Menerusi saluran TV1, RTM menghadirkan drama mengisi slot Panggung RTM Hari Malaysia Khas Hari Malaysia dalam drama bertajuk “Seminit Lagi” disiarkan pada 10 September ini, pukul 9.00 malam. Drama terbitan Unit Drama TV RTM ini mengisahkan tiga orang sahabat Izham, Chin dan Muthu yang baru keluar dari sekolah Juvana.
Mereka sering dipandang serong dan telah dituduh terlibat dengan kejadian pecah rumah termasuklah yang baru berlaku di kawasan kejiranan mereka.
Namun benarkah mereka yang melakukan jenayah itu? Drama ini membariskan pelakon Fimie Don, Cheng Mun Yip, Devan Raj, Mia Nasir, Lim Hui Hong, Kodi Rashed, Arun Gunasakaran, Shah Iskandar dan Lan Zailan.
Seterusnya pada 12 September ini, pukul 4.05 petang, RTM menyiarkan dokumentari khas bertajuk “Di Bawah Langit Biru” terbitan RTM Sabah. Menariknya dokumentari khas ini memaparkan kehidupan rakyat yang tinggal di sekitar kawasan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) yang sering dikaitkan dengan pencerobohan penjenayah Rentas Sempadan dan isu Kumpulan Sulu yang sebenarnya sangat selamat dengan kawalan berterusan dari Eastern Sabah Security (ESSCOM).
Luangkan masa berhibur dengan program diberi tajuk “Busking Negaraku” pada 14 September ini, pukul 10.00 malam, menampilkan kumpulan Masmona Busker, Dabra Sia dan Arddley Nicholas. Bersama gandingan pengacara Enn Xaviera dan Felix Agus.
Tanggal 16 September sempena sambutan Hari Malaysia menyaksikan tiga program khas menanti seluruh Keluarga Malaysia. Bermula dengan siaran dokumentari khas iaitu “Si Gunting”, pukul 12.30 tengah hari.
Dokumentari khas ini berkongsi paparan menarik Hari Malaysia terbitan RTM Sabah yang mengisahkan Si Gunting atau Sogunting pahlawan Sabah yang menentang British pada tahun 1894-1905 mempertahankan keluhuran adat istiadat Dusun. Perang antara Si Gunting dan British berlangsung selama tujuh tahun.
Seterusnya siaran dokumentari khas bertajuk “Lidros” terbitan RTM Sarawak, pukul 4.30 petang dan “Siaran Langsung Khas Sambutan Hari Malaysia 2022”, pukul 8.30 malam.
Menarik perhatian penonton juga tayangan Panggung Khas Hari Malaysia menerusi drama bertajuk “Rumah Usang Di Hujung Tanjung” pada 18 September ini, pukul 2.00 petang. Diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM, ia mengisahkan konflik bermula apabila Pak Samad enggan menjualkan rumahnya kepada pemaju hartanah.
Pak Samad mahu mewasiatkan rumah itu kepada cucu angkatnya bernama Firdaus. Berjayakah Pak Samad mempertahankan rumahnya? Pelakon membintangi drama ini Wan Hanafi Su, Kartina Aziz, Zainun Ismail, Taher Sain, Zarina Zaini, Sulaiman Yasin, Yaakob Aziz, Haleeja dan Fazira Shafinaz.