in

Senarai Program TV Sepanjang Ramadan 1433H di TV3

DENGAN KESEDERHANAAN, KESYUKURAN, KEINSAFAN & PUJIAN

Lebih kurang seminggu lagi, umat Islam seluruh dunia bakal menyambut kedatangan bulan Ramadan. Bulan Ramadan sungguh bermakna kerana ianya merupakan bulan yang paling mulia dan penuh dengan keberkatan.

Bersesuaian dengan bulan yang mulia untuk menyucikan hati dan meningkatkan peribadi supaya kita sebagai hamba Allah SWT sentiasa muhasabah diri serta bersyukur dengan apa yang diberikan olehNya, kali ini TV3 tampil dengan tema “Raikan Ramadan” yang diterapkan di dalam pelbagai rancangan berbentuk ilmiah, padat dengan teladan dan keinsafan untuk dikongsi bersama menerusi program majalah, dokumentari, drama serta hiburan.

Persembahan nasyid oleh Rabbani

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama, TV3 & TV9, ”Raikan Ramadan dipilih sebagai tema pada tahun ini bertujuan memberi inspirasi dan pemahaman yang lebih baik kepada para penonton menerusi sajian program-program TV3 sepanjang bulan ini. Lebih menarik, program-program istimewa bersempena dengan bulan Ramadan disusun mengikut sub-tema iaitu ‘Dengan Kesederhanaan”, “Dengan Kesyukuran”, “Dengan Keinsafan” dan “Dengan Pujian” kerana bulan Ramadan bukan hanya tentang ibadah berpuasa tetapi ia juga harus diraikan dengan kesederhanaan, kesyukuran, keinsafan dan pujian oleh umat Islam. “

tazkirah Ramadan oleh Ustaz Ghazali Ibrahim

“Bulan Ramadan juga menjadi tanggungjawab umat Islam untuk saling mengingati dan menasihati sesama insan. Dengan itu, TV3 sajikan program-program yang penuh keinsafan dan pengajaran seperti Jejak Rasul, Kias Ramadan, Insaf, Solusi, Iktibar dan Bayar Tunai. Sesungguhnya bulan Ramadan ialah bulan yang penuh berkat dan pengampunan, maka ia harus diisi dengan puji-pujian kepada Allah yang Maha Agung seperti program Kalamullah, Madrasah dan Qari Junior.

Selain itu, TV3 juga ada menyajikan rancangan hiburan yang penuh kesederhanaan dengan pengisian yang membawa keinsafan dan kesedaran untuk tatapan penonton. Antaranya, dramedy Mentua VS Mentua, Akustika Ramadan dan drama bersiri 7 Ramadan di slot Samarinda. Ramadan juga merupakan bulan yang perlu diisi dengan kesyukuran terhadap rezeki yang diterima dan mengingati golongan yang kurang bernasib baik. Dengan itu, TV3 menyajikan program Singgah Sahur, Bazaar Ramadan dan juga 5 Rencah 5 Rasa Ramadan untuk tontonan semua.” Tambah Cik Sherina.

Ana Dahlia, Fir Affandi, Elly Suriati & Tania Zainal

Ana Dahlia, Fir Affandi, Elly Suriati & Tania Zainal

Sementara itu berikut adalah program-program yang menjadi santapan penonton-penonton TV3 sepanjang bulan Ramadan (1433 Hijrah):-

RAIKAN RAMADAN DENGAN KESEDERHANAAN

Mentua VS Mentua ( 4 episod) – Setiap Ahad, 6.00 ptg– 6.30 ptg mulai 22 Julai
Sabri dan Hana, sepasang suami isteri yang tinggal di Kuala Lumpur ingin pulang ke kampung mereka seminggu sebelum mula berpuasa untuk menyambut bulan puasa dan hari raya di rumah ibubapa mereka. Kedua-dua keluarga tinggal bersebelahan dan hubungan ibu-ibu mereka, Mak Timah dan Mak Hasnah sangat rapat sehingga mereka mencetuskan perang dingin kerana enggan mengalah dan mahu Sabri dan Hana beraya di rumah masing-masing. Sudah 2 tahun Sabri dan Hana beraya di rumah sendiri. Akhirnya, Sabri mengambil keputusan untuk pulang ke kampung mereka. Dengan bantuan ahli keluarga yang lain, berjayakah Sabri dan Hana menyelesaikan kemelut antara Mak Timah dan Mak Hasnah pada tahun ini?
Pelakon: Iqram Dinzly. Liza Abdullah, Kaza, Ebby Yus, Maimunah Talib, Tengku Anis, Mimi Haris, Zoey Rahman

