Selesai sudah Malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Walaupun pertama kali dianjurkan tapi Budiey lihat acara ini tetap meriah, ada nostalgia dan kenangan tersendiri buat pengikut drama TV3 khususnya. Budiey harap, Drama Festival KL harus dijadikan acara tahunan memandangkan TV3 dan TV9 semakin giat menayangkan drama bermutu dan menjadi kegemaran penonton setia. Semoga acara yang mengangkat karya drama bermutu seperti ini boleh dikekal dan ia menjadi lebih meriah, lebih mega dan lebih happening di tahun yang seterusnya. Budiey ingin ucapkan tahniah kepada TV3 dan TV9 juga kerana mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan di atas dasar menjadikan acara ini sebagai satu platform kepada penggiat seni untuk memberikan informasi dan ilmu tentang drama.
Sebelum bersiaran langsung, Budiey ada hadir di sidang media Drama Pendek Pilihan dan selepas itu ada acara karpet merah dihadiri oleh pelakon-pelakon yang bertanding dan juga beberapa selebriti yang turut hadir memeriahkan melalui hamparan karpet merah yang disiarkan di Hip TV, TV9. Selain itu, Budiey lihat ada pengambaran sebuah drama yang akan ditayangkan di TV3 arahan Nizam Zakaria yang menjadikan malam anugerah sebagai latar.
Keputusan pemenang untuk tujuh kategori yang dipertandingkan sudah pun kita ketahui semalam. Budiey nak ucapkan tahniah buat drama berjudul Love You Mr Arrogant arahan Eoon Suhaini yang telah diumumkan sebagai Drama Pilihan pada Kuala Lumpur. Sememangnya drama ini sangat layak memandangkan setiap hari drama ini menjadi trending di laman sosial dan bilangan penonton juga sukar sangat tinggi. Drama 26 episod ini turut mengangkat pelakon lelaki utama Azlee Khairi sebagai Pelakon Lelaki Pilihan. Drama yang berjaya menarik tontonan lebih 4.6 juta penonton itu juga melayakkan gandingan Azlee Khairi dan Zara Zya dipilih sebagai Hero dan Heroin Pilihan.
Budiey juga nak ucapkan tahniah buat Nur Fathia Latif memenangi kategori Pelakon Wanita Pilihan menerusi drama Diandra. Jika Ariana Rose bertanding, sudah tentu akan menang sebab sekarang ni penonton masih ‘gila’ dengan drama ni. Sementara pengarah drama Sebenarnya Saya Isteri Dia, Raja Ahmad Alauddin diumum sebagai Pengarah Pilihan.
Anugerah DFKL yang pertama kali dianjurkan rangkaian televisyen Media Prima Berhad, TV3 dan TV9, membuka undian kepada penonton di laman web DFKL sejak 1 Januari hingga 21 Februari lalu bagi memilih pemenang untuk tujuh kategori utama yang dipertandingkan.
Pemenang tujuh kategori utama membawa pulang trofi. Undian terbabit turut memilih drama Sebenarnya Saya Isteri Dia sebagai Barisan Pelakon Pilihan. Manakala penulis skrip drama Dalam Setiap Sujud, Mufid Suhaimi dipilih sebagai Penulis Skrip Pilihan.
Drama Pendek Terbaik
Selain kategori utama, DFKL turut mempertandingkan Drama Pendek Terbaik yang diadili oleh juri profesional yang memilih drama Singh Susu arahan Azmir Affendi sebagai juara dan meraih hadiah wang tunai RM10,000.
Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi drama Gadis Payung Merah arahan Al Hafiz Burhanuddin dan drama Kawan arahan Wesley Tan dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000.
Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dihoskan oleh Zulin Aziz dan Sherry Al Hadad.
Majlis tersebut turut dihiburkan dengan persembahan Awie, Erra Fazira, Nomad, Kumpulan Bocey, Black dan Jaclyn Victor.
Anugerah DFKL ini bertujuan mengiktiraf drama-drama pilihan penonton yang dipilih berdasarkan kadar tontonan tertinggi di semua slot drama TV3 dan TV9 sepanjang tahun 2013.
Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur disiarkan secara langsung menerusi TV3.
Senarai penuh pemenang Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur:
Drama Pilihan: Love You Mr Arragant
Pelakon Lelaki Pilihan: Azlee Khairi
Pelakon Wanita Pilihan: Nur Fathia
Pengarah Pilihan: Raja Ahmad Alauddin (Sebenarnya Saya Isteri Dia)
Penulis Skrip Pilihan: Mufid Suhaimi (Dalam Setiap Sujud)
Barisan Pelakon Pilihan: Sebenarnya Saya Isteri Dia
Pasangan Serasi Pilihan: Azlee Khairi dan Zara Zya (Love You Mr Arrogant)
Drama Pendek: Singh Susu, Gadis Payung Merah dan Kawan
Tahniah kepada semua yang berjaya.