KEMBALI DI TV9 DENGAN NAFAS BARU
Menyuntik Banyak Elemen Baru
Setelah setahun berehat, kini rancangan realiti Akademi Al-Quran yang mendapat sambutan menggalakkan sehingga pernah mencecah jumlah penonton seramai 1.5 juta kini kembali lagi di TV9 dengan musim keempat.
Akademi Al-Quran Musim Keempat (AQ4) ini akan menemui penonton dengan nafas baru dari segi penampilan, konsep, kandungan yang lebih berkualiti, pengacara dan juga penambahan waktu siaran.
Kini, rancangan AQ4 yang mengandungi 13 episod ini akan menemui penonton setianya pada pada setiap Jumaat selama satu setengah jam dari jam 9.00 malam hingga 10.30 malam bermula 21 Mei 2010 ini.
Menurut kata Puan Rozaina Zainul Abidin, Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, AQ4 pada kali ini telah membuat banyak pembaharuan termasuklah melonggarkan syarat had umur peserta. “Di atas sambutan yang begitu menggalakkan terutamanya daripada pihak madrasah dan sekolah rendah agama, kami telah melonggarkan syarat had umur kepada para peserta seawal 13 tahun.
Kami juga turut menekankan ilmu pembacaan Al-Quran di mana peserta perlu fasih dan lancar membaca Al-Quran dan di samping itu mereka juga dikehendaki menguasai ilmu tafsiran Al-Quran. Pemilihan sebegini amat penting kerana pada musim ini, peserta dikehendaki membaca surah-surah tertentu dan mentafsirkan surah tersebut di hadapan tiga juri berpengalaman. Ini dilakukan supaya mereka benar-benar memahami sesuatu surah itu dan bukan setakat menghafalkannya sahaja.â€
“Kami juga turut memperkenalkan tiga wajah pengacara baru di samping seorang juri wanita yang baru. Rancangan ini pastinya menjadi semakin menarik dengan penampilan istimewa daripada artis-artis jemputan untuk mendendangkan lagu-lagu bertemakan keagamaan, qasidah dan bacaan Al-Quran daripada artis-artis tanahair seperti Akbar, kumpulan UNIC dan beberapa selebriti tanahair.
Rancangan ini menjadi lebih padat dengan kemunculan segmen ustazah AQ menerangkan kepada penonton tentang tajwid, tarannum, bayati, qiraat dan pecahan-pecahan qiraat dan juga segmen trivia yang memberikan info-info berkaitan rancangan AQ,†tambah beliau lagi.
Kali ini dua pengacara berpengalaman telah dipilih untuk mewarnai AQ4 iaitu Ustaz Mohd Zamri Bin Hj. Mohd Zainuldin yang pernah mengendalikan rancangan Mari Mengaji dan Ustaz Zamri Bercerita serta Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga merupakan pemenang kedua AQ3 dan pernah menjuarai Pertandingan Antarabangsa Al-Quran 2009. Di samping dua pengacara berpengalaman, AQ4 turut diserikan dengan seorang pengacara pembantu di lokasi iaitu Khairul Noormaaidah binti Azali (Aida) yang juga merupakan Ikon Gadis Melayu 1. Ketiga-tiga pengacara ini juga fasih berbahasa Arab.
Sementara juri bagi AQ4 ini adalah terdiri daripada Ustaz Mohd Nazeri Abdullah (qiraat), dan Ustaz Radzi Kamarul Hailan (tarannum) dan Ustazah Asni Mansor (tajwid dan fasohah). AQ4 ini diterajui oleh penerbit eksekutif Wan Sabariah Shikh Ali dan penerbit Shukri Haji Ibrahim.
Akademi Al-Quran mula dilahirkan pada tahun 2006 ini telah menyaksikan Anuar Hasin dinobatkan sebagai Juara bagi AQ1, Abdullah Fahmi Che Nor sebagai Juara AQ2 dan Fakhrul Radzi Khamaruddin sebagai Juara AQ3.