Akutiska Ramadan (4 episod) – Setiap Selasa, 11.00 mlm – 12.00 tghmlm, mulai 24 Julai
Bersama hos Ustaz Zhafran Zainuldin, Akustika Ramadan menyajikan hiburan santai secara akustik lagu lagu popular tanah air serta lagu ketuhanan yang dibawakan khas oleh Hafiz, Hujan, Al-Mawlid, Rabbani, Hazama, Monoloque, Tomok dan Altimet. Tidak lupa juga segmen ilmiah bersama dengan Ustaz Kazim Elias dan Prof. Izzi Hj. Ali membincangkan topik Ramadan. Gelak ketawa bersama Datuk Aziz Satar, Imuda & Sathia dan Kumpulan Osbon. Dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti tanah air Nur Fathia, Neelofa, Diana Amir serta kapten pasukan Harimau Malaya Safiq Rahim.

Slot Samarinda: “7 Ramadan”( 13 episod) – Setiap Selasa & Rabu, jam 10.30 mlm – 11.00 mlm,
Setiap Khamis, jam 9.30 mlm – 10.00 mlm, mulai 19 Julai
Sufiah tinggal di kampung seorang diri dengan mengambil upah mengurut, membuat kuih dan sebagainya demi menyara kehidupannya dan anak angkatnya, Ramadhani yang amat disayangi. Ramadhani atau Dhani kini telah dewasa dan baru saja menamatkan pengajiannya di sebuah universiti. Hari yang ditunggu-tunggu kini tiba. Hari itu merupakan 7 Ramadan, hari konvokesyen Dhani dan juga ulang tahun arwah anaknya, Iqram yang meninggal dunia ketika berumur tiga bulan dalam sebuah sejarah hitam dalam hidupnya. Sufiah tidak akan lupa tarikh 7 Ramadan itu serta peristiwa anak mati akibat dicampak oleh suaminya, Mustaza yang kini berada di penjara. Dhani menegah Sufiah hadir ke majlis konvokesyennya kerana dia tidak mahu teman wanitanya, Anna mengetahui tentang ibunya. Demi mengambil hati ibu Anna, Datin Audrey yang mementingkan darjat, Dhani telah berbohong bahawa dia sebenarnya seorang anak orang kaya yang diabaikan oleh ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan kerja. Dhani yang sudah bosan hidup dalam kemiskinan nekad untuk berubah hidupnya walaupun terpaksa melukai hati ibunya, Sufiah.
Pelakon: Elly Suriati, Fir Affandi, Ana Dahlia, Tania Zainal, Mustapha Kamal, Sherry Abdullah, Nabila Huda, Roy Azman
Pengarah & Penulis Skrip: Shahrulezad Mohamedin
Penerbit: Radius One Sdn. Bhd.

RAIKAN RAMADAN DENGAN KESYUKURAN

Singgah Sahur (8 episod)
Sabtu & Ahad, jam 12.35tghmlm, mulai 21 Julai
Siaran ulangan pada Sabtu & Ahad, jam 5.30ptg mulai 22 Julai
Bersesuaian dengan konsep ”Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima”, program Singgah Sahur meneruskan kesinambungannya dengan mendekati kumpulan atau individu yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan sedikit sumbangan dan seterusnya mengerjakan ibadah sunnah dengan menjamah hidangan sahur bersama mereka. Seperti tahun-tahun sebelum ini, sekali lagi barisan personaliti TV3 seperti Ally Iskandar, Nor Azzura Azizul Azman, Fiza Sabjahan, Nurul Syuhada, Teh Syuhada, Noorzahan Rashid, Zakiah Anas, Irin Putri, Nadia Shahrul, Mzul, Za’im Helmy, Hazrena Kassim, Zainal Ariffin, Hazlin Hussain dan Ahmad Noor Sulaiman bakal singgah ke serata Malaysia.

Bazaar Ramadan (4 Episod) – Setiap Ahad, jam 5.00 ptg – 5.30 ptg mulai 22 Julai
Sebuah program santai yang mencari juadah berbuka puasa di bazaar Ramadan. Bersama Fizo Omar untuk meninjau beberapa lokasi bazaar Ramadan di Pulau Pinang, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Kelantan untuk mengetahui keunikan dan juadah istimewa.

