in

Senarai Program TV Sempena Ramadan 1433H TV9

Senarai Program TV Sempena Ramadan 1433H TV9. RAMADAN KITA TV9
Berkongsi Ganjaran Berganda Bersama

Sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, TV9 (Saluran 119) akan menyajikan barisan program menarik berbentuk ilmiah, teladan dan keinsafan sesuai dengan tema TV9 tahun ini iaitu Ramadan Kita. Tema ini dipilih supaya kita dapat memanfaatkan bulan Ramadan bulan yang mulia ini dengan amal ibadat dan kebaikan. Setiap kebaikan yang dilakukan pasti menerima ganjaran berganda seperti yang telah dijanjikan Allah SWT kepada hambanya yang beriman.

Pada tahun ini, TV9 telah menerbitkan tiga program baru yang istimewa khusus buat penonton setianya. Tiga program tersebut ialah Umrah Kita yang menampilkan tiga sahabat baik iaitu Aizat, Altimet dan Noh ’Hujan’ mengerjakan umrah bersama-sama dan memberi semangat kepada golongan remaja untuk menjalani ibadah umrah di usia muda. Bagi memberi semangat kepada golongan muda ini, peraduan diadakan dan hadiah menarik adalah 2 pakej umrah untuk setiap pemenang!

Altimet, Sherina, Sharifah Shahirah & Aizat

Program kedua ialah Al-Quran Menjawab Bersama Dr. Danial Zainal Abidin. Seperti yang kita tahu, kelebihan Dr. Danial Zainal Abidin adalah mengaitkan Sains dan juga Al-Quran. Dan program ketiga ialah kapsul istimewa sempena Ramadan yang diberi nama Penawar Sanubari Bersama Ashraf Muslim di mana beliau akan berkongsi pelbagai bacaan doa yang dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Dan program lain adalah program ’trademark’ atau ’signature’ kepada TV9 iaitu Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Mencari Resipi Temurun (musim kedua), Jom Berbuka dan siaran langsung Terawikh Daripada Masjidil Haram.

Berikut adalah program-program yang akan disiarkan menerusi Ramadan Kita:

MENCARI RESIPI TEMURUN- (Isnin & Selasa, 6.30 petang)
Mencari Resipi Temurun yang memasuki musim kedua ini merupakan sebuah program majalah yang menampilkan resipi tradisi turun-temurun yang terdapat di seluruh Malaysia. Program yang mengandungi 8 episod ini dihoskan oleh chef selebriti Anis Nabilah Umaruddin. Beliau akan membawa penonton mencuba resipi-resipi tradisi tempatan tetapi terkenal di luar negara. Antara negara yang dijelajahi oleh beliau ialah Phuket, Makasar dan Cape Town.

Pastikan anda tidak lupa untuk menyaksikan rancangan ini dikaca tv anda kerana chef Anis akan menunjukkan kelainan juadah berbuka puasa untuk anda sekeluarga. Mencari Resipi Temurun tahun ini diterbitkan oleh Ezzah Aziz Fawzy.

AL-QURAN MENJAWAB BERSAMA DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN- (Rabu & Khamis, 6.30 petang)
Kelebihan Dr. Danial Zainal Abidin adalah mengaitkan Sains dan juga Al-Quran. Bukti-bukti sains diberikan secara komprehensif, membenarkan kandungan al-Quran dan mampu meningkatkan lagi keimanan seseorang apabila membaca dan memahaminya. Dalam program yang mengandungi 8 episod ini, Dr. Danial Zainal Abidin akan menceritakan pelbagai aspek berkaitan penciptaan alam, kejadian manusia dan matlamat hidup, dan diolah dengan begitu menarik supaya dapat difahami oleh semua penonton. Beliau yang sememangnya terkenal sebagai seorang penulis dan pakar motivasi mampu membawa penonton kepada bukti kebesaran Allah bahawa kandungan Al-Quran menyentuh segala perkara termasuk ilmu sains. Program menarik ini diterbitkan oleh Fauzana Ainuddin.

JOM BERBUKA- (Sabtu & Ahad, 6.30 petang)
Untuk kali ketiga Sharifah Shahirah telah dipilih untuk mengendalikan rancangan Jom Berbuka sebanyak 8 episod. Seperti tahun-tahun lalu, Sharifah Shahirah akan mengintai persiapan berbuka teman-teman artisnya. Kali ini, Sharifah Shahirah akan menerjah ke rumah Didie Alias, Tiga Suara (Ning, Shila dan Jac), Memey dan Norman Hakim, Yasmin Hani dan Najwa Latif. Bagaimanakah agaknya persiapan berbuka orang bujang dan yang telah berumahtangga? Adakah mereka masak, membeli makanan sahaja ataupun sekadar berbuka diluar? Jom Berbuka yang bersiaran setiap Sabtu dan Ahad dan diterbitkan oleh Hartina Ayu Harun ini bakal menyaksikan kecelotehan dan keriuhan Sharifah Shahirah dan rakan-rakannya sepanjang persiapan mereka untuk berbuka.

