Buat pertama kalinya dalam sejarah program realiti popular tempatan, Astro tampil dengan satu pembaharuan besaryang dijangka akan mencetuskan fenomena baharu dalam dunia hiburan Malaysia.
Dikenali sebagai Big Stage Alpha, edisi terbaharu ini mengetengahkan format pertandingan khusus untuk peserta lelaki yang bakal merebut tempat dalam sebuah kumpulan muzik lelaki atau “boy group” di bawah naungan Astro dan Rocketfuel.
Program ini bakal mula menemui penonton mulai 27 April 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104)dan boleh juga distrim menerusi Astro GO dan sooka. Ia turut disokong oleh siaran di belakang tabir dan program sampingan, menjadikannya lebih menyeluruh dan dekat dengan penonton.
Dari Big Stage Ke Big Stage Alpha: Evolusi Realiti Muzik Yang Semakin Matang
Sejak diperkenalkan, program Big Stage telah berjaya melahirkan bintang-bintang muda yang kini gah di persada muzik tempatan seperti Aisha Retno dan Nadeera Zaini. Maka tidak hairanlah, kali ini Astro menyahut cabaran untuk membawa format ini ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan Big Stage Alpha – sebuah pertandingan spin-off lelaki yang mengangkat konsep pemilihan anggota boy group secara profesional dan kompetitif.
Big Stage Alpha bukan sekadar program hiburan. Ia adalah platform impian.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Big Stage Alpha hadir sebagai respons kepada fenomena ‘idol survival’ yang semakin popular di seluruh dunia. Kami ingin mencipta satu peluang sebenar buat bakat tempatan untuk menyerlah bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa.”
Tambah beliau lagi, “Kami bukan sekadar mahu cari penyanyi, tetapi juga mahu membentuk personaliti yang lengkap – dari segi vokal, penampilan, persembahan dan ‘X factor’ yang boleh membuat mereka jadi kegilaan peminat.”
Barisan Peserta Serba Bakat Dari Tiga Negara
Seramai 18 peserta lelaki telah terpilih daripada sesi uji bakat yang dibuka kepada umum. Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan negara – bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga Brunei, Singapura dan Indonesia – menjadikan pertandingan ini lebih berwarna dan kompetitif.
Senarai penuh peserta dan nama pentas mereka adalah:
- Ray-D (Ariff Hilmy)
- Ashmirul (Amirul Ashraff)
- Awienit (Awienit Num)
- Ariel Fesol (Muhamad Fhazrill)
- Qarl G (Mohamad Haiqal)
- Afiq Sky (Muhammad Afiq Asyraaf)
- Alif Azri (Muhammad Alif Azri)
- Daniel Sher (Daniel Sher Aaron Bahadur)
- Que (Nazrul Fhad)
- Syafeek Ikhwan (Muhammad Syafiq Ikhwan)
- Araff (Muhammad Amirull Hasraff)
- Suff Ahmed (Ahmed Yusuf)
- Shaqeen (Muhammad Nurshakirin)
- Apich Lo (Ahmad Fadzlullah)
- Rizal Rasid (Brunei)
- Izat Ibrahim (Singapura)
- Ridhwan Azman (Singapura)
- Allan Andersn (Indonesia)
Mereka semua akan bersaing selama 8 minggu dalam pelbagai bentuk cabaran termasuk persembahan solo dan tugasan berkumpulan berdasarkan tema mingguan yang unik dan mencabar.
Penjurian Gabungan Profesional Dan Sokongan Peminat
Sistem penjurian Big Stage Alpha dibahagikan kepada dua komponen penting. Pertama, panel juri profesional akan memberi markah berdasarkan persembahan peserta. Tiga peserta dengan markah terendah akan berada di kedudukan terbawah setiap minggu. Seterusnya, undi peminat akan menjadi penentu utama sama ada peserta tersebut akan tersingkir atau terus bersaing ke minggu berikutnya.
Antara barisan juri yang bakal mengadili persembahan peserta adalah Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat, dan Hael Husaini – nama-nama besar yang punya kredibiliti tinggi dalam dunia muzik tanah air.
Hos Penuh Karisma Dan Tenaga
Program ini akan dihoskan oleh gandingan dua personaliti serba boleh yang cukup dikenali – Elly Mazlein dan bintang komedi serta nyanyian dari Indonesia, Rina Nose. Kehadiran mereka dijangka membawa elemen gelak tawa, karisma dan kehangatan pentas yang lebih bertenaga dan meriah.
Program Sokongan Yang Memeriahkan Lagi Perjalanan Peserta
Untuk memberikan gambaran lebih menyeluruh kepada penonton tentang perjalanan peserta, beberapa segmen khas juga akan disiarkan:
Diari Big Stage Alpha (21 April 2025, Isnin – Jumaat, 11.08 malam): Menampilkan persediaan harian peserta, latihan vokal, koreografi dan sorotan di belakang tabir.
Buzz Big Stage Alpha (setiap Ahad, selepas konsert utama): Segment post-show selama 30 minit yang membincangkan penyingkiran dan memberi analisis juri.
Penajaan Yang Mantap Dan Menyokong Industri Tempatan
Perfume Paradise hadir sebagai Penaja Utama untuk musim ini. Jenama ini cukup sinonim dengan program-program hiburan Astro, dan kini terus kukuhkan pengaruh mereka menerusi Big Stage Alpha. Ditubuhkan pada 2008, Perfume Paradise kini terkenal dengan tagline “Spray Sekali, Wangi 3 Hari” dan pernah menerima pengiktirafan Superbrands Malaysia pada tahun 2024.
Sementara itu, ZUS Ngupi pula tampil sebagai Kopi Rasmi, manakala Astro Gempak dan ERA masing-masing berperanan sebagai Rakan Digital dan Rakan Radio Rasmi.
Pengalaman Menonton Yang Lebih Terbaik Bersama Astro
Astro turut menyediakan pelbagai pilihan langganan untuk menikmati Big Stage Alpha dengan lebih puas. Penonton boleh melanggan Pek Astro One hanya pada harga RM49.99/sebulan, atau menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbpsbersama Pek Hiburan hanya RM139.99/sebulan. Untuk maklumat lanjut, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838.
Apa Kata Budiey?
Bagi Budiey, kemunculan Big Stage Alpha bukan sekadar pengisian rancangan realiti biasa, tapi ia adalah sebuah inisiatif berani dan progresif yang mampu membawa industri muzik kita ke satu aras yang lebih dinamik. Fokus kepada boy group bukan sahaja memberi peluang kepada peserta lelaki untuk menyerlah, tetapi turut membuka ruang buat Malaysia mencipta fenomena muzik serantau yang mampu menyaingi negara lain seperti Korea Selatan dan Jepun.
Dengan kombinasi bakat, produksi berkualiti tinggi, sistem penjurian yang seimbang dan sokongan padu peminat, Budiey yakin Big Stage Alpha bakal menjadi antara program paling dinanti tahun ini. Kepada semua pencinta muzik tempatan, inilah masanya untuk kita sama-sama menyokong dan menyaksikan lahirnya bintang baharu yang akan menggegar dunia hiburan!