5 Rencah 5 Rasa Ramadan (4 Episod) – Setiap Isnin, jam 11.30 pg– 12.00 tghr mulai 23 Julai
Kali ini, 5 Rencah 5 Rasa Ramadan bertemakan kesihatan akan berkongsi resipi sewaktu bersahur dan juga berbuka puasa.untuk golongan yang mengalami masalah kesihatan seperti diabetis, kolestrol tinggi, obesiti dan kanser. Menu dan resipinya juga mengamalkan diet seimbang dengan menggunakan rencah yang bersesuaian dengan penyakit tersebut. Dihoskan oleh Sherson.

RAIKAN RAMADAN DENGAN KEINSAFAN

Jejak Rasul (13 Episod) – Setiap Ahad hingga Jumaat, 6.30 ptg – 7.00 mlm, mulai 21 Julai
Tidak lengkap rasanya Ramadan tanpa program Jejak Rasul yang menjadi santapan rohani setiap kali menjelangnya bulan yang mulia ini. Jejak Rasul mula diperkenalkan pada tahun 1995 di TV3 merupakan program dokumentari berbentuk ilmiah yang popular di mana ia menjejaki peninggalan para Rasul dengan memaparkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan 25 Rasul. Jejak Rasul edisi 2012 membawa para penonton mengimbau kembali paparan menarik 17 musim yang lalu dimana kru produksi telah menjejaki kaki ke serata dunia dalam menyelami resam hidup, budaya, bahasa, makanan, kesenian dan sejarah umat Islam.

Kias Ramadan Musim Ke-2 (4 Episod) – Setiap Rabu, jam 11.00 mlm – 11.30 mlm, mulai 25 Julai
Mari memupuk kesedaran dalam mengumpul amalan sepanjang bulan Ramadan dengan berkongsi 12 dosa-dosa manusia yang biasa dilakukan sepanjang bulan mulia menerusi cerita ringkas (mini drama) yang dilakonkan oleh artis-artis tanahair.

Iktibar Musim Ke-2 (4 episod) – Setiap Rabu, 11.30 mlm – 12.00 tghmlm, mulai 25 Julai
Kembali dengan musim ke-2, Iktibar fokus kepada mereka yang terpesong daripada ajaran agama telah membuka hati untuk kembali ke jalan yang sebenar dan mendekati diri dengan Allah SWT.

Solusi (4 episod) – Setiap Sabtu, 6.00 ptg – 6.30 ptg, mulai 21 Julai
Program soal jawab mengenai persoalan ibadah dalam kehidupan seharian. Bersama Ustaz Ahmad Husni Dato’ Hj Abd Rahman yang akan menjawab kemusykilan penonton secara interaktif dan santai supaya persoalan dan kemusykilan mudah difahami dan diamalkan.

Insaf (4 episod) – Setiap Khamis, 5.30 ptg – 6.00 ptg, mulai 26 Julai
INSAF, rancangan temubual yang dihoskan oleh Ustaz Mohd Erfino Johari mengangkat kisah benar kehidupan masa lampau empat individu dimana hidup mereka jauh dari pegangan agama. Penonton akan mendengar, memahami dan mempelajari kisah hidup mereka dengan emosi yang menyentuh jiwa. Antara topik-topik yang dipaparkan ialah Pusher, Benih Beracun, Bunga Khayal dan Hero Tapi Hancur. Mereka mencari sesuatu yang hilang iaitu Agama dan Tuhan. Bagaimana kesemua mereka kembali insaf dan menemui titik perubahan dalam kehidupan?
Bayar Tunai ( 4 episod) – Setiap Jumaat, 6.00 ptg – 6.30 ptg, mulai 27 Julai
Setiap perbuatan yang anda lakukan pasti ada balasannya. Kita harus sentiasa ingat bahawa musibah juga boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan balasan bukannya hanya di akhirat. Ikuti program majalah dokumentari ”Bayar Tunai” menampilkan kisah benar individu yang pernah menerima balasan akibat perbuatan dan tingkah laku mereka. Antara paparan episod yang menarik ialah ’Kaki Penipu’, ’Panas Baran’, ’Gadis Cyber’ dan ’Dalam Hati Ada Noda’.