Umrah Kita TV9

UMRAH KITA – (setiap Isnin, 11.00 malam)
Tiga selebriti muda terkenal- Aizat, Noh Hujan dan Altimet akan membawa penonton mengembara ke tanah suci Mekah dan Madinah untuk sama-sama merasai suasana menunaikan ibadah umrah. Ketika mengerjakan umrah, ketiga-tiga mereka tidak melepaskan peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti menaiki ATV (All-Terrain-Vehicle), bermain futsal, menonton bola, melihat keindahan di negara sana dan banyak lagi. Bagi peminat-peminat trio ini, anda pastinya tidak mahu terlepas menyaksikan gelagat Aizat, Noh dan Altimet sepanjang mereka mengerjakan ibadah umrah ini. Dan semestinya Umrah Kita memberikan pengalaman baru kepada golongan muda-mudi di samping menyampaikan mesej keagamaan dan ‘spiritual’ yang membawa mesej keinsafan. Saksikan keseronokan ketiga sahabat ini menerusi 4 episod sepanjang bulan Ramadan dan satu episod istimewa pada bulan Syawal.

Kepada mereka yang ingin memenangi pakej umrah, jangan lupa untuk memasuki peraduan istimewa Umrah Kita. Senang sahaja, anda hanya perlu:

  • 1. Ambil gambar logo Umrah Kita di dalam program tersebut.
  • 2. Jawab soalan yang diberi.
  • 3. Email gambar logo dan jawapan yang tepat kepada [email protected].
  • 4. Orang kesembilan yang menjawab dengan tepat akan memenangi hadiah pakej umrah.
  • 5. Nama pemenang akan diumumkan pada episod istimewa raya Umrah Kita (20 Ogos 2012).

PENAWAR SANUBARI BERSAMA ASHRAF MUSLIM (Setiap hari sepanjang Ramadhan, 10.59 pagi & 7.59 malam)
Kapsul khas sempena Ramadan ini menampilkan Ashraf Muslim di mana beliau akan berkongsi doa-doa yang dapat memberi manfaat kepada penonton menerusi Penawar Sanubari Bersama Ashraf. Antaranya seperti doa menghalang gangguan makhluk halus, doa menambah rezeki, doa mendapatkan anak yang baik, doa untuk menambah keyakinan diri dan sebagainya. Perkara-perkara yang sering dipandang kecil ini sebenarnya mungkin membawa kepada perubahan besar dalam hidup seseorang. Misalnya doa menambah keyakinan diri boleh dibaca ketika hendak menghadiri temuduga dan doa menambah rezeki pula boleh dibaca oleh para peniaga. Penawar Sanubari pastinya dapat memberi ilmu yang bermanfaat kepada anda semua.

Umrah Kita TV9

TANYALAH USTAZ- (30 episod, setiap hari, 7.00 pagi mulai 1 Ramadan)
Sepanjang bulan Ramadan ini, Tanyalah Ustaz yang menyajikan pelbagai topik keagamaan menarik yang merangkumi aspek-aspek kehidupan seorang Muslim. Diterbitkan oleh Shamsimar Saidan Khaderi dan Siti Zainah Juahir, Tanyalah Ustaz akan disiarkan secara langsung dari jam 7.00 pagi bertempat di Masjid Negeri Shah Alam. Antara barisan ustaz yang terlibat di dalam program ini adalah seperti Ustaz Syed Nor Hisyam Tuan Padang, Ustaz Dato’ Abu Hassan Din Al Hafez, Ustaz Firdaus Subhi, Ustaz Mohd. Erfino Johari, Ustaz Mohd. Salahuddin Mohamad, Ustaz Mohamad Abdullah, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani, Ustaz Dr. Danial Zainal Abidin, Ustaz Dr. Abdul Basit Abd. Rahman, Ustaz Mohd. Amri Abdullah, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim dan Ustaz Dr. Zahazan Mohamed.

TANYALAH USTAZAH- (setiap Jumaat, 11.30 pagi)
Selama satu jam penonton akan mendengar ceramah dan perbincangan mengenai topik-topik keagamaan yang menampilkan penceramah-penceramah wanita dari dalam negara. Program sebanyak empat episod yang diterbitkan oleh Azizah Ariffin ini akan bersiaran secara langsung setiap Jumaat jam 11.30 pagi dan dapat memberi peluang kepada para penonton untuk berinteraksi dengan penceramah. Jangan lupa untuk menyaksikan Tanyalah Ustazah, sebuah program yang sarat dengan nilai pengajaran dan mesej keinsafan kepada penonton.

SIARAN LANGSUNG TERAWIKH DARIPADA MASJIDIL HARAM- (Setiap hari sepanjang Ramadan, 2.00 pagi)
Solat Isya’ dan tarawih selama 2 jam akan dibawakan secara langsung dari kota suci Mekah ke kaca tv anda sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Banyak fadhilat yang bakal diperoleh barangsiapa yang menunaikannya termasuklah kebaikan dunia dan akhirat serta ganjaran pahala empat puluh tahun ibadah.

Pastikan anda tidak ketinggalan menonton program-program yang telah disediakan oleh TV9 sepanjang bulan Ramadan ini. Semoga bulan mulia ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk meningkatkan amal ibadat menuju ke arah keredhaan Allah SWT.

Sabda Nabi (s.a.w) : “Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah” – (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith).

Selamat mengerjakan ibadah puasa dan selamat menonton!

Sharifah Shahirah

Sharifah Shahirah

Anis

Anis

Altimet

Altimet (2)

Umrah Kita TV9

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Muzikal Ziana Zain, Amy Search & Erra Fazira

Gambar Juliana Evans di Anugerah Stail EH 2012