20 IDEA TERPILIH UNTUK PERTANDINGAN “WHAT’S YOUR BIG IDEA”
Demi ‘Big Idea’, Laut China Selatan sekalipun tidak menjadi halangan. Selepas diberitahu ideanya layak ke peringkat akhir Pertandingan “What’s your Big TV Idea” anjuran Primeworks Studios, seorang pelajar Malaysia di Jepun sanggup terbang pulang ke tanahair untuk bersaing bagi memenangi hadiah bernilai RM20, 000.
Pertandingan ini, yang dianjurkan sempena pelancaran Primeworks Studios Sdn Bhd, merupakan sebuah pencarian idea atau konsep rancangan televisyen yang asli dan bermutu. Ia merupakan peluang terbaik bagi rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif sebagai platform untuk idea mereka diiktiraf dan diketengahkan oleh pihak yang mampu memperkembangkannya secara langsung.
Lebih dari 2400 penyertaan telah diterima untuk pertandingan ini, membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak ketandusan idea-idea segar dan cemerlang. Malah dua individu telah menghantar lebih dari 30 penyertaan setiap seorang. Usaha dan daya kreatif mereka ternyata membuahkan hasil kerana dua daripada buah fikiran mereka telah diterima untuk ke peringkat akhir.
Secara keseluruhannya, setelah dinilai, 20 idea daripada 18 peserta telah layak ke pusingan akhir pertandingan ini. Enam daripadanya berbentuk drama manakala enam lagi adalah untuk rancangan realiti. Selebihnya terdiri dari tiga rancangan berbentuk ‘game show’, dua buah dokumentari, sebuah rancangan musikal dan sebuah rancangan bual bicara.
Pusingan akhir akan menyaksikan kesemua 20 ‘Big Idea’ di bentangkan di dalam sesi pembentangan khas bersama panel hakim Primeworks Studio yang di gelar ‘Seriously Big Bosses’. Panel ini terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian saluran Media Prima merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Television Networks, Dato’ Sri Farid Ridzuan, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad , En. Abdul Rahman Ahmad dan juga para ketua pegawai eksekutif stesen-stesen TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Sesi khas ini akan diadakan pada 13 November 2008. Para peserta yang tersenarai-pendek akan menerima wang tunai RM 3,000 setiap seorang.
Di akhir pertandingan, peserta dengan idea asli paling kreatif dan segar yang berjaya menambat hati panel hakim akan dinobatkan sebagai pemenang utama dan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 20, 000. Selain itu, peserta akan diberi penghargaan dalam bentuk ‘opening credit’ apabila ideanya diterbitkan nanti.