RAIKAN RAMADAN DENGAN PUJIAN

Kalamullah – versi 30 min setiap hari, jam 6.00pg mulai 21 Julai
Versi 5 minit setiap hari jam 8.55pg & Isnin – Khamis jam 2.55 ptg
Bacaan surah berserta tafsirnya oleh wakil pelajar hafazan sekolah-sekolah Tahfiz dari serata Malaysia yang membaca dengan bertarannum. Setiap episod dengan bacaan surah terpilih membawa konsep ’kisah dan tauladan’ yang boleh dijadikan pengajaran.

Madrasah (4 episod) – Setiap Selasa, 6.00 ptg – 6.30 ptg, mulai 24 Julai
Ikuti pengembaraan Ahmad Fedtri Yahya dalam mencungkil keunikan setiap Madrasah yang telah melahirkan bakat-bakat dan generasi baru yang berjasa. Madrasah di Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor menjadi pilihan untuk dipaparkan dalam empat episod. Penonton bakal mengenali kisah seorang paderi yang kini bergelar al hafiz, kisah warga China yang mengajar Quran di Putrajaya, kisah hartawan yang mendermakan begitu banyak harta untuk menguruskan madrasah serta pelbagai lagi kisah yang menyuntik inspirasi serta mampu memberi perspektif baru kepada institusi madrasah.

Qari Junior (20 episod) – Setiap Isnin hingga Jumaat, 9.00 pg – 10.00 pg, mulai 23 Julai
Buat pertama kalinya bersempena kehadiran Ramadhan, TV3 bakal tampil dengan sebuah program realiti terbaru berbentuk keagamaan untuk kanak-kanak, iaitu ‘QARI JUNIOR’. Dihoskan oleh Ustaz Zhafran Zainuldin, program ini akan mencungkil dan menggilap bakat kanak-kanak berusia 7-12 tahun dalam mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan sekaligus dapat menarik minat penonton untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran.

CEREKARAMA RAMADAN

CEREKARAMA RAMADAN: Lorong Cahaya, 21 Julai, 10.00 mlm – 12.00 tghmlm
Nuh seorang peniaga tapai yang berjaya. Walaupun kaya, hidup Nuh sunyi kerana selalu gagal dalam percintaan. Dia ingin mencari pasangan hidup lalu pergi menemui Tok Leh seorang guru agama yang disegani ramai. Tok Leh menjadi terkenal kerana sering berjaya mengubati penyakit rohaniah yang pelik-pelik. Tok Leh mempunyai seorang cucu perempuan bernama Adawiyah. Dalam perjalanan ke rumah Tok Leh, Nuh menumpangkan Amin seorang pelukis yang sedang mencari ilham. Nuh mengajak Amin turut serta berubat di rumah Tok Leh. Adawiyah ingin mencuba caranya tersendiri dalam mencari jodoh. Dia ingin menjadi seperti ‘Siti Muslihat’ moden. Dia sengaja menyamar jadi hodoh. Bagi Adawiyah, dia mahu bakal suaminya menerimanya dalam keadaan dirinya yang tidak seberapa. Siapakah antara mereka yang berjaya harungi rintangan di kediaman Tok Leh dan terpedaya dengan muslihat Adawiyah?
Pelakon: Shah Iskandar, Aidil Aziz, Fathil Dani,Zuhairi Ibrahim, Miera Liyana
Penulis Skrip: Mahizan Hussein
Pengarah: Amy Maziah
Penerbit: Global Station Sdn Bhd

CEREKARAMA RAMADAN: Maafkan Aku, 28 Julai, 10.00 mlm – 12.00 tghmlm
Seluruh warga Madrasah Murafah riuh rendah apabila Firdaus Hazadi ditangkap atas tuduhan menjadi pencuri. Walaupun ada kemungkinan Firdaus dianiayai rakan sebiliknya, Zarul, dia telah dihukum tanpa usul periksa. Pakaian Firdaus telah ditanggalkan, diikat dan dipukul dengan cemeti sebelum dibuang dari Madrasah Murafah. Ahli keluarganya juga tidak mempercayainya kecuali adiknya, Amani. Kecewa dengan tindakan ahli keluarganya, Firdaus bertindak meninggalkan rumah untuk mencari ketenangan. Akibat tertekan, Firdaus terjebak dengan kegiatan mencuri dompet. Satu hari, Firdaus telah mencuri beg kepunyaan Marya. Alangkah terkejutnya apabila gambar sahabatnya, Zahrul ada dalam isi dompet tersebut. Rupa-rupanya Marya Khuraisha merupakan teman wanita Zahrul sedangkan Zahrul sudah bertunang dengan Natasya. Dendamnya terhadap Zahrul belum terbalas. Akhirnya Firdaus nekad ke rumah Marya di Villa Amrila berdasarkan alamat yang terdapat dalam dompet yang dicurinya. Insiden silap nombor rumah telah membawa Firdaus berjumpa dengan Haji Habsyi yang sangkakan Firdaus ialah ustaz yang datang untuk mengajar cucunya. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Pelakon: Syazwan Zulkifly, Zahiril Adzim, Datuk Rahim Razali, Rosnah Johari, Nora Danish, Hisham Ahmad Tajuddin, Maisarra Syahirah
Pengarah: Raja Ahmad Alauddin
Penerbit: Primeworks Studios

