individu misteri. Soalan itu hanya disampaikan melalui sekeping kertas tanpa nama. Ustaz Adam ingin mengenali siapakah individu yang mengajukan soalan yang menguji ilmu agamanya sebagai seorang pendakwah. Suatu hari, ketika Ustaz Adam hendak keluar dari masjid, dia bertembung dengan seorang wanita yang sedang menulis sesuatu. Malangnya, wanita misteri itu melarikan diri sebaik sahaja disapa Ustaz Adam dan meninggalkan sekeping kertas dengan soalan yang tidak sempat disudahkan. Sejak hari itu, wanita misteri itu tidak lagi muncul di masjid. Hati Ustaz Adam terdetik dan ingin mengetahui siapakah wanita misteri itu. Ustaz Adam memulakan pencariannya dengan niat mahu membantu wanita itu. Pencarian Ustaz Adam berakhir di lorong gelap. Ustaz Adam akhirnya menemui Nur, seorang pelacur yang ingin keluar dari kehidupan kotornya namun tidak berdaya.
Pelakon: Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah, Azhan Rani, Riena Diana DFKL, Laila Nasir & Raja Atiq
5) SAMARINDA: TERBAIK DARIKU
10 juta (rating terkumpul), 4 juta (rating tertinggi sepanjang siaran), 4.2 juta (tontonan di tonton dan Youtube TV3)
“TERBAIK DARIKU” RAIH 10 JUTA TONTONAN
Episod Akhir Ditonton Oleh 4 Juta Orang
Petaling Jaya, 21 Disember 2018 – Drama lakonan Zara Zya dan Syazuwan Hassan, Terbaik Dariku yang berakhir pada 18 Disember lalu berjaya meraih rating terkumpul sebanyak 10 juta tontonan dengan rating tertinggi sepanjang bersiaran sebanyak 4 juta tontonan! (sumber Nielsen Audience Measurement).
Drama 15 episod itu antara 5 drama yang memperoleh rating tertinggi di TV3 bagi tahun 2018. Episod akhir drama yang diarahkan oleh Along Kamaluddin ini menyaksikan Taufik dibunuh oleh Tiger yang memburu Zaharah. Terbongkar rahsia, Zaharah adalah adik kandung Aisyah iaitu Khatijah yang telah lama hilang kerana diculik oleh Azman.
Walaupun kehilangan Taufik, tiada siapa yang menyalahkan Zaharah kerana mereka redha. Kematian Taufik telah merubah hidup Aisyah, Suraya dan juga ibunya, Saodah. Saodah sudah sedar dengan kesalahannya, kini hanya ada Aisyah dan Suraya tempatnya menumpang kasih bersama cucu-cucunya.
Menariknya, drama yang penuh konflik ini turut ditonton lebih 4.2 juta di laman Youtube TV3Malaysia dan juga tonton.
TARIKH SIARAN: 14 November – 18 Disember 2018
Sinopsis: Mengisahkan seorang wanita yang tersepit antara impiannya untuk memiliki cinta suaminya dan menerima realiti suaminya mencintaii perempuan lain. Aisyah mengahwini Taufiq kerana menyangkakan suaminya itu ikhlas terhadapnya. Sebenarnya, Taufiq tidak pernah mencintai Aisyah. Sebaliknya Taufiq hanya mempergunakan Aisyah atas desakan ibunya, Saodah yang mahu menumpang kesenangan yang dimiliki Aisyah. Dalam diam, Taufiq mempunyai seorang isteri lain bernama Suraya yang dikahwininya sebulan selepas pernikahannya dengan Aisyah. Taufik bijak menyembunyikan perkahwinannya itu sehingga tidak dapat langsung dihidu oleh Aisyah. Taufiq sering memburukkan Aisyah di hadapan Suraya. Dia sering mengadu dia tidak bahagia dengan Aisyah dan betapa dia cuba menjaga hati Aisyah tetapi Aisyah tidak menghormatinya sebagai suami malah katanya, Aisyah memperkecilkan dirinya sebagai lelaki yang berasal dari kampung dan miskin. Semua rekaan cerita ini menyebabkan Suraya bencikan Aisyah. Seringkali Suraya mendesak supaya Taufiq menceraikan Aisyah tetapi Taufiq masih lagi tidak mahu melepaskan Aisyah.
Pelakon: Zara Zya, Syazuwan Hassan DFKL, Azar Azmi, Hanna Aqeela, Datin Fadilah Mansor, Ainina Ahmad B dan Azri Iskandar