Tujuan diwujudkan rancangan ini adalah untuk melahirkan generasi al-Quran dengan mendedahkan mereka mengenai ilmu pembacaan Al-Quran, menekankan elemen berlagu beserta tarannum dan qiraat tertentu dan paling utama adalah menyemarakkan minat penonton terhadap ilmu Al-Quran melalui satu-satunya rancangan realiti berteraskan Al-Quran.
Sepanjang ujibakat yang diadakan pada bulan Februari lalu, hampir 1,000 penyertaan diterima menerusi sesi ujibakat yang dijalankan di negeri Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur. Akhirnya selepas penyaringan dilakukan dengan diadili oleh juri-juri berpengalaman yang membabitkan Majlis Agama Islam bagi negeri-negeri terlibat, hanya 12 peserta terbaik dipilih untuk menyertai AQ4 ini dan terdiri daripada dua peserta Perempuan dan 10 peserta lelaki.
Pada musim keempat ini penyertaan peserta muda belasan tahun sahaja dianggarkan hampir 200 peserta dan akhirnya dua peserta cilik berusia 13 tahun dan 15 tahun dipilih iaitu adik Siti Aishah Baain dan Mohd bin Ahmad Zahid.
Lebih menyeronokkan adik Mohd ini juga tidak asing lagi dengan TV9 kerana suara lunak beliau sentiasa berkumandang setiap kali masuk waktu solat. Maklumbalas yang diterima terhadap rancangan berbentuk pendidikan ini amat positif di setiap ujibakat seluruh Malaysia.
Ini sudah cukup jelas membuktikan kepekaan masyarakat terhadap ilmu agama dan memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk diri kita untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam.
Satu lagi keistimewaan yang ada di dalam rancangan ini adalah penyertaan adik-beradik daripada Terengganu iaitu Yahya bin Haji Ali dan Ahmad Tirmizi Haji Ali. Mereka telah mencuba nasib mereka ketika mengadakan ujibakat di Kompleks Sri Iman, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Rezeki menyebelahi kedua beradik ini apabila terpilih untuk menyertai AQ4. Malahan, mereka juga mendapat sokongan daripada abang-abang mereka yang juga merupakan finalis bagi AQ 1 dan 2 iaitu Shukri Haji Ali dan Muslim Haji Ali.
Berikut adalah senarai peserta AQ4 pada tahun 2010 ini:
1 Siti Aishah binti Baain 13 tahun Pahang
2 Yahya bin Haji Ali 23 tahun Terengganu
3 Ahmad Tirmizi bin Haji Ali 25 tahun Terengganu
4 Mohd Ramadan bin Haji Razali 22 tahun Perak
5 Mohd Hassan Adli bin Yahya @ Yahuza 25 tahun Perak
6 Mohd Nazif bin Zuhairi 17 tahun Kedah
7 Husni bin Ali Hassan 25 tahun Melaka
8 Mohd bin Ahmad Zahid 15 tahun Kuala Lumpur
9 Mohd Kamarulzaman bin Daud 24 tahun Terengganu
10 Nor Aslam Faiz bin Othman 24 tahun Perak
11 Amirul Shahida binti Md Noor 22 tahun Pahang
12 Rusli bin Abd Latif 22 tahun Kelantan
Keduabelas peserta ini ditempatkan di Masjid Al-Ghuffran Taman Tun Dr Ismail selama tiga bulan. Mereka juga akan memulakan pembelajaran mereka di sana di bawah perhatian tiga mursyid yang juga merupakan pensyarah dan juga finalis kepada rancangan Akademi Al-Quran iaitu Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Anuar Hasin dan Ustaz Ibrahim Abdullah.
Sepanjang tiga bulan berkampung di sana, jadual mereka juga akan dipenuhi dengan aktiviti luar dan kemasyarakatan seperti bersukan, gotong-royong, melawat rumah-rumah kebajikan dan banyak lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut jangan lupa temujanji anda bersama AQ4 yang mengandungi 13 episod ini pada setiap Jumaat dari jam 9.00 malam hingga 10.30 malam bermula 21 Mei 2010 ini.
Mohd dan Aishah
Para peserta Akademi Quran 4
Puan Rozaini menyerahkan Quran Digital