CEREKARAMA RAMADAN: Jidin Puasa Lagi, 4 Ogos, 10.00 mlm – 12.00 tghmlm
Kedatangan Ramadan sering kali menerbitkan rasa gembira kepada Jidin yang berusia 10 tahun dan ahli keluarganya termasuk ibu, kakak dan abangnya. Mereka sekeluarga menganggap bulan Ramadan sebagai bulan yang penuh dengan keuntungan dan kemewahan. Bagi Jidin, dia mempunyai tiga sebab mengapa dia menantikan Ramadan. Pertama, Jidin akan mendapat upah RM 5 setiap kali dia dapat menghabiskan puasanya. Kedua, dia dapat menikmati juadah yang disukai untuk berbuka puasa. Ketiga, dia pastinya akan mendapat baju dan kasut raya. Bahkan, Jidin turut menyediakan pelan ‘B’ jika dia tidak dapat menghabiskan puasa. Satu hari, Jidin telah ditangkap oleh Pak Ali, tukang sapu sekolahnya kerana mencuri makanan di belakang stor sekolah. Jidin merayu kepada Pak Ali supaya tidak memberitahu ibunya dan sedia menjalani hukuman dimana dia akan datang awal pagi untuk membantu Pak Ali menyapu sampah sebelum kelas bermula. Sejak itu, Jidin dan Pak Ali menjadi rapat. Jidin banyak mempelajari perkara tentang hikmah bulan Ramadan daripada Pak Ali. Jidin mula berubah dan berdakwah secara halus memujuk ahli keluarganya untuk mengejarkan solat tawarih di surau setiap malam. Berjayakah Jidin?
Pelakon: Ahmad Daniel, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Syera Ayob, Izzue Islam, Harun Salim Bachik
Pengarah: Azma Rizal Yusof
Penulis Skrip: Shida Zali
Penerbit: Radius One Sdn. Bhd

CEREKARAMA RAMADAN: Pengawal Hatiku, 11 Ogos, 10.00 mlm– 12.00 tghmlm
Liza teruja untuk bekerja di ibu kota apabila kawan baiknya, Nita berjaya mendapatkan pekerjaan untuknya. Bapa Liza, Pak Dollah pada awalnya berat hati ingin membenarkan Liza berjauhan dengannya. Namun setelah dipujuk oleh Liza dan kasihan terhadapnya Pak Dollah akhirnya bersetuju. Harapan Liza meleset setelah diberitahu oleh Nita yang dia akan bekerja sebagai pengawal keselamatan. Liza terpaksa bersetuju kerana malu mahu pulang ke kampung. Sebenarnya Nita mempunyai strategi kerana sudah 3 tahun dia tidak dapat pulang berhari raya. Kali ini dia akan meminta Liza bertugas supaya dia dapat bercuti. Liza terpaksa akur dan ditugaskan untuk mengawal sebuah banglo milik ahli perniagaan sehari sebelum raya sehingga raya ketiga. Malam raya itu Liza meraung kesedihan ketika berbual dengan ayahnya. Tiba-tiba Liza terdengar bunyi yang mencurigakan dan mendapati ada dua orang perompak pecah masuk. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Pelakon: Tasha Shilla, Noorkhiriah, Shahrizal Jaszle, Dato’ Rahim Razali, Zain Saidin, Fahrin Ahmad, Hairi Safwan
Pengarah: Murali Abdullah
Penulis Skrip: Wan Mahani Wan Hassan

Bacaan Al Quran oleh finalis Qari Junior, adik Muhammad Asyraff Al-Haqiem Mohad Ali Ross

Barisan artis yang hadir

Pihak penerbitan program dalaman bersama Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian TV Media Prima (kanan)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Concert Maroon 5 LIVE at Shah Alam Stadium

Episod Terakhir Friday I’